Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Kelima:

Allah Berjisim1

 

 التجسم

 

 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah turut difitnah sebagai konon beriktikad Allah berjisim. Fitnah ini dapat dijawab sebagai berikut:

 

Pertama:

Sebenarnya permasalahan jisim dan menjisimkan disebut oleh sebahagian al-Mutakallimin Muslimin dalam kitab-kitab mereka. Ia memiliki dua pengertian di sisi mereka:

 

Pengertian Pertama:

Mereka mengatakan bahawa Allah menyerupai makhluk-Nya dan mereka menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang ada pada sesuatu jisim. Umat Islam sepakat bahawa golongan yang berpendapat seperti ini berpegang dengan pendapat yang salah dan batil. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Ada pun jenis golongan yang kedua, ia adalah yang keterlaluan.[2] Diriwayatkan daripada mereka bahawa mereka mengatakan: “Dia (Allah) berdaging dan bertulang dan sebagainya. Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan. Golongan sebegini, pendapat mereka tenyata amat batil dan rosak. Kalaulah berdaging dan bertulang seperti yang boleh difikir, nescaya haruslah ke atas-Nya apa yang harus berlaku kepada segala yang bersifat begitu. Inilah kesan dari tindakan menyamakan (tamtsil) Allah dengan yang lain padahal Allah telah menafikan semua itu daripada zat-Nya.[3]

 

Beliau menegaskan lagi:

Para al-Salaf dan imam (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) bersepakat atas mengingkari golongan al-Musyabbihah[4] yang berkata: “Penglihatan Allah seperti penglihatanku, tangan-Nya seperti tanganku, kaki-Nya seperti kakiku”.[5]

 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menegaskan lagi:

Bahkan pendapat yang mengatakan “Allah Azza wa Jalla adalah seperti jisim yang sama dengan jisim-jisim lain secara mutlak”, tidak pernah dikatakan oleh seorang pun di kalangan kumpulan terdahulu di kalangan umat Islam (generasi al-Salaf al-Shalih).[6]

 

Pengertian Kedua:

Mereka yang mengatakan Allah berjisim tetapi tidak sama dengan jisim yang lain. Pendapat ini dikemukakan oleh sekumpulan al-Mutakallimin, seperti yang diulas oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Pandangan yang masyhur daripada puak al-Karramiah dan selain mereka adalah Allah berjisim, tetapi mereka menafsirkannya dengan makna Allah wujud atau berdiri sendiri, bukan dengan makna murakkab (Allah memerlukan kepada yang lain). Telah berlaku kesepakatan di kalangan umat Islam bahawa sesiapa yang mengatakan Allah berjisim, dan jika yang dikehendaki dengan kata-kata ini hanya dari sudut maknanya (seperti yang ditafsirkan di atas), maka dia dikatakan betul dari sudut maknanya tetapi silap dari sudut lafaznya.[7]  

 

Berdasarkan dua pengertian di atas, dapat diketahui bahawa golongan al-Mujassimah[8] terbahagi kepada dua kumpulan:

  1. Mereka yang beriktikad Allah berjisim sebagaimana jisim-jisim yang lain.

  2. Mereka yang beriktikad Allah berjisim tetapi tidak seperti jisim-jisim yang lain. Dia berjisim sebagaimana yang layak dengan sifat ketuhanan-Nya.

 

Terhadap kumpulan pertama, mereka kafir tanpa adanya perselisihan pendapat. Ada pun kumpulan kedua, maka diperselisihkan sama ada mereka kafir atau tidak. Pandangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah terhadap kumpulan kedua adalah seperti berikut:

(Ada pun) meletakkan lafaz jisim sebagai hak Allah, tidak terdapat sebarang dalil yang dapat dijadikan dalil (untuk menetap atau menafikannya) dari al-Qur’an mahu pun sunnah Rasul-Nya. Dan tidak seorang pun daripada kalangan al-Salaf dan para imam (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) yang ada menyebutnya. Tidak ada seorang jua daripada mereka yang pernah berkata: “Sesungguhnya Allah berjisim, Allah berjirim atau Allah tidak berjisim, Allah tidak berjirim”. Dan mereka juga tidak pernah berkata: “Sesungguhnya Allah tidak dapat dikenali melainkan dengan jalan jisim-jisim dan partikel-partikel”, bahkan tidak seorang jua daripada mereka yang pernah menggunakan cara sedemikian untuk mengenal Allah.[9]

 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menegaskan di tempat yang lain:

Ada pun perkataan jisim dan jirim, sama ada dalam konteks menafikan atau menetapkan kedua-duanya, maka ia adalah satu bid‘ah yang tidak memiliki asal usul dalam al-Qur’an mahu pun al-Sunnah, dan tidak pernah disebut oleh seorang jua daripada kalangan para imam (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) dan generasi al-Salaf, sama ada untuk menafikannya atau menetapkannya.[10]

 

Kesimpulannya, lafaz jisim atau apa-apa istilah yang seumpamanya yang mengandungi pengertian hak atau batil, secara sahihnya daripada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah adalah bahawa beliau tidak pernah menetapkannya dan tidak juga menafikannya. Apa yang dimaksudkan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah adalah jelas, bahawa beliau tidak menetapkan sesuatu melainkan apa yang telah ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Beliau juga tidak menafikan sesuatu melainkan apa yang dinafikan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Ini kerana al-Qur’an dan al-Sunnah adalah neraca untuk menilai segala bentuk istilah-istilah (jisim, jirim dan sebagainya) yang digunapakai dalam persoalan ini.  Segala istilah tersebut bukanlah rujukan sebenar bagi permasalahan ini, sebaliknya rujukan sebenar ialah al-Qur’an dan al-Sunnah yang berperanan sebagai hakim.

