Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Kedua:

Al-Hawadits Allati La Awwala Laha

 

الحوادث التي لا أول لها 1

 

 

Fitnah kedua adalah berkenaan masalah benda-benda baru yang tidak memiliki permulaan baginya (الحوادث التي لا أول لها), juga masalah sifat sesuatu yang berterusan
(تسلسل الآثار).  Sudah diketahui di sisi ahli ilmu bahawa setiap istilah perlu dirujuk tafsirannya kepada orang yang ahli dalam jurusan tersebut. Merupakan satu kebatilan dan kesalahan yang menimbulkan suasana huru-hara apabila seseorang itu membahas sesuatu istilah dengan tafsiran sesuka hati.

 

Maka dengan itu, yang dimaksudkan dengan “benda-benda baru yang tidak memiliki permulaan baginya” ialah menjelaskan bahawa Allah adalah pembuat (pencipta) dan merupakan pembuat (pencipta) sejak azali lagi. (Ada pun maksud “sesuatu yang berterusan”) ialah bahawa adalah setiap benda baru yang sebelumnya, adalah dikira benda baru yang seterusnya hingga tiada kesudahannya. Setiap sesuatu yang baru didahului dengan sesuatu baru yang lain, setiap yang baru didahului dengan ketidakwujudannya. Keseluruhan benda-benda baru ini yang dikira tiada kesudahan (sehinggalah Hari Kiamat), semuanya didahului dengan Allah sebagai pencipta bagi segalanya.[2]

 

Oleh itu apabila Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyatakan pandangannya bahawa “benda-benda baru yang tidak memiliki permulaan baginya”, ia bererti bahawa Allah tetaplah Dia melakukan perbuatan-Nya atas kehendak-Nya. Sifat-Nya adalah sifat azali yang melazimi zat-Nya dengan sempurna. Ini adalah pandangan jumhur ahli hadis, sebahagian al-Mutakallimin[3] dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Imam Ibn ‘Abd al-Barr[4] dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, jld. 1, ms. 10 berkata:

 

Apa yang menjadi pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah bahawa Allah Ta‘ala sentiasa dengan sifat-sifat-Nya dan nama-nama-Nya, tiadalah diawali sifat dan nama itu oleh permulaan, dan tiadalah diakhiri dengan satu kesudahan. Dan Dia di atas Arasy istawa’.

 

Demikianlah juga pandangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sebagaimana yang dapat dilihat dalam tulisan-tulisannya. Berikut dikemukakan sebahagian darinya:

 

1. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Inilah pendapat bagi golongan yang menetapkan bagi Allah sifat mencipta dan membentuk sejak azali. Sekali pun makhluk yang diciptakan itu bersifat baru. Inilah pendapat sekumpulan daripada para ilmuan mazhab Abu Hanifah , al-Syafie , Ahmad, ahli kalam dan golongan Sufi.[5]

 

2. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Berhubung dengan berdirinya perbuatan–perbuatan ikhtiariyyah (pilihan) dan berdirinya sifat-sifat bagi Allah Ta‘ala, maka ianya adalah pendapat umat dan para imam terdahulu (salaf al ummah wa immatiha) yang mereka ambil daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Inilah pendapat yang dibawa dalam Taurat dan Injil. Pendapat ini dibuktikan dengan akal yang jelas dan terang lagi bertepatan dengan dalil naqli yang sahih.

 

Ketika itu, tahulah kita dengan hukum akal yang jelas bahawa alam adalah makhluk yang bersifat baru (bukan qadim) sebagaimana dikhabarkan oleh Rasul-rasul, di samping Tuhan itu bersifat, sentiasalah Dia bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Bukanlah Dia dikira asalnya tidak berkuasa, kemudian selepas itu berkuasa atau asalnya dikira tidak berkata-kata, kemudian boleh berkata-kata, atau asalnya tidak bersifat dengan sifat sebagai pencipta yang membuat, kemudian boleh mencipta dan boleh membuat.[6]

 

3. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Sudah diketahui di kalangan orang yang mengetahui al-Kitab (al-Qur’an), al-Sunnah dan pendapat-pendapat salaf bahawa tiada dalam kitab dan sunnah sedikit pun yang menunjukkan bahawa Tuhan: perbuatan-Nya tidak bersifat pasti sejak dari azali, atau perbuatan dan kalam-Nya tidaklah bersifat pasti sejak azali, atau sentiasalah Dia terhalang dari perbuatan atau dihalang dari perbuatan dan berkata-kata, kemudian setelah itu barulah Dia menjadi berkuasa, boleh melakukan dan berkata-kata setelah sebelumnya bukan begitu keadaan-Nya.[7]

