Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Kata Pengantar Pengulas

 

بِاسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ

 

Menjadi satu sifat lazim untuk bersikap dengki kepada orang yang pada dirinya terdapat banyak kebaikan. Dengki ialah keinginan agar kebaikan itu hilang, sekali pun orang yang mendengki itu tidak memperolehnya. Dengki ialah salah satu penyakit hati, yang sayang sekali, turut menjangkiti orang-orang agama. Iya! Orang yang kita sangka agamawan, sebenarnya memiliki hati yang justeru menyelisihi nilai-nilai agama.

Saya sendiri memiliki satu kata pepatah: Orang agama tidak semestinya kaya dengan nilai-nilai agama sebagaimana orang bukan agama tidak semestinya miskin dari nilai-nilai agama”.

Jika kita mengkaji sejarah para tokoh, para ilmuan dan para imam umat Islam, pasti akan ditemui sekian-sekian fitnah dilontarkan kepada mereka. Ini berlaku semata-mata kerana kedengkian yang tersemat di dalam hati pemfitnah. Di antara tokoh, ilmuan dan imam yang menjadi mangsa ialah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.

Nama lengkap beliau ialah Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam bin Taimiyyah al-Harani. Beliau lahir di daerah Harran, Syria pada hari Isnin, 10 Rabiulawwal, tahun 661H. Beliau berasal daripada keluarga yang terkenal dengan keilmuan mereka dalam agama Islam. Sejak awal Ibn Taimiyyah belajar agama daripada sekian banyak guru. Akan tetapi disebabkan kecerdasannya yang luar biasa, beliau mampu belajar sendiri dalam pelbagai subjek lain dengan pantas.

Akhirnya beliau menjadi seorang ilmuan yang lebih hebat daripada para gurunya dan para tokoh sezaman dengannya. Beliau dapat menguasai pelbagai cabang ilmu yang tidak mampu diijangkau oleh para tokoh pada zamannya. Jika dibaca karya-karyanya, nescaya seseorang itu menyangka dia sedang membaca sebuah ensaiklopedia.

Berdasarkan ilmunya yang luas itu, Ibn Taimiyyah berusaha untuk membetulkan ajaran-ajaran agama Islam pada zamannya yang sudah banyak tercemar dengan adat tradisi, pemikiran filosof dan agama-agama yang lain. Beliau banyak menulis, memberi ceramah, khutbah dan fatwa. Usaha keras membela kemurnian Islam ini menyebabkan beliau masyhur digelar sebagai Syaikh al-Islam di kalangan orang-orang yang setuju dan menghargai usahanya.

Namun di sana terdapat juga orang yang tidak setuju dan tidak menghargai usaha Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Betapa tidak! Usaha pemurnian beliau jelas menunjukkan kelalaian dan  kejahilan mereka sendiri. Usaha pemurnian Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menggoyang kedudukan masyhur yang selama ini mereka raih daripada umat Islam. Maka penentangan dilancarkan ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sehinggalah beliau dipenjarakan beberapa kali.

Kali terakhir beliau dipenjarakan, segala alat tulisnya dirampas. Ini memberi kesan yang berat kepada beliau sehingga akhirnya beliau meninggal dunia dalam penjara, setepatnya pada malam Isnin, 20 Zulkaedah, tahun 728H.

Sekali pun sudah meninggal dunia, kehebatan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tetap terserlah sehingga hari ini. Ilmu dan pemikirannya tetap dikaji, dianalisa, dimanfaat dan dikembangkan. Selari dengan itu, penentangan yang dilancarkan oleh mereka yang tidak setuju – atau lebih tepat – mereka yang dengki, juga berterusan sehingga hari ini. Jika pada masa hidupnya penentangan dilakukan dengan memenjarakan beliau, maka selepas beliau meninggal dunia ia dilakukan dengan memfitnah beliau. Pelbagai fitnah ditabur ke atas beliau dari masalah aqidah hinggalah ke masalah fiqh.

Terhadap fitnah-fitnah ini, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak mungkin dapat bangun dari kubur untuk menjawabnya. Akan tetapi – alhamdulillah – Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mengosongkan umat ini daripada para ilmuan yang adil lagi jujur untuk bangun menjawabnya. Menjawab fitnah tersebut tidak bererti membela Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sahaja, tetapi lebih kepada membela agama Islam itu sendiri. Ini kerana tidaklah sesuatu individu atau aliran memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah melainkan pada diri mereka terdapat pegangan dan amalan yang menyelisihi ajaran Islam yang tulen.

Di antara tokoh tersebut ialah Syaikh Murad Syukri. Sejujurnya saya tidak mengenali latar belakang beliau, tetapi dengan melihat bukunya yang berjudul دفع الشبه الغوية عن شيخ الإسلام ابن تيمية, segera dapat saya ketahui bahawa beliau adalah seorang ilmuan yang mengenali secara terperinci tentang pemikiran Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Buku beliau itulah yang diterjemahkan dan kini berada di tangan anda.

Selanjutnya, izinkan saya menerangkan beberapa langkah yang dilalui dalam mengusahakan edisi terjemahan ini:

Pertama:

Kitab دفع الشبه الغوية عن شيخ الإسلام ابن تيمية asalnya milik Ustaz Dr. Azwira bin Abdul Aziz. Beliau ialah pensyarah jurusan hadis di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Beliau dapat dikenali lebih lanjut melalui bukunya Siapakah Ahli Sunnah Sebenar? Penjelasan Terhadap Tohmahan Zamihan Mat Zin al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahli Sunnah Dan Para Tokohnya yang diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru.

