Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Ketigabelas:

Kiasan Dalam Bahasa


المجاز في اللغة
1

 

 

Sebahagian orang masa kini ada yang membuat fitnah ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah kerana beliau menolak wujudnya kiasan (al-Majaz) dalam bahasa Arab. Bagi orang yang membuat fitnah ini, kita kemukakan dua soalan:

  1. Adakah kalian membuat fitnah kerana menyangka wujud ijma’ (kesepakatan) di kalangan ahli bahasa tentang pembahagian hakikat (al-Haqiqah) dan kiasan (al-Majaz)? Maka ketahuilah tidak ada kesepakatan dalam bab ini. Para ahli bahasa berbeza pendapat sama ada boleh atau tidak melakukan pembahagian hakikat dan kiasan.

  2. Adakah kalian mengetahui hujah-hujah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah apabila beliau tidak membolehkan pembahagian hakikat dan kiasan? Berdasarkan soalan pertama di atas, ketahuilah bahawa wujud perbezaan pendapat di kalangan ilmuan tentang pembahagian hakikat dan kiasan. Apabila Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah memilih salah satu dari pendapat tersebut, sudah tentu beliau memiliki hujah-hujah yang kuat.

 

Hujah-hujah beliau dapat diringkaskan sebagai berikut:

 

Hujah Pertama:

Pembahagian kepada hakikat dan kiasan adalah sesuatu yang baru, yang sebelum ini tidak dikenali di kalangan generasi al-Salaf al-Shalih. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menegaskan:

Pembahagian ini hanya berlaku selepas tiga kurun yang pertama. Ia tidak pernah disebut oleh seorang jua daripada kalangan para sahabat dan tabi‘in yang dikenali dengan keshalihan mereka. Tidak juga oleh seorang jua daripada para imam yang masyhur dalam keilmuan mereka seperti Malik[2], al-Tsauri[3], al-Auza‘e[4], Abu Hanifah[5] dan al-Syafi‘e[6]. Bahkan ia tidak disebut oleh para imam bahasa dan nahu seperti al-Khalil[7], Sibawayh[8], Abi ‘Amr al-‘Ala’[9] dan semisal mereka.

 

……kata-kata: “Ini adalah hakikat” dan “Ini adalah kiasan” adalah perkataan yang tidak berasaskan ilmu. Disangkakan para ahli bahasa berkata sedemikian padahal tidak ada seorang jua daripada ahli bahasa yang berkata (seumpama itu). Tidak juga daripada kalangan al-Salaf dan para ilmuan mereka. Sesungguhnya istilah ini (al-Haqiqah wa al-Majaz) adalah sesuatu yang baru yang kemungkinan besar digunakan oleh aliran al-Mu’tazilah dan sebahagian daripada kalangan al-Mutakallimin. Ia tidak pernah wujud dalam perkataan seorang pun daripada kalangan ahli fiqh, ahli ushul, ahli tafsir, ahli hadis dan selainnya daripada generasi al-Salaf.[10]

 

 

Hujah Kedua:

Pihak yang cenderung kepada pembahagian hakikat dan kiasan, apakah garis pemisah yang mereka gunakan untuk membahagikan sesuatu perkataan kepada hakikat dan kiasan? Sebenarnya tidak ada garis pemisah yang jelas lagi baku. Tanpa adanya garis pemisah ini, banyak kerosakan yang berlaku kepada agama apabila aliran atau individu tertentu mula membuat tafsiran yang tersendiri dengan alasan “Ini adalah hakikat” dan “Ini adalah kiasan”.[11]

 

 

Hujah Ketiga:

Ada pun hujah yang lazim digunakan bagi membenarkan pembahagian hakikat dan kiasan, ia adalah hujah yang lemah. Hujah yang dimaksudkan ialah berkenaan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan bertanyalah kepada kampung tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar. [Yusuf 12:82] di mana perkataan (وسأل القرية) dianggap satu kiasan. Ini kerana seseorang itu tidak boleh bertanya kepada negeri, tetapi hanya boleh bertanya kepada penduduk negeri. Maka maksud hakikat ayat di atas ialah “Dan bertanyalah kepada penduduk negeri tempat kami tinggal…”.

 

Hujah ini dibantah oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah kerana dari sudut bahasa, kampung boleh bererti binaannya atau penduduknya atau kedua-dua binaan dan penduduk. Maka maksud yang dikehendaki hendaklah dirujuk kepada konteks perbincangan ayat. Ini bukanlah kes terpencil. Terdapat banyak perkataan yang kefahamannya dapat diketahui dengan merujuk kepada konteks perbincangannya. Ini adalah sesuatu yang mudah lagi lazim dalam bahasa dan tidak memerlukan kepada pembahagian hakikat dan kiasan.[12] Justeru apa yang dianggap sebagai kiasan bukanlah kiasan.[13]

 

 

 

 

 


[1] Antara yang melontar fitnah ini ialah Zamihan Mat Zin al-Ghari dalam Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, ms. 123.