 

4. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Sesungguhnya Rabb (Allah), tetaplah Dia dan sentiasalah Dia bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan sebagaimana para ilmuan (ahli) sunnah mensifatkan Dia sentiasa bersifat berkata-kata apabila Dia kehendaki. Sentiasalah Dia bersifat Maha Hidup, pembuat bagi perbuatan-perbuatan yang berdiri pada Zat-Nya. Sentiasalah dia bersifat Maha Kuasa dan setiap apa yang selain-Nya adalah makhluk lagi baru. Sifat baru sesuatu makhluk berlaku sedikit demi sedikit. Maka tiada sesuatu yang bersama-Nya atau sebanding-Nya walau dengan dengan apa jua keadaan.[8]

 

5. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Sesungguhnya telah nyata bahawa di samping pendapat yang mengatakan harus kejadian-kejadian baru yang tiada permulaan baginya, bahkan bersamanya pendapat yang mewajibkan perkara itu (kejadian baru) maka tertolaklah sifat qidam pada alam atau sesuatu pun dari alam. Telah nyata perbezaan antara yang bersifat berterusan lagi wajib pada diri-Nya yang bersifat qadim, tiada berhajat kepada sesuatu, dan di antara berterusan perbuatan-Nya dan apa yang dibuat-Nya dan sifat qidam-Nya. Maka yang terawal adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala, qadim pada zat-Nya,  wajib Maha Kaya, dan perbuatan-Nya sesuatu demi sesuatu (tahap demi tahap).[9]

 

Demikian lima nukilan kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang secara terang lagi nyata membuktikan pandangan beliau yang menetapkan sifat-sifat Allah adalah qadim sebagaimana qadimnya zat Allah itu sendiri. Justeru janganlah anda terpedaya dengan sesetengah pendusta atau pemutar belit yang mengatakan (Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berpendapat) bahawa Allah bersifat Maha Pencipta tetapi Dia tidak menciptakan apa-apa.

 

Kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berikut ini menjadi tirai penutup dalam bab ini:

 

Dan dikatakan kepada mereka (al-Mutakallimin): Tujuan kamu pada awalnya ialah untuk menolong agama Islam dan menolak puak yang menyanggahinya. Pada hal (tindakan kamu itu) tiada langsung sandarannya terhadap Kitab Allah, Sunnah Rasul-Nya dan juga daripada sesiapa di kalangan generasi terawal (al-Salaf al-Shalih). Dan kamu jadikan pendapat kamu ini sebagai perkara dasar dalam agama.[10]

 

Tiadalah boleh diterima bahawa Tuhan yang masih tetap wujud namun Dia tidak boleh melakukan apa-apa dan tidak juga bercakap apa-apa. Adalah tidak mungkin semua itu. Kemudian selepas dibuat ketentuan bahawa masa itu tiada kesudahan, baginya ada perbuatan dan percakapan, dan bahawasanya ianya berkemampuan melakukan perbuatan dan percakapan sesudah ia pada awalnya tiada berkemampuan melakukan seumpama itu.

 

Bahkan al-Qur'an dan al-Sunnah, ucapan para sahabat dan tabiin bertentangan dengan apa yang kamu nyatakan. Sebenarnya apa yang kamu ada-adakan dari ucapan yang kamu dakwa ia adalah asas agama jelas bercanggah dengan dalil yang didengar dan hujah akal. Selepas itu orang-orang yang meniru kamu pula memindahkan daripada kaum Muslimin dan Yahudi serta Nasrani bahawa ini adalah pendapat mereka.[11] Kerana tidaklah diketahui pendapat sebegini daripada sesiapa pun di kalangan para anbiya' (nabi-nabi) atau sahabat-sahabat mereka. Bahkan apa yang diketahui daripada mereka memang bertentangan sama sekali dengan apa yang kamu katakan.