Seterusnya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: 

Seandainya mereka semua (golongan al-Mutakallimun, al-Musyabbihah dan al-Mujassimah) berpegang dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, nescaya mereka bersepakat dan bersatu sebagaimana persepakatan yang terbina di kalangan Ahl al-Sunnah dan Ahl al-Hadis. Sesungguhnya para imam Ahl al-Sunnah dan Ahl al-Hadis tidak pernah berselisih sedikit pun dari perkara yang menjadi usul dalam hal agama. Justeru tidak seorang jua di kalangan mereka yang pernah berkata: “Allah berjisim” atau mengatakan: “Allah tidak berjisim”.[11]

 

Beliau melanjutkan:

Apa yang dimaksudkan di sini bahawa semua imam-imam yang besar menegah dari menggunakan lafaz-lafaz berbentuk umum yang direka-reka (untuk disandarkan kepada Allah), lantaran ia akan menimbulkan keraguan antara yang hak dengan yang batil. Ini kerana perkara sedemikian sudah pasti mencetuskan pelbagai keraguan, perselisihan dan fitnah. Hal sebegini tidak berlaku jika lafaz-lafaz yang digunakan ialah lafaz-lafaz yang ma’thur dan lafaz yang nyata serta jelas makna-maknanya.[12]

 

 

Kedua:

  Sebagaimana yang dikemukakan dalam nukilan terakhir di atas, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah memberi peringatan bahawa istilah-istilah ini (yang direka-reka mengenai Allah dan sifat-sifat-Nya) telah mendorong kepada berlakunya kezaliman dan perbuatan mengada-adakan pendustaan ke atas kaum yang tiada kena mengena dengan permasalahan yang sedang berlaku. Anda dapat melihat bahawa sebahagian al-Mutakallimin telah menamakan golongan yang menetapkan bagi Allah sifat-sifat yang sabit dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai golongan yang menjisimkan Allah. Ini adalah satu pendustaan dan pemalsuan.  

 

 

Ketiga:

Jika dikaji keseluruhan kupasan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkenaan jisim, ia dapat diringkaskan sebagai berikut:

  1. Lafaz jisim yang diguna secara mutlak ke atas Allah. Ini bukan dari agama Islam dan adalah satu bid‘ah yang tertolak.

  2. Lafaz jisim yang diguna secara makna dan ini meliputi yang hak dan batil. Yang batil ialah menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya atau menyamakan Allah dengan sesuatu yang berjisim.[13]

  3. Lafaz jisim disandarkan kepada orang yang menetapkan sifat-sifat Allah seperti Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Murka, Redha dan sebagainya. Ini adalah sandaran yang silap dan orang yang menetapkan sifat-sifat Allah tidak pernah menganggap penetapan tersebut bererti menetapkan jisim bagi Allah.[14]

 

 


 

 


[1] Iaitu fitnah bahawa kononnya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah beriktikad bahawa Allah berjisim. Antara yang melontar fitnah ini ialah Zamihan Mat Zin al-Ghari dalam Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, ms. 103.

[2] Terdapat dua golongan yang ekstrim dalam berinteraksi dengan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Golongan pertama adalah mereka yang menafikan sebarang sifat bagi Allah. Golongan kedua pula, sebagaimana yang disentuh oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah di atas, adalah mereka yang berlebih-lebihan dalam menetapkan sifat bagi Allah hingga mereka menganggap sifat Allah adalah seperti sifat makhluk-Nya. Keutamaan dan kebenaran berada di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang duduk di pertengahan antara dua golongan di atas. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menetapkan sifat bagi Allah dan pada waktu yang sama menyucikan sifat-sifat tersebut dari memiliki apa jua kesamaan dengan sifat makhluk.

[3] Bayan Talbis al-Jahmiyyah, jld. 1, ms. 51.

[4] al-Musyabbihah ialah golongan yang menyerupakan sifat Allah dan sifat makhluk.

[5] Dar’u Ta‘arudh, jld. 10, ms. 309.

[6] Dar’u Ta‘arudh, jld. 4, ms. 144.

[7] Minhaj al-Sunnah, jld. 1, ms. 247.

[8] al-Mujassimah ialah golongan yang menyandarkan lafaz jisim bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala.

[9] Dar’u Ta‘arudh, jld. 1, ms. 313.

[10]  Dar’u Ta‘arudh, jld. 4, ms. 146.

[11]  Dar’u Ta‘arudh, jld. 10, ms. 306.

[12]  Dar’u Ta‘arudh, jld. 1, ms. 271.

[13]  Yang hak adalah menggunakan lafaz jisim dengan makna Allah wujud dan berdiri dengan sendiri tanpa memerlukan kepada yang lain. Ini adalah makna yang betul tetapi dengan lafaz atau istilah yang salah kerana lafaz atau istilah “jisim” tidak pernah digunakan ke arah makna ini oleh al-Qur’an, al-Sunnah dan para imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

[14]  Kesimpulannya, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak pernah mengatakan Allah berjisim. Beliau hanya mengemukakan beberapa pandangan al-Mutakallimin yang mengatakan Allah berjisim, lalu memperincikan serta menerangkan di mana benar dan di mana salah. Di sebalik semua itu, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tetap memilih untuk menolak penggunaan lafaz jisim terhadap Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

 

kandungan