Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Keenambelas:

Masalah Tawasul

 

التوسل

 

 

Ada yang memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bahawa konon beliau melarang tawasul (al-Tawassul). Fitnah ini dapat kita luruskan dengan beberapa langkah berikut[1]:

 

 

Pertama:

Bentuk tawasul yang dilarang oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah ialah tawasul dengan zat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (batang tubuh baginda) sama ada ketika baginda masih hidup atau sesudah kewafatannya. Contohnya tawasul yang dimaksudkan ialah:  (اللهم إني أسألك بنبيك) “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu dengan Nabi-Mu…”

Sebenarnya tawasul dengan zat bukan perkara yang muktamad dalam urusan syara' dan bukan juga perkara yang sudah diketahui secara mendasar dari urusan agama. Ia juga bukan perkara yang menjadi kesepakatan seluruh umat dari segi penafian mahu pun pengisbatannya. Justeru dianjurkan kepada para penuntut ilmu untuk mempelajari (mengkaji) dalil-dalil daripada kedua-dua belah pihak (sama ada yang membolehkannya atau melarang). Seterusnya bolehlah dia menguatkan mana-mana pendapat yang lebih dicenderungi oleh keyakinan hatinya tanpa sebarang rasa taksub dan kebutaan dari melihat kebenaran yang hakiki.

Telah termaktub satu ketetapan daripada para ilmuan Islam bahawa di dalam masalah ijtihad, tiada sebarang kemudharatan ke atas seseorang mujtahid untuk mengkaji dan menguatkan mana-mana pendapat yang dia kehendaki. Kemudian, sama ada dia tersilap di dalam ijtihad itu atau pun sebaliknya, dia tetap diberi pahala dalam kedua-dua keadaan. Ada pun bagi golongan yang menyempitkan apa yang telah diberikan kelapangan dan keluasan oleh Allah ‘Azza wa Jalla, maka kami katakan kepadanya: “Jangan kamu bawa keluasan Islam ini mengikut selera dadamu yang sempit.”[2]

 

 

Kedua:

 Berdoa tanpa bertawasul dengan zat makhluk, maka ia adalah cara berdoa yang sudah memenuhi sebahagian dari kandungan al-Qur'an itu sendiri. Begitu juga dengan doa yang dipanjatkan oleh para Nabi dan pengikut-pengikut mereka. Bahkan dalil-dalil secara mutawatir dari sunnah menunjukkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdoa tanpa bertawasul dengan zatnya sendiri atau dengan zat makhluk yang lain. Demikian juga para sahabat dan golongan tabi‘in, semuanya berdoa tanpa bertawasul dengan seseorang daripada makhluk Allah. Perkara ini sudah maklum dan nyata sekali.[3]

 

 

Ketiga:

Ada pun hadis “orang buta” yang lazim dijadikan dalil membolehkan tawasul dengan zat makhluk, maka Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam beberapa karangannya telah menerangkan bahawa hadis itu hanyalah menerangkan kebolehan meminta Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mendoakan bagi pihak lain.[4]

 


 

 

 


[1] Tawasul ialah berdoa dengan perantaraan makhluk. Ia terbahagi kepada dua jenis, yang dibolehkan secara muktamad dan yang diperselisihkan – sama ada dibolehkan atau tidak. Lebih lanjut rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan  Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[2] Dalam ertikata lain, boleh atau tidak bertawasul dengan zat makhluk adalah sesuatu yang diperselisihkan hukumnya. Dengan syarat, yang ditujukan doa dan yang diharap memakbulkan doa ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Pada masa kini wujud dua kumpulan yang ekstrim dalam persoalan tawasul dengan zat makhluk. Kumpulan pertama membolehkannya secara mutlak dan mencela sesiapa yang melarangnya. Kumpulan kedua melarangnya secara mutlak dan mencela sesiapa yang membolehkannya.

Ada pun Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah serta tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang lain seperti Syaikh al-Islam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, mereka cenderung kepada pandangan yang melarang. Akan tetapi pada waktu yang sama mereka tidak mencela orang yang membolehkannya. Ini kerana, dengan ilmu mereka yang amat luas, mereka mengetahui bahawa ini adalah persoalan ijtihadiyyah yang terbuka kepada perbezaan pendapat. Perhatikan penjelasan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam persoalan ini:

(Ada pun bertawasul dengan) bersumpah kepada Allah ‘Azza wa Jalla dengan para nabi dan orang-orang shalih, atau meminta kepada Allah dengan perantaraan mereka, maka tiada seorang jua yang dapat menaqal satu pun riwayat yang sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tentang masalah ini (sama ada ia dibolehkan atau dilarang). Juga tentang sumpah atau permintaan dengan perantaraan makhluk-Nya.

Meski pun di kalangan ulama’ ada yang membolehkannya, namun lebih banyak yang mengatakan bahawa ia dilarang. Oleh kerana itu, masalah ini masuk dalam kategori yang diperselisihkan sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Justeru perselisihan yang terjadi dalam masalah ini hendaklah dikembalikan kepada Allah dan Rasul-Nya, dan setiap orang yang memiliki pendapat boleh mengemukakan pendapatnya sebagaimana yang berlaku dalam semua masalah yang diperselisihkan.