 

Hakikat yang sabit daripada para anbiya' ialah setiap sesuatu selain Allah adalah makhluk yang bersifat baru selepas asalnya ia bersifat tiada. (Hakikat) ini sememangnya bercanggah dengan pendapat golongan falsafah yang mengatakan: “Bahawa cakerawala, akal fikiran dan jiwa yang bernyawa atau apa-apa saja yang selain Allah juga bersifat qadim, azali, tetap wujud dan tidak lenyap.[12]

 

Beberapa Peringatan

Hasil dari jawapan yang dikemukakan untuk menjawab fitnah “alam ini sedia kala pada jenisnya” (قدم العالم بالنوع) dan fitnah “benda-benda baru yang tidak memiliki permulaan baginya” (الحوادث التي لا أول لها), ingin saya kemukakan beberapa renungan dan peringatan kepada para pembaca sekalian.

 

 

Peringatan Pertama :

Sesetengah golongan pada zaman sekarang menyangka bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan alam ini bersifat qidam! Mereka menulis risalah untuk menjelaskan perkara itu. Padahal tidaklah saya mengkajinya melainkan mendapati ia penuh dengan pendustaan, bermula dari tajuknya sehinggalah penutup risalah itu.

  Bahkan sesetengah ungkapan bahasa daripada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak difahami langsung oleh golongan jahil ini! Saya bersumpah dengan nama Allah yang Maha Agung, bahawa golongan penjenayah yang jahil itu tidaklah mereka pernah mendengar sama sekali istilah-istilah seumpama ini. Dan tidak pernah istilah itu memasuki lubang telinga mereka.

Anda boleh melihat sendiri di depan anda kitab-kitab yang ditulis oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Maka cuba datangkan satu sahaja bukti bahawa beliau berpegang dengan pendapat alam ini qidam. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah menerangkan sejelas-jelasnya dengan keterangan tambahan, bahawa segala kejadian atau apa saja bahagian sepertinya didahului dengan adanya pembuat. Pembuat itu ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

 

Peringatan Kedua:

Ada yang mengkritik[13] Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bahawa beliau menyelisihi atau menolak hadis berikut:

 

كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ.

Adalah Allah dan tiadalah sesuatu selain-Nya.[14]

 

Kritikan ini dijawab, bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bukan menolak hadis di atas, tetapi menguatkan hadis lain yang semaksud tetapi dengan lafaz yang lain, iaitu:

 

كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ قَبْلَهُ.

Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun sebelum-Nya.[15]  

 

Ini kerana lafaz sebelum-Nya di atas dikuatkan oleh hadis berikut:

 

اللَّهُمَّ أَنْتَ الأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ.

 

Ya Allah! Engkaulah yang terawal, maka tiadalah sebelum Engkau sesuatu jua.[16]

 

Hadis inilah yang memperkuatkan hadis dengan lafaz sebelum-Nya dalam Shahih al-Bukhari. Inilah dia ijtihad dan ilmu. Dakwaan bahawa boleh dihimpun semua riwayat dengan alasan berlainan sebab asal usul hadis (Asbab al-Wurud) adalah tidak benar kerana hadis di atas hanya berlaku sekali dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanya melafazkan satu lafaz sahaja.[17]

 

 

Peringatan Ketiga:

Ada yang mengkritik[18] Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bahawa beliau telah menolak sebuah ijma’ yang disebut oleh Ibn Hazm[19] dalam kitabnya Maratib al-Ijma’. Dalam kitab tersebut beliau (Ibn Hazm) berkata:

Mereka bersepakat bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya , Dia-lah pencipta setiap sesuatu selain-Nya, dan bahawa Dia sentiasalah Maha Esa dan tiada suatu pun selain-Nya yang bersama-Nya. Kemudian Dia menciptakan apa jua benda, semuanya sebagaimana yang Dia kehendaki.[20]

 

Manakala apa yang ditolak oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah adalah seperti berikut:

 

Saya merasa hairan berhubung penceritaannya tentang ijma' bahawa menjadi kufur sesiapa yang membantah pandangan bahawa Allah sentiasa Maha Esa dan tiada sesuatu selain-Nya bersama-Nya. Kemudian Dia menciptakan apa-apa jua benda sebagaimana yang Dia kehendaki.[21]

 

 

 


 


[1] Antara yang melontar fitnah ini ialah ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam bukunya yang sudah diterjemahkan atas judul Makna Sebenar Bid‘ah: Satu Penjelasan Rapi (Middle East Global, Kuala Lumpur, 2005), ms. 52.

