Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Keempatbelas:

Masalah-Masalah Aqidah Dan Persoalan Ijtihad


مسائل العقيدة والاجتهاد

 

 

Orang-orang ada yang memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah kerana beliau melakukan ijtihad dalam masalah-masalah aqidah. Pemfitnah-pemfitnah tersebut mendakwa tidak ada ijtihad dalam aqidah dan sesiapa yang berijtihad, ia membawa kepada kekafiran.

 

Padahal Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berulang kali menegaskan dalam kitab-kitabnya bahawa perbezaan pendapat dalam masalah aqidah adalah sama seperti perbezaan pendapat dalam masalah fiqh. Maka di antaranya ada yang dibenarkan dan ada juga yang diharamkan. Dakwaan yang mengkhususkan kekafiran kepada (sesiapa yang berijtihad) dalam persoalan aqidah serta (sesiapa yang ikut membicarakan) perbezaan pendapat yang berlaku dalam persoalan aqidah adalah dakwaan yang batil. Dakwaan demikian dicedok dari kitab-kitab al-Mutakallimin. Tidak diketahui di sisi generasi al-Salaf al-Shalih pengkhususan sedemikian. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Maka sesiapa saja di kalangan umat Islam yang berijtihad untuk mencari kebenaran lalu silap, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkan kesalahannya, sekalipun apa jua keadaannya. Sama ada yang melibatkan masalah-masalah kajian atau ‘ilmiyyah. Inilah pendirian sahabat-sahabat Nabi dan jumhur para ilmuan Islam.[1]

 

Tindakan membezakan atau memisahkan antara satu jenis masalah dalam kategori tertentu dan satu jenis masalah lain kepada kategori tertentu yang lain adalah tindakan yang tiada asal usulnya. Contohnya memisahkan antara masalah-masalah al-Ushul (pokok)[2] dan menamakannya demikian, dengan masalah–masalah yang dinamakan sebagai al-Furu' (cabang)[3] yang dianggap tidak menjadi kufur bagi sesiapa mengingkarinya. Pembahagian dan perbezaan sebegini tidak datang daripada para sahabat atau para tabi’in, tidak juga daripada mana-mana tokoh ilmuan tertentu. Ia diambil daripada aliran al-Mu’tazilah dan yang semisal dengan mereka daripada kalangan Ahl al-Bid‘ah. Seterusnya daripada golongan inilah pula, para ahli fiqh mengambilnya dan memasukkan ke dalam kitab-kitab mereka.

 

Sekiranya dikemukakan pertanyaan: “Apakah had sempadan bagi masalah al-Ushul yang dikira kafir orang tersilap padanya? Dan apakah yang memisahkannya dengan masalah al-Furu’?” Sekiranya dikatakan oleh mereka: “Sesungguhnya masalah-masalah al-Ushul ialah berkenaan aqidah dan masalah-masalah al-Furu’ ialah berkenaan amalan, maka bagaimana halnya dengan peristiwa perselisihan yang berlaku di kalangan para sahabat dalam masalah adakah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melihat Allah (pada malam Isra' dan Mikraj)? Juga masalah adakah ‘Utsman ibn ‘Affan lebih utama daripada ‘Ali bin Abi Thalib atau Ali yang lebih utama?”[4]

 

Seterusnya dalam masalah memahami beberapa ayat al-Qur'an, mensahihkan beberapa riwayat hadis, ia juga merupakan masalah-masalah aqidah yang berbentuk ‘ilmiyyah. Namun mengikut kesepakatan para ilmuan, tiadalah seorang pun yang menjadi kafir (jika tersilap apabila berijtihad) dalam masalah sedemikian.[5]

 

   Perhatikan pula masalah wajib solat lima waktu, puasa Ramadhan, zakat harta benda, ibadah haji, pengharaman perkara-perkara keji dan arak. Semua ini dari kumpulan masalah al-Furu’, yakni ‘amaliyyah, namun para ilmuan Islam bersepakat bahawa sesiapa yang mengingkarinya akan menjadi kafir. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menegaskan:

Pembahagian masalah-masalah kepada masalah al-Ushul yang menjadi kafir bagi sesiapa yang mengingkarinya dan masalah al-Furu’ yang tidak menjadi kafir bagi sesiapa yang mengingkarinya, tidaklah ia (pembahagian tersebut) berasal daripada para sahabat, tidak daripada para tabi’in dan tidak juga daripada para imam umat Islam. Ia tidak lain dicedok daripada aliran al-Mu’tazilah dan semisal mereka daripada para pembesar Ahl al-Bid’ah.

 

Ketahuilah bahawa seorang muslim tidak akan menjadi kafir kecuali apabila mendustakan atau mengingkari hukum-hukum syari‘ah yang sudah diketahui dalam agama secara pasti, jelas serta disepakati secara yakin lagi meluas, baik dalam masalah aqidah, mu‘amalat atau ibadah. Inilah dasar yang dipegang oleh para ilmuan Islam yang terkemuka sepanjang zaman sebagaimana telah saya jelaskan dalam risalah khusus berjudul Ihkam al-Taqrir fi Masalah al-Takfir.[6]

 

Kenyataan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah di atas bukan sahaja menepis fitnah orang-orang yang mengkafirkan beliau kerana berijtihad dalam masalah aqidah tetapi juga menjadi bukti bahawa sekali pun beliau banyak menyelisihi al-Mutakallimin dalam persoalan aqidah, beliau tidak mengkafirkan mereka. Ada pun dakwaan bahawa beliau mengkafirkan sekian-sekian orang yang menyelisihinya, semua itu adalah pendustaan dan fitnah semata-mata.[7]

 

 

 

 

 


[1] al-Fatawa al-Maridiniyyah, ms. 122.

[2] Masalah al-Ushul  ialah masalah berkaitan dengan urusan aqidah dan usuluddin.

[3] Masalah al-Furu’ ialah masalah berkaitan urusan fiqh dan amalan zahir.

[4] Generasi al-Salaf al-Shalih pernah berbeza pendapat dalam masalah-masalah aqidah seumpama di atas. Mereka berijtihad untuk memilih pendapat yang paling benar akan tetapi mereka tidak mengkafirkan orang lain yang turut berijtihad lalu memilih pendapat yang berbeza daripada mereka.

[5] Yakni dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Qur’an dan menilai darjat hadis-hadis, dimana ayat dan hadis tersebut membicara masalah aqidah. Seseorang yang berijtihad dalam penafsiran dan penilaian tersebut tidaklah menjadi kafir jika dia tersilap.

[6] Mukhtashar al-Fatawa al-Mishriyyah, ms. 68.

[7] Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah adalah orang yang paling berhati-hati sebelum menghukum mana-mana individu atau aliran sebagai sesat, fasiq atau kafir. Jika beliau pernah menghukum sedemikian, beliau hanya melakukan apa yang telah dilakukan oleh tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang terdahulu berdasarkan bukti yang nyata. Lebih lanjut rujuk Manhaj Ibn Taimiyyah fi Masa’ilah al-Takfir oleh Dr. ‘Abd al-Majid bin Salim (‘Adwa’ al-Salaf, Riyadh, 1997).

 

 

kandungan