Umat Islam bersepakat bahawa masalah ini tidak termasuk dalam masalah yang dijatuhkan hukum (bagi orang yang salah), bahkan yang menghukum atas masalah ini dianggap melampaui batas, jahil dan zalim. [Majmu’ al-Fatawa, jld. 1, ms. 285-286]

 

Syaikh al-Islam Muhammad bin ‘Abd Wahhab rahimahullah (1206H) juga memiliki penjelasan yang hampir sama. Beliau menegaskan:

Kenyataannya, ada sebahagian ulama’ yang membolehkan tawasul kepada orang-orang shalih manakala sebahagian lagi mengkhususkan kebolehan ini kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Sementara itu majoriti ulama’ telah melarangnya dan menganggap ia makruh. Ini adalah masalah yang termasuk dalam masalah fiqh. Justeru sekali pun yang benar menurut kami adalah pendapat jumhur, iaitu makruh, kami tetap tidak mengingkari orang yang membolehkannya. Ini kerana tidak boleh ada pengingkaran dalam masalah-masalah ijtihad. Akan tetapi pengingkaran kami adalah ke atas orang yang berdoa (dan mengharapkan pengaruh) makhluk lebih besar berbanding pengaruh Allah (dalam memakbulkan) doa tersebut. [Fatawa wa Masail al-Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab rahimahullah daripada Tarikh Najd li Ibn Ghanam, dalam  Muallifat al-Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, jld. 4, bhg. 2, ms. 68]

[3] Oleh itu pandangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang melarang tawasul dengan zat makhluk bukan sesuatu yang aneh atau salah tetapi ia adalah selari dengan al-Qur’an, al-Sunnah dan amalan al-Salaf al-Shalih.

[4] Namun hadis yang sama juga digunakan sebagai dalil oleh pihak yang membolehkan tawasul dengan zat makhluk. Hadis yang dimaksudkan ialah:

 

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ حُنَيْفٍ أَنَّ رَجُلاً ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَنِي. قَالَ: إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قَالَ: فَادْعُهْ. قَالَ: فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ.

Daripada ‘Utsman bin Hunaif (dia menerangkan bahawa) seorang lelaki buta datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkan aku.” Nabi menjawab: “Jika kamu hendak aku akan berdoa dan jika kamu hendak maka engkau boleh bersabar, itu lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu berkata: “Doakanlah aku.”

‘Utsman bin Hunaif seterusnya menerangkan bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh lelaki itu berwudhu’ dengan baik, kemudian berdoa dengan doa ini:

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon dan menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu, (iaitu) Muhammad Nabi pembawa Rahmat. Sesungguhnya aku menghadap denganmu kepada Tuhan-ku dalam hajatku ini agar dikabulkan bagiku. Ya Allah! Berilah syafaatnya untuk diriku.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3578 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan doa orang yang lemah)]

Wujud tiga pendapat terhadap hadis ini:

1.     Hadis di atas tidak menunjukkan kebolehan bertawasul dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, tetapi sekadar menunjukkan kebolehan meminta baginda mendoakan orang lain.

2.     Hadis di atas menunjukkan kebolehan bertawasul dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, akan tetapi ia hanya khusus untuk baginda ketika baginda hidup. Ia tidak boleh diqiyaskan kepada orang-orang shalih yang lain, sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia.

3.     Hadis di atas menunjukkan kebolehan bertawasul dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan orang-orang shalih, sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.

 

Para ilmuan yang berpendapat boleh bertawasul kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan orang-orang shalih sesudah mereka meninggal dunia, telah meletakkan empat syarat penting:

1.     Tawasul termasuk salah satu cara berdoa dan salah satu pintu untuk menghadap Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka yang menjadi sasaran atau tujuan asli yang sebenarnya dalam bertawasul ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sedangkan yang ditawasuli (al-mutawassal bih) hanya sekadar pengantara (wasithah dan wasilah) untuk menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dengan demikian siapa yang berkeyakinan selain demikian, sungguh dia telah mensyirikkan Allah.

2.     Sesungguhnya yang bertawasul itu tidak bertawasul dengan (menggunakan) perantara (al-mutawassal bih) kecuali kerana dia mencintai perantara itu seraya berkeyakinan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala juga mencintai perantara tersebut. Jika tidak demikian, dia akan termasuk manusia yang paling jauh dari perantara tersebut, bahkan akan menjadi manusia yang paling benci kepadanya.

3.     Jika yang bertawasul berkeyakinan bahawa yang ditawasuli atau yang menjadi perantara (al-mutawassal bih) itu berkuasa memberikan manfaat dan menolak mudarat dengan kekuasaannya sendiri seperti Allah atau lebih rendah sedikit, maka dia telah mensyirikkan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

4.     Bertawasul itu bukan merupakan sesuatu yang lazim atau dasar (dharuri) dan kemakbulan doa tidak bergantung kepada tawasul. Menurut asalnya dimakbulkan doa itu justeru lebih ditentukan oleh berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala secara mutlak. Meski pun tanpa tawasul; sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala secara jelas:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). [al-Baqarah 2:186]

Katakanlah: “Serulah nama Allah atau nama al-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia. [al-Isra’ 17:110]

[Syaikh Dr. Muhammad al-Maliki al-Hasani – Mafahim Yajib ‘an Tushahhah (edisi terjemahan oleh Tarmana Abdul Qasim atas judul Meluruskan Salah Faham Seputar Syafa‘at, Takfir, Tasawuf, Tawasul dan Ta’zhim; Remaja Rosdakarya, Bandung, 2001), ms. 101-102]

 

 

kandungan