            Pihak yang melontar fitnah ini, mereka sebenarnya tidak faham tentang asal usul perbincangan. Asalkan dapat ditemui sesuatu yang aneh untuk disandarkan kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, mereka mengemukakannya agar berlaku fitnah ke atas beliau.

Mereka menterjemah secara harfiyah perkataan al-Hawadits Allati La Awwala Laha sebagai benda-benda baru yang tiada permulaan baginya. Dengan terjemahan begini, mereka memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sebagai kononnya memiliki pandangan bahawa alam ini adalah makhluk tanpa ada permulaan penciptaan. Tanpa permulaan, bererti alam ini adalah qadim, tetapi pada waktu yang sama adalah makhluk. Maka, lanjut orang-orang yang memfitnah, pandangan al-Hawadits Allati La Awwala Laha adalah sama seperti pandangan Qidam al-‘Alam bi al-Nau’ yang difitnahkan sebelum ini. Sila rujuk sama pandangan ketiga di permulaan bab Menjawab Fitnah Pertama.

Padahal apabila Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata al-Hawadits Allati La Awwala Laha, ia bermaksud membantah pandangan sebahagian al-Mutakallimin yang mengatakan Tuhan asalnya adalah zat yang wujud tanpa sifat, kemudian setelah beberapa waktu Tuhan mula memiliki sifat yang dengan sifat itu Dia mencipta alam ini.

Pandangan ini jelas rosak kerana ia bererti Tuhan pada asalnya adalah bodoh sehinggalah pada satu masa Dia mula memiliki sifat Maha Mengetahui (al-‘Ilm), asalnya bisu sehinggalah pada satu masa mula Dia memiliki Kalam (ucapan), asalnya buta sehinggalah pada satu masa Dia mula memiliki sifat Maha Melihat (al-Ru’yah & al-Basyar), asalnya tidak berbuat apa-apa sehinggalah pada satu masa Dia mula memiliki sifat Maha Mencipta (al-Khaliq), dan begitulah seterusnya.

Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sifat-sifat Allah adalah azali dan qadim sebagaimana zat Allah itu sendiri. Sifat-sifat tersebut tidak datang kemudian sebagaimana dakwa sebahagian al-Mutakallimin. Sifat-sifat tersebut tidak memiliki waktu permulaannya. Inilah juga yang disebut sebagai al-Hawadits Allati La Awwala Laha.

al-Hawadits bermaksud alam ini dan segala yang ada di dalamnya adalah sesuatu yang baru, ia dicipta oleh Allah setelah sebelumnya ia tiada. Allati La Awwala Laha merujuk kepada sifat al-Khaliq (Maha Mencipta) yang dimiliki oleh Allah. Ia adalah sifat azali dan qadim, bukan sesuatu yang ada permulaannya.

[2] Contohnya: Seorang bayi yang baru lahir kerana ada ibu yang melahirkannya. Ibu yang melahirkannya adalah suatu yang baru juga kerana asalnya si ibu juga dikira tiada kecuali setelah ibu kepada si ibu itu melahirkannya. Begitulah seterusnya.

[3] Golongan al-Mutakallimin sebenarnya berpecah kepada banyak aliran, setiapnya dengan teori-teori tersendiri. Di kalangan mereka ada yang berkata sifat Allah memiliki permulaan yang terkemudian daripada zat-Nya. Namun di kalangan mereka ada juga yang berkata sifat Allah adalah azali sebagaimana zat-Nya.

[4] Beliau ialah Yusuf bin ‘Abd Allah bin Muhammad bin ‘Abd al-Barr. Lahir pada tahun 362H, ada juga yang menyebut pada tahun 368H, di Cardova, Andalusia. Beliau adalah seorang imam yang dihormati dalam pelbagai jurusan ilmu, khasnya periwayatan. Beliau meninggal dunia pada tahun 463H. Selain kitab Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, karya beliau yang masyhur ialah al-Isti‘ab fi Ma’rifah al-Ashhab.

[5] Dar’u Ta‘arudh, jld. 1, ms. 347.

            Golongan Sufi pada zaman awal Islam memiliki manhaj yang sahih, iaitu manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Lebih lanjut rujuk jilid 10 dan 11 dari Majmu’ al-Fatawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang sudah diterjemah oleh Dr. Basri Ibrahim atas judul Fiqh Tasawwuf (Jahabersa, Johor Bahru, 2005).