Kedua:

Kitab tersebut kemudiannya diterjemah ke bahasa Malaysia oleh Ustaz Badrul Hisham bin Sulaiman. Beliau ialah seorang guru di Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bahru, Kelantan. Selain itu beliau juga aktif menulis, memberi ceramah dan khutbah di beberapa masjid di Kelantan.

Dalam mengusahakan terjemahan ini, saya dan Ustaz Badrul Hisham telah bersetuju untuk menggunakan manhaj:

a)      Menterjemah secara ringkas. Kitab yang asal memiliki penjelasan yang agak panjang lagi mendalam sehingga diyakini akan memberatkan para pembaca sekalian. Maka bagi edisi terjemahan ini, ia diringkaskan kepada hujah-hujah yang penting atau yang dirasakan memadai. Sebagai contoh, Syaikh Murad Syukri mungkin mengemukakan tujuh hujah untuk menjawab sesuatu fitnah. Maka bagi edisi terjemahan ini, ia diringkaskan kepada tiga hujah sahaja.

b)      Menterjemah secara maknawiyyah. Gaya bahasa dan kaedah penyampai tentu berbeza antara dua bahasa yang berlainan. Maka edisi ini bukanlah merupakan terjemahan harfiyyah dari kitab yang asal, tetapi terjemahan maknawiyyah. Maka gaya bahasa dan susunan penyampaian adalah berbeza dari kitab asal, tetapi hujah yang digunakan untuk menjawab fitnah adalah sama.

c)      Memberi penjelasan di bahagian notakaki terhadap beberapa istilah yang sukar difahami.

Ketiga:

Skrip terjemahan kemudian diserahkan kepada saya untuk disunting. Apa yang saya lakukan ialah:

a)      Melakukan beberapa peringkasan, menyusun semula struktur penyampaian dan menyelaraskan susunan bahasa agar ia lebih mudah difahami oleh para pembaca.

b)      Menyebut nama surah dan nombor ayat bagi ayat-ayat al-Qur’an.

c)      Mentakhrij hadis-hadis, iaitu menyebut sumbernya yang asal serta darjat kekuatannya. Bagi poin b dan c di atas, Syaikh Murad Syukri hanya mengemukakan ayat al-Qur’an dan hadis tanpa menyebut rujukannya.

d)     Menyatakan tajuk penuh kitab Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang dirujuk oleh Syaikh Murad Syukri. Ini kerana beliau hanya mengemukakan tajuk kitab secara ringkas sahaja.

e)      Memberi ulasan tambahan di bahagian notakaki. Ini kerana buku ini secara keseluruhannya agak berat lagi mendalam untuk pembaca awam. Justeru saya rasakan ada baiknya jika diberi penjelasan tambahan untuk memudah dan menambahkan lagi kefahaman para pembaca.

Rujukan saya ialah kitab-kitab karya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sendiri, kitab-kitab lain oleh para tokoh lain yang membela Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan kitab-kitab yang ditulis oleh para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam subjek yang sedang dibincang.

Sumber rujukan yang saya guna dinyatakan dalam kurungan besar. Akan tetapi sebahagian rujukan tidak saya sebut kerana saya terlupa di mana saya membacanya atau kerana ia adalah rumusan dari beberapa rujukan sekali gus.

f)       Memberi biografi ringkas kepada tokoh-tokoh yang disebut namanya dalam buku ini. Biografi dikemukakan pada kali pertama nama tokoh disebut dan tidak akan diulangi selepas itu. Terdapat segelintir tokoh yang saya tidak pasti siapakah mereka atau tidak ditemui biografi mereka. Bagi tokoh seperti ini, saya diamkan sahaja. Rujukan utama saya ialah kitab Siyar A’lam al-Nubala oleh al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah (748H) yang secara kebetulan ialah anak murid Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.

g)      Menyatakan sumber rujukan bagi sesuatu fitnah yang sedang dijawab. Tujuannya bukan untuk mewar-warkan rujukan tersebut, tetapi sekadar memberi gambaran bagaimana orang yang mengemukakan fitnah itu sebenarnya tidak faham, bahkan tidak tahu langsung tentang apa yang sedang dia fitnahkan.

Keempat:

Skrip yang sudah siap saya sunting dicetak dan diberikan kepada Ustaz Badrul Hisyam dan Mohd. Yaakub bin Mohd. Ynus untuk disemak. Banyak maklumbalas bermanfaat yang saya terima dan dengan itu saya ucapkan Jazakallahu khairan katsiran.
 
Demikian empat langkah yang dilalui untuk menyiapkan buku ini. Saya berharap buku ini berjaya mencapai sasarannya, iaitu menjawab fitnah ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan sekali gus membantu menjaga ketulenan agama Islam daripada para pencemarnya. Apa-apa kekurangan atau kesilapan, dialu-alukan untuk mengemukakannya kepada saya melalui emel atau Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Wassalamu‘alaikum waRahmatullahi waBarakatuh

Hafiz Firdaus bin Abdullah

7 Januari 2008

 

 

 

kandungan