[2] Beliau ialah Malik bin Anas, kepada beliau disandarkan Mazhab Maliki. Lahir pada tahun 93H dan meninggal dunia pada tahun 179H di Kota Madinah.

[3]  Beliau ialah Sufyan al-Tsauri Abu ‘Abd Allah bin Sa‘ad. Seorang ahli hadis yang masyhur dan memiliki dua kitab hadis: al-Jami’ al-Kabir dan al-Jami’ al-Shagheir. Lahir di Kufah pada tahun 100H dan meninggal dunia pada tahun 160H.

[4] Beliau ialah ‘Abd al-Rahman bin Auza’e yang dilahirkan di Syria pada tahun 89H dan meninggal dunia di Beirut pada tahun 157H. Seorang tokoh besar yang terkenal khasnya di Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan.

[5] Beliau ialah Nu’man bin Thabit yang lahir di Kufah pada tahun 80H dan meninggal dunia pada tahun 150H. Seorang imam mujtahid yang terkenal di mana kepada beliau disandarkan Mazhab Hanafi.

[6] Beliau ialah Abu ‘Abd Allah, Muhammad bin Idris al-Syafi‘e, kepada beliau disandarkan Mazhab al-Syafi‘e.  Lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 204H.

[7] Beliau ialah al-Khalil bin Ahmad Abu ‘Abd al-Rahman al-Farahidi al-Azdi. Beliau ialah seorang ahli bahasa yang masyhur dan merupakan salah seorang guru kepada Sibawayh. Lahir pada tahun 100H dan meninggal dunia pada tahun 170H.

[8] Beliau ialah Abu Bishr ‘Amr bin ‘Utsman bin Qanbar, seorang ahli bahasa yang masyhur sehingga hari ini, bahkan disebut sebagai bapa kepada ilmu nahu bahasa Arab. Meninggal dunia pada tahun 178H.

[9] Beliau ialah Abu ‘Amr bin al-‘Ala’ bin Ammar. Seorang ahli bahasa yang lahir di Mekah, membesar di Basrah dan meninggal dunia di Kufah pada tahun 154H.

[10] Majmu’ al-Fatawa, jld. 7, ms. 87-88.

[11] Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa, jld. 7, ms. 90 dan seterusnya mengemukakan kaedah-kaedah yang dijadikan garis pemisah oleh pihak yang cenderung kepada pembahagian hakikat dan kiasan. Kemudian beliau menerangkan kelemahan kaidah-kaidah tersebut.

Banyak kerosakan agama yang berlaku disebabkan pembahagian hakikat dan majaz. Seperti aliran-aliran yang mengatakan sifat-sifat Allah yang disebut dalam al-Qur’an dan al-Sunnah adalah kiasan sahaja. Lalu mereka mentakwilkan sifat-sifat tersebut kepada sesuatu lain yang mereka anggap hakikat.

Juga seperti aliran-aliran yang mengatakan iman di hati adalah hakikat manakala amal shalih hanyalah kiasan. Maka ramai yang meremehkan amal shalih atau melakukan perkara mungkar dengan alasan iman yang hakikat ialah di hati, bukan pada perbuatan.

[12] Majmu’ al-Fatawa, jld. 7, ms. 112 dan seterusnya.

[13] Jika dikaji keseluruhan karya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, akan ditemui beliau menggunakan kaedah kiasan bagi menjelaskan sesuatu perkataan atau ayat. Hanya saja beliau tidak menggelarnya kiasan tetapi sebagai kaedah bahasa Arab yang lazim digunakan. Beliau juga menggunakan kaedah yang juga disebut oleh para ahli ushul, iaitu sesuatu perkataan atau ayat hendaklah difahami secara hakikat melainkan terdapat bukti (qarinah) bahawa ia perlu difahami dengan cara yang lain. Penolakan beliau adalah kepada orang yang mengatakan “Ini hakikat” dan “Ini kiasan” tanpa mengemukakan sebarang bukti tentang pembahagian tersebut.

Lebih lanjut rujuk buku al-Dirasat al-Lughawiyyah wa al-Nahwiyyah fi Muallafat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah wa Atsaruha fi Istinbath al-Ahkam al-Syar‘iyyah oleh Dr. Hadi Ahmad Farhan (Dar al-Basha’ir, Beirut, 2001), ms. 193-258.

 

 

kandungan