[6]  al-Shafadiyyah, jld. 1, ms. 130.

[7]  al-Shafadiyyah, jld. 2, ms. 163.

[8]  al-Shafadiyyah, jld. 1, ms. 82.

[9]  al-Shafadiyyah, jld. 1, ms. 50.

            Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala mampu mencipta apa yang dikehendaki-Nya dengan serta merta, hanya dengan firman: “Kun fayakun” (Jadilah, maka jadilah ia). Akan tetapi sesuai dengan hikmah-Nya, Allah mencipta alam ini secara bertahap-tahap, iaitu apa yang disebut sebagai “enam masa”. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa… [al-A’raaf 7:54]

[10]  Para pencinta ilmu kalam lazim berhujah, bahawa ia adalah ilmu yang bermanfaat untuk membela Islam daripada para penentangnya. Akan tetapi sejauh mana keberkesanannya adalah sesuatu yang masih diragui sehingga hari ini. Di sebalik itu semua, kemudaratan ilmu kalam lebih terserlah sebagaimana yang dapat diperhatikan dalam perbincangan di atas, dimana ia merosakkan aqidah umat Islam dan mencemari ketulenan ajaran agama. Atas dasar inilah kebanyakan tokoh-tokoh umat Islam yang pada satu masa mendalami ilmu kalam, mereka akhirnya keluar meninggalkannya.

[11] Maksudnya golongan yang meniru kamu wahai kaum al-Mutakallimin telah menganggap apa yang mereka tiru daripada kamu itu datang daripada kaum Muslimin atau juga kaum Yahudi dan kaum Nasrani. Padahal sebenarnya bukan begitu.

[12]  Dar’u Ta‘arudh, jld. 9, ms. 158.

[13]  Antaranya ialah Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam Makna Sebenar Bid‘ah, ms. 52.

[14]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3191 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab firman Allah Dan Dia-lah yang mencipta dari permulaan…al-Rum 30:27).  

[15]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7418 (Kitab al-Tauhid, Bab firman Allah: Dan adalah Arasy-Nya di atas airHud 11:07)

[16] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2713 (Kitab al-Zikir wa al-Doa…, Bab apa yang diperkatakan ketika hendak tidur…).

[17]  Asal usul kritikan dituju kepada hadis berikut daripada Imran bin Hussain radhiallahu 'anh dimana beliau berkata:

 

إِنِّي عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ قَوْمٌ مِنْ بَنِي تَمِيمٍ فَقَالَ: اقْبَلُوا الْبُشْرَى يَا بَنِي تَمِيمٍ. قَالُوا: بَشَّرْتَنَا فَأَعْطِنَا. فَدَخَلَ نَاسٌ مِنْ أَهْلِ الْيَمَنِ فَقَالَ: اقْبَلُوا الْبُشْرَى يَا أَهْلَ الْيَمَنِ إِذْ لَمْ يَقْبَلْهَا بَنُو تَمِيمٍ. قَالُوا: قَبِلْنَا جِئْنَاكَ لِنَتَفَقَّهَ فِي الدِّينِ وَلِنَسْأَلَكَ عَنْ أَوَّلِ هَذَا الأَمْرِ مَا كَانَ؟

قَالَ: كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ قَبْلَهُ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ وَكَتَبَ فِي الذِّكْرِ كُلَّ شَيْءٍ.

ثُمَّ أَتَانِي رَجُلٌ فَقَالَ: يَا عِمْرَانُ أَدْرِكْ نَاقَتَكَ. فَقَدْ ذَهَبَتْ فَانْطَلَقْتُ أَطْلُبُهَا فَإِذَا السَّرَابُ يَنْقَطِعُ دُونَهَا وَايْمُ اللَّهِ لَوَدِدْتُ أَنَّهَا قَدْ ذَهَبَتْ وَلَمْ أَقُمْ.

Ketika aku berada di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beberapa orang daripada Bani Tamim datang kepada baginda. Rasulullah bersabda: “Wahai Bani Tamim! Terimalah khabar gembira.” Mereka menjawab: “Anda telah memberi kami dua berita gembira, maka kini berilah kami (sesuatu).”

            Kemudian datang pula orang daripada Yaman lalu baginda bersabda kepada mereka: “Wahai ahli Yaman! Terimalah khabar gembira kerana Bani Tamin enggan menerimanya.” Mereka menjawab: “Kami menerimanya kerana kami sememangnya datang kepada anda untuk belajar agama dan bertanya kepada anda tentang awal “urusan” ini – apakah ia?”

