Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Ketiga:[1]

 

Allah Memiliki Batasan

 

الحد

 

 

Salah satu fitnah kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah ialah konon beliau menetapkan batasan (al-Had) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini sudah tentu menimbulkan kehairanan kepada orang ramai…..bagaimana mungkin Allah memiliki batasan? Adakah sifat ini seumpama dinding yang membatas penghuni rumah dan pagar yang membatasi pengunjung taman?

Ketahuilah, bahawa asal usul kepada fitnah ini adalah satu riwayat daripada Imam ‘Abd Allah bin al-Mubarak[2] yang menetapkan sifat batasan (al-Had) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dalam riwayat tersebut, Imam ‘Abd Allah bin al-Mubarak pernah ditanya: “Bagaimana kamu mengenali Tuhan kita ‘Azza wa Jalla?” Beliau menjawab: “Di langit yang ke tujuh, di atas Arasy-Nya dengan batasan (al-Had).” Kemudian Imam Ahmad bin Hanbal[3] pula ditanya tentang jawapan Imam ‘Abd Allah bin al-Mubarak tersebut. Beliau menjawab: “Demikianlah juga di sisi kami.”[4]

 

Berikut tiga poin untuk menjelaskan masalah dan fitnah berkenaan “batasan” ini:

 

Pertama:

Batasan atau al-Had yang dimaksudkan bukanlah sebagai salah satu sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sebelum ini memang ada pihak yang menetapkan sifat batasan bagi Allah. Penetapan ini telah dibantah oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

……jika dia mengatakan: “Sesungguhnya bagi Allah sifat batasan (al-Had)”, perkataan seumpama ini tidak pernah diungkapkan oleh sesiapa pun, tidak juga oleh (orang yang memiliki) akal (yang sihat). Kata-kata sebegini tiada memiliki kebenaran langsung. Yang mana sifat (al-Had) ini tiada pada mana-mana sifat yang disifatkan ia pada sesuatu seperti sifat Tangan dan Ilmu.[5]

 

Kedua:

Ada pun penggunaan istilah batasan, ia hanya sebagai ungkapan bagi membezakan antara sifat Allah dengan sifat makhluk-Nya. Pembezaan ini adalah perlu bagi menangkis fahaman aliran al-Jahmiyyah yang menafikan sifat ketinggian (al-‘Uluw) Allah di atas makhluk-Nya. Bahkan mereka menetapkan bahawa Allah berada pada setiap tempat. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Oleh kerana di antara fahaman al-Jahmiyyah ialah Pencipta (Allah) tidak berbeza daripada makhluk, maka mereka mengingkari sifat-sifat-Nya yang dengan itu Dia berbeza … bahkan mereka menjadikan Allah dalam keadaan turut bersama dengan makhuk.

 

Maka (untuk menangkis fahaman ini) Imam ‘Abd Allah bin Al-Mubarak telah menerangkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas Arasy-Nya, tiadalah Dia bersama dengan mahkluk-Nya, bahkan terpisah daripada makhluk-Nya.

 

Lalu (‘Abd Allah bin Al-Mubarak) menyebut adanya batasan (bagi membezakan antara Allah dan makhluk-Nya) kerana puak al-Jahmiyyah mengatakan: “Tiadalah bagi Allah batasan. Tanpa batasan tersebut maka tidaklah Dia terasing daripada makhluk. Tidaklah juga Dia di atas alam kerana fahaman sedemikian menetapkan bagi-Nya batasan.”

 

Justeru apabila mereka bertanya kepada Imam ‘Abd Allah bin Al-Mubarak: “Dengan apakah kita mengenali-Nya (Allah)?” Beliau menjawab: “Bahawa Dia di atas langit-Nya, di atas Arasy-Nya, terpisah daripada makhluk-Nya.”[6]

 

Ketiga :   

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bukanlah orang yang pertama menggunakan istilah batasan (al-Had) terhadap Allah Subhanahu wa Ta'ala. Istilah tersebut berasal daripada para tokoh al-Salaf al-Shalih dan beliau hanya berusaha untuk menjelaskannya.

(Akhir kata), tiadalah bagi Allah sifat batasan (al-Had). Ia hanyalah satu ungkapan untuk membezakan Allah daripada yang selain-Nya pada sifat-Nya, keistimewaan yang khusus bagi-Nya, Maha Tinggilah Dia di atas Arasy-Nya, terpisah Dia daripada makhluk-Nya.[7]

 

 


 

 


[1] Antara yang melontar fitnah ini ialah Zamihan Mat Zin al-Ghari dalam Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, ms. 108.

[2] Beliau ialah ‘Abd Allah bin al-Mubarak bin Wadhih, lahir di Khurasan pada tahun 118H. Seorang tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang masyhur pada zamannya. Ketokohannya terserlah dengan jumlah anak muridnya yang melebihi seratus orang, semuanya merupakan ahli dan sumber rujukan dalam bidang masing-masing. Meninggal dunia pada tahun 181H.

[3] Beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Syaibani, lahir di Baghdad pada tahun 164H. Seorang imam dalam bidang aqidah, usul, hadis dan biogarfi para perawi hadis. Kepada beliau jugalah disandarkan Mazhab Hanbali. Beliau meninggal dunia pada tahun 241H.

[4] Tabaqat al-Hanabilah, jld. 1, ms. 267.

[5] Bayan Talbis al-Jahmiyyah fi Ta’sis Bid‘ihim al-Kalamiyyah (tahqiq: Muhammad bin ‘Abd al-Rahman bin Qasim; Mathaba‘ah al-Hukumah, Mekah, 1392H), jld. 1, ms. 442. Rujukan ini seterusnya akan disebut sebagai Bayan Talbis al-Jahmiyyah sahaja.

[6] Bayan Talbis al-Jahmiyyah, jld. 1, ms. 443.

[7] Mudahnya, penggunaan istilah “batasan” atau al-Had bukanlah bermaksud bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala terbatas. Maha Suci Allah dari memiliki batasan. Allah mampu melakukan apa saja yang Dia ingini tanpa sebarang batasan. Akan tetapi ia bermaksud sebagai meletakkan garis pemisah antara sifat Allah dan sifat makhluk-Nya agar orang ramai tidak terkeliru sehingga menyamakan antara Allah dan makhluk-Nya. Oleh itu, apabila membicara sifat-sifat Allah, ia memiliki batasan dimana sifat-sifat tersebut tidaklah sama dengan sifat makhluk.

 

kandungan