Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Kesebelas:

Allah Menetap Di Atas Belakang Nyamuk


الاستقرار على ظهر بعوضة
1  

 

 

Sebahagian orang ada yang teruja apabila perkataan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang menukil daripada ‘Utsman al-Darimi[2] yang berkata dalam kitabnya Radd ‘ala Basyr al-Marisi:

Seandainya sesungguhnya Dia (Allah) kehendaki, nescaya Dia boleh menetap di atas belakang nyamuk, maka bersendirianlah (nyamuk) dengan kekuasaan Allah dan kelembutan Rububiyyah-Nya. Maka bagaimana pula di atas Arasy yang besar, lebih besar dari langit dan bumi?[3]

 

Pihak yang menukil kata-kata di atas sebagai sumber fitnah telah melakukan dua pendustaan:

 

  1. Dia berdusta dengan menyandarkan kata-kata di atas kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah padahal ia adalah perkataan ‘Utsman bin Sa‘id al-Darimi.[4]

  2. Apa yang dimaksudkan oleh al-Darimi dengan kata-kata itu ialah Allah tidak berhajat kepada Arasy. Allah Maha Kaya sehingga Dia tidak memerlukan Arasy sebagaimana Dia tidak memerlukan nyamuk, sebagai satu bentuk perbandingan. al-Darimi menggunakan perkataan (لو) yang bermaksud andaian yang pasti tidak berlaku.[5] Maka kata-kata al-Darimi tidak bermakna Allah berkehendak untuk menetap di atas belakang nyamuk atau tidak bermakna Allah memang menetap di atas belakang nyamuk.

 

Berkenaan poin kedua di atas, berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Sudah tentu menjadi kafir jika umat Islam mengatakan: “Sesungguhnya langit dan bumi meneduhi dan memayungi-Nya”, kerana perkataan sedemikian menunjukkan Allah berhajat kepada makhluk-Nya (iaitu langit dan bumi). Maka sesiapa yang berkata: “Sesungguhnya Allah istiwa’ di atas Arasy, (Allah) berhajat kepada Arasy seperti berhajatnya barang yang dibawa kepada seorang pembawa[6], maka sesungguhnya dia kafir. Ini kerana Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan) kepada apa-apa jua di alam ini. Allah Berdiri dengan sendiri, Dia Maha Kaya secara mutlak dan tiadalah segala sesuatu (di alam ini melainkan) berhajat kepada-Nya.[7]

 


 

 

 


[1]  Antara yang melontar fitnah ini ialah Zamihan Mat Zin al-Ghari dalam Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, ms. 105.

[2]  Beliau ialah Abu Sa‘id ‘Utsman bin Sa‘id bin Khalid al-Darimi al-Sijzi (282H) yang telah diperkenalkan sebelum ini. Karyanya di atas merupakan bantahan ke atas iktikad dan pandangan seorang daripada aliran al-Jahmiyyah yang bernama Abu ‘Abd al-Rahman Basyr bin Ghayats bin Abi Karimah al-Marisi. Lahir pada tahun 138H dan mati pada tahun 218H. Tidak sempat bertemu al-Jahm bin Shafwan (128H) tetapi beliau mengambil pemikirannya.

            Judul lengkap kitab ‘Utsman al-Darimi ialah Naqd al-Imam Abi Sa‘id ‘Utsman bin Sa‘id ‘ala al-Marisi al-Jahmi al-‘Anid fi ma Iftara ‘ala Allah ‘Azza wa Jalla min al-Tauhid. Ia lazim disebut sebagai Radd ‘ala Basyr al-Marisi sahaja dan diterbitkan oleh Maktabah al-Rusyd, Riyadh, 1998.

[3]  Bayan Talbis al-Jahmiyyah, jld. 1, ms. 568.

[4]  Cuma perlu dialih satu mukasurat ke belakang (ms. 567), akan ditemui: “Berkata ‘Utsman bin Sa‘id al-Darimi dalam kritikannya ke atas al-Marisi……”

[5] Teks arabnya seperti berikut:

 

ولو قد شاء لاستقر على ظهر بعوضة فاستقلت به بقدرته ولطف ربوبيته فكيف على عرش عظيم أكبر من السموات والأرض...

[6] Contoh: Jamal sedang membawa sebuah buku. Buku itu amat berhajat kepada Jamal kerana jika Jamal melepaskannya, pasti buku itu akan jatuh. Aliran al-Jahmiyyah beriktikad Allah berhajat kepada Arasy sebagaimana buku berhajat kepada Jamal. Seandainya Arasy tiada atau malaikat pembawanya tiada, pasti Allah akan terjatuh. Maha Suci Allah dari bersifat sedemikian.

Maka ‘Utsman bin Sa‘id al-Darimi membantah iktikad al-Jahmiyyah dengan hujah bahawa Allah tidak berhajat kepada apa-apa jua daripada kalangan makhluk-Nya. Dalam bantahannya itu, al-Darimi menggunakan nyamuk sebagai contoh perbandingan kerana ia adalah makhluk yang boleh terbang tetapi amat halus lagi lemah.

Justeru sama ada makhluk-Nya yang amat besar seperti Arasy atau makhluk-Nya yang amat kecil seperti nyamuk, Allah tetap tidak berhajat kepada kedua-duanya. Sama ada makhluk-Nya yang amat kuat seperti malaikat pembawa Arasy atau makhluk-Nya yang amat lemah seperti nyamuk, Allah juga tetap tidak berhajat kepada kedua-duanya. Allah Maha Kaya, Dia tidak berhajatkan kepada apa-apa jua daripada kalangan makhluk-Nya. Sebaliknya makhluk-makhluk itulah, besar atau kecil, kuat atau lemah, yang berhajat kepadanya.

Berkenaan malaikat pembawa Arasy, sila rujuk ayat berikut:

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya. [al-Mukmin 40:07] 

[7]  Majmu’ al-Fatawa, jld. 2, ms. 88.

 

 

 

kandungan