Rasulullah menjawab: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun sebelum-Nya. Dan adalah Arasy-Nya di atas air, kemudian dicipta langit dan bumi, dan ditulis pada al-Zikr setiap sesuatu.”

(Imran bin Hushain melanjutkan): Kemudian seorang lelaki datang kepada aku dan berkata: “Wahai Imran! Unta kamu telah lari!” Maka aku bangun mencarinya dan ternyata ia berada jauh. Demi Allah! Aku amat berharap untaku tidak melakukannya (melarikan diri) dan agar aku tidak meninggalkan (majlis ilmu tadi). [Shahih al-Bukhari, hadis no: 7418 (Kitab al-Tauhid, Bab firman Allah: Dan adalah Arasy-Nya di atas air…Hud 11:07)]

Tumpuan ditujukan kepada lafaz: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun sebelum-Nya.” Dalam riwayat lain yang juga dikeluarkan oleh al-Bukhari, hadis no: 3191, lafaz yang sama ini berbunyi: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun selain-Nya.” Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) menerangkan bahawa dalam sebuah riwayat lain, lafaz yang sama ini berbunyi: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun bersama-Nya.” [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq: ‘Abd al-Aziz bin Baz, Dar al-Fikr, Beirut, 2001), jld. 6, ms. 429 (syarah kepada hadis no: 3192)]

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa, jld. 18, ms. 211 (Syarah Hadis ‘Imran bin Hushain) menerangkan bahawa terdapat dua pendapat di kalangan para ilmuan tentang maksud hadis di atas disebabkan perbezaan pada lafaznya:

·         Pendapat Pertama mengatakan hadis di atas menerangkan bahawa Allah wujud bersendirian. Tiada apa-apa selain-Nya atau bersama-Nya. Kemudian Allah mula mencipta benda-benda baru. Allah berbuat (mencipta) setelah sebelumnya Dia tidak melakukan apa-apa sejak azali.

·         Pendapat Kedua mengatakan bahawa yang dimaksudkan oleh hadis di atas bukanlah seperti yang dijelaskan oleh pendapat yang pertama. Hadis di atas bukan menerangkan benda/perkara pertama yang dicipta oleh Allah tetapi sekadar menerangkan tentang penciptaan alam kita sekarang ini. Inilah pandangan jumhur al-Salaf.

Pendapat yang benar ialah yang kedua, yang mewakili pandangan al-Salaf al-Shalih. Hadis Imran bin Hushain tidak bermaksud menerangkan benda/perkara pertama yang dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ia sekadar menerangkan awal penciptaan alam. Sifat al-Khaliq (Maha Pencipta) sedia dimiliki oleh Allah sejak azali dan Allah mencipta apa yang dikehendaki-Nya dengan sifat tersebut, tanpa terbatas kepada alam ini sahaja.

Seterusnya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengemukakan hujah-hujah bagi menguatkan pendapat kedua. Di antaranya ialah berkenaan perbezaan lafaz hadis, dimana beliau berkata:

Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun sebelum-Nya”. Dan juga telah diriwayatkan (dengan lafaz): “…bersama-Nya”, juga diriwayatkan (dengan lafaz): “…selain-Nya”.

Ketiga-tiga lafaz ini terdapat dalam (Shahih) al-Bukhari padahal tempat diucapkannya hanyalah satu dan pertanyaan serta jawapannya juga terjadi dalam majlis yang satu. Imran sendiri sebagai periwayat hadis, tidaklah beliau berdiri meninggalkan majlis melainkan ia telah selesai, bahkan beliau meninggalkan majlis setelah diberitahu kepadanya bahawa untanya terlepas. Dan dialah (Imran) yang meriwayatkan lafaz Rasulullah. (Semua ini) menunjukkan bahawa yang disabdakan oleh Rasulullah hanyalah salah satu dari tiga lafaz tersebut manakala dua yang selebihnya adalah periwayatan yang berdasarkan makna.

Dapat diketahui bahawa lafaz yang sabit ialah “…sebelum-Nya” berdasarkan sebuah hadis lain dalam Shahih Muslim daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, bahawa baginda bersabda dalam doanya: “Ya Allah! Engkaulah yang terawal, maka tiadalah sebelum Engkau sesuatu jua……”

…… Jika sabit dalam hadis (Abu Hurairah) bahawa lafaz yang disebut ialah “sebelum”, maka sabitlah bahawa itulah yang disebut oleh baginda (dalam hadis Imran) manakala dua lafaz yang selainnya, tidaklah satu pun darinya yang sabit. Dan kebanyakan ahli hadis meriwayatkan hadis ini dengan lafaz: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun sebelum-Nya”, seperti al-Humaidi, al-Baghawi, Ibn al-Atsir dan selainnya.

Justeru berdasarkan hadis: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun sebelum-Nya”, tidak ada bukti dalam lafaz ini terdapat perbincangan tentang permulaan segala ciptaan mahu pun makhluk yang paling awal.  [Majmu’ al-Fatawa, jld. 18, ms. 216 (Syarah Hadis ‘Imran bin Hushain).

Ringkasnya, jika dikatakan yang benar ialah lafaz: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun selain-Nya” atau “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun bersama-Nya”, bererti Allah Subhanahu wa Ta'ala pernah wujud bersendirian tanpa sifat mencipta (al-Khaliq). Hanya setelah beberapa ketika kemudian, Allah memiliki sifat mencipta yang dengan itu Dia mencipta alam ini. Maha Suci Allah dari sifat sedemikian.

Jika dikatakan yang benar ialah lafaz: “Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun sebelum-Nya”, bererti tidak ada sesuatu yang lebih awal, lebih azali dan lebih qadim daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ada pun berkenaan sifat-sifat Allah, ia adalah azali dan qadim sebagaimana zat Allah itu sendiri. Antaranya sifat mencipta dan Allah mencipta apa yang dikehendaki-Nya tanpa terbatas pada alam ini sahaja. Sudah tentu yang benar ialah lafaz kedua.

Hasil dari semua ini, dapat juga kita mengetahui silang pendapat yang wujud berkenaan asal usul alam ini dan sifat mencipta bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ia dapat diringkaskan sebagai berikut:

1.    Pada mulanya, golongan ateis (mulhid) berpendapat bahawa alam ini adalah qadim, kemudian barulah wujud tuhan.

2.  Sebahagian al-Mutakallimin daripada kalangan umat Islam cuba membantah pendapat golongan ateis di atas. Mereka berhujah bahawa Allah adalah azali lagi qadim, kemudian dia mencipta alam ini. Ringkasnya, Allah pada asalnya wujud secara zat. Ada pun sifat-sifat-Nya seperti mencipta, mengetahui, melihat dan sebagainya hanya bermula beberapa ketika kemudian.

3.  Sebahagian al-Mutakallimin yang lain daripada kalangan umat Islam cuba mencari jalan pertengahan di antara pendapat pertama dan kedua di atas. Mereka berkata alam ini qadim dan sifat Allah sebagai pencipta (al-Khaliq) adalah juga qadim. Seterusnya mereka terbahagi kepada dua kelompok. Kelompok pertama berkata alam ini qadim tetapi pada waktu yang sama adalah makhluk ciptaan Allah. Kelompok kedua berkata alam ini qadim dan sifat al-Khaliq bagi Allah adalah juga qadim, hanya sifat tersebut adalah tidak aktif pada masa awalnya.

 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah membantah ketiga-tiga pendapat di atas. Terhadap pendapat pertama, beliau membantahnya sebagai kufur. Terhadap pendapat kedua, beliau membantahnya sebagai pendapat yang rosak lagi sesat. Beliau berhujah bahawa alam ini adalah makhluk yang baru dicipta setelah sebelumnya ia tiada. Alam ini dicipta oleh Allah dan sifat Mencipta itu (al-Khaliq) sentiasa dimiliki oleh Allah tanpa sebarang permulaan (الحوادث التي لا أول لها).

Terhadap pendapat ketiga (قدم العالم بالنوع), Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah membantahnya sebagai rosak dan sesat juga . Beliau berhujah bahawa alam ini dan segala isi serta jenis-jenisnya adalah tidak qadim, sebaliknya ia adalah baru sebagai satu makhluk yang dicipta oleh Allah setelah sebelumnya ia tiada.

Sayang sekali, sama ada kerana salah faham atau dengki, pendapat kedua dan ketiga yang dibantah oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah disandarkan kepada beliau pula. Seolah-olah beliau berpegang dengan pendapat yang kedua dan ketiga tersebut. Padahal yang benar adalah sebaliknya.

[18] Antaranya ialah Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam Makna Sebenar Bid‘ah, ms. 53 dan Zamihan Mat Zin al-Ghari dalam Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, ms. 102.

[19] Beliau ialah ‘Ali bin Ahmad bin Sa‘id, lahir di Cardova pada tahun 384H. Beliau seorang imam dalam hadis, fiqh dan perbandingan agama. Hanya saja pendapat-pendapat beliau dalam fiqh kurang masyhur kerana hanya berpegang kepada zahir nas tanpa qiyas. Meninggal dunia pada tahun 456H. Antara karyanya yang masyhur ialah kitab Usul al-Fiqh berjudul al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam.

[20]  Maratib al-Ijma’ (tahqiq: Hasan Ahmad, Dar Ibn Hazm, Beirut, 1998), ms. 267.

[21]  Naqd Maratib al-Ijma’ (dicetak bersama Maratib al-Ijma’, Dar Ibn Hazm, Beirut, 1998), ms. 303.

Ijma’ yang ditolak oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah ialah dua:

Pertama: Perkataan Ibn Hazm: “Kemudian Dia menciptakan apa jua benda sebagaimana yang Dia kehendaki.” Penggunaan perkataan “kemudian” adalah tidak tepat kerana ia mengisyaratkan bahawa Allah pada awalnya hanya suatu zat tanpa sifat, kemudian barulah Dia memiliki sifat seperti al-Khaliq yang dengan itu Dia menciptakan apa jua benda sebagaimana yang Dia kehendakinya. Padahal pandangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ialah zat dan sifat Allah adalah sama-sama azali lagi qadim, tidaklah antara zat dan sifat tersebut terpisah dengan satu jangka masa sehingga layak disebut “Kemudian Dia menciptakan…”.

Kedua: Ketika Ibn Hazm mengemukakan ijma’ tersebut, beliau meletakkannya di bawah judul: “Bab berkenaan ijma’ dalam persoalan-persoalan iktiqad (aqidah) yang, berdasarkan ijma’, menjadi kafir pada sesiapa yang menyelisihinya”. [Maratib al-Ijma’, ms. 267] Terhadap judul ini, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:

Ada pun kesepakatan generasi al-Salaf dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah bahawa Allah Maha Esa dan (Allah) mencipta segala sesuatu, maka ia adalah benar. Akan tetapi mereka (al-Salaf dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) tidak bersepakat bahawa orang menyelisihi kesepakatan tersebut adalah kafir. [Naqd Maratib al-Ijma’, ms. 303]

Bahkan ini juga merupakan pandangan Ibn Hazm dalam kitabnya yang lain berjudul al-Fashl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal, yang ringkasnya disebut sebagai al-Milal wa al-Nihal. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Demikian juga, telah disebut dalam kitabnya yang berjudul al-Milal wa al-Nihal bahawa para sahabat dan para imam, tidaklah mereka mengkafirkan orang yang tersilap dalam permasalahan aqidah dan pemikiran. [Naqd Maratib al-Ijma’, ms. 303]

Seterusnya beliau menjelaskan perbezaan pandangan yang berlaku disebabkan oleh perbezaan lafaz hadis Imran bin Hushain sebagaimana yang telah dikemukakan dalam Peringatan Kedua, di ruang utama sebelum ini. Beliau juga menjelaskan kesilapan dan kekeliruan al-Mutakallimin yang berkata hanya zat Allah yang azali lagi qadim sementara sifat-sifat-Nya seperti mencipta adalah baru, yang memiliki permulaan beberapa masa kemudian. Beliau menolak pandangan ini sebagai rosak dan sesat, akan tetapi beliau tidak mengkafirkan al-Mutakallimin tersebut.

Di sini para pembaca sekalian dapat memerhatikan niat kotor orang-orang yang membuat fitnah ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, kononnya beliau menolak ijma’ yang disebut oleh Ibn Hazm. Padahal tidaklah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menolak ijma’ tersebut melainkan untuk membela status agama para al-Mutakallimin yang tersilap lagi keliru. Seandainya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah membiarkan saja ijma’ yang disebut oleh Ibn Hazm, nescaya ramai al-Mutakallimin tersebut yang sudah dijatuhkan hukum kafir.

 

 

kandungan