Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Kesepuluh:

Nabi Duduk Di Atas Arasy
 

إجلاس النبي على العرش1

 

 

Sebahagian orang menukil kata-kata Abu Hayyan[2] dalam kitab tafsirnya al-Nahr al-Mad satu ungkapan yang berbunyi:

Saya telah membaca dalam kitab Ahmad bin Taimiyyah[3] satu perkara yang kita lalui dan ia adalah dengan tulisannya yang dinamakan Kitab al-Arasy. Bahawa Allah Ta‘ala duduk di atas al-Kursi dan Dia mengosongkan satu tempat untuk duduk bersama-Nya di situ oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

 

Fitnah ini dapat dijawab seperti berikut:

 

 

Pertama:

Masalah “duduk di atas al-Kursi” sebenarnya bukan pendapat peribadi Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tetapi pendapat yang dinukilnya daripada Mujahid[4]. Kemudian, apa yang diungkap oleh Abu Hayyan adalah daripada perkataan beliau sendiri kerana yang disebut oleh Mujahid ialah al-Arasy dan bukannya al-Kursi.

Seterusnya, Abu Hayyan hanya menyebut dia membaca ungkapan tersebut dalam kitab Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Abu Hayyan tidak pula menerangkan konteks perbincangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, sama ada beliau membincangnya dalam rangka menyokong, menolak atau memperincikannya.

 

 

Kedua:

Perbincangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang sebenar adalah seperti berikut:

al-Qadhi Abu Ya'la[5] telah mengarang kitabnya Ibthal al-Takwil untuk menjawab kitab Ibn Furak[6] yang sekali pun di dalamnya memiliki beberapa hadis dan riwayat yang dijadikan sandaran, ia adalah hadis yang maudhu’ (palsu). Contohnya ialah hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melihat Allah dengan mata kepalanya pada malam Isra' dan Mikraj.

 

Juga sesetengah perkara yang diriwayatkan daripada sebahagian generasi al-Salaf, seperti hadis duduknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas Arasy. Sebahagian orang meriwayatkannya melalui jalan periwayatan yang banyak dan menghubungkannya kepada baginda, padahal kesemuanya maudhu’. Hanya sahaja yang sabit (adalah riwayat) daripada Mujahid dan selainnya daripada kalangan al-Salaf (dan bukannya perkataan Rasulullah).

 

Generasi al-Salaf dan para imam mereka meriwayatkannya dan tidak mengingkarinya, bahkan mereka menerimanya. Ada pula yang mengatakan: Perkara seperti ini tidak disebut melainkan ia bersifat tauqif (didiamkan). Akan tetapi perlulah dibezakan antara lafaz yang sabit daripada Rasul dan lafaz yang sabit daripada kata-kata orang lain samada ianya diterima ataupun ditolak.[7]

 

Maka perhatikan kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah di atas. Maka dari manakah datangnya pembohongan dan pemalsuan (yang dilakukan oleh Abu Hayyan) ini?

 

 

Ketiga:

Riwayat Mujahid yang dimaksudkan, ia dikeluarkan oleh Ibn Jarir al-Thabari[8] dan selainnya ketika menafsirkan ayat:

Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu (Wahai Muhammad) pada Hari Akhirat di tempat yang terpuji. [al-Isra’ 17:79]

 

Diriwayatkan daripada Mujahid bahawa tempat terpuji itu ialah “Didudukkannya bersama-Nya di atas Arasy”.[9]

 

 

Keempat:

Persoalan duduknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas Arasy, seandainya ia sabit – dan yang benar adalah ia tidak sabit[10], tidak ada kaitan dengan subjek nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya. Seandainya sabit, maka menjadi hak Allah untuk mendudukkan Rasul-Nya mengikut apa dan bagaimana yang Dia kehendaki. Yang penting, Allah istiwa’ di atas Arasy dengan cara yang layak bagi-Nya tanpa penyerupaan dengan makhluk.

 

 

Kelima:

Saya telah menukil dalam kitab-kitab biografi bahawa wujud permusuhan antara Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dengan Abu Hayyan. Padahal telah sabit dalam hadis yang sahih:

 

لاَ تَجُوزُ شَهَادَةُ خَائِنٍ وَلاَ خَائِنَةٍ وَلاَ زَانٍ وَلاَ زَانِيَةٍ وَلاَ ذِي غِمْرٍ عَلَى أَخِيهِ.

 

Tidak diperbolehkan saksi orang yang khianat sama ada lelaki atau perempuan, tidak juga daripada orang yang berzina sama ada lelaki atau perempuan, dan tidak juga saksi daripada orang yang iri hati terhadap saudaranya.[11]

Maka penyaksian atau pengakuan Abu Hayyan dalam isu ini adalah tertolak sejak dari awal.[12]

 


 

 

 


[1]  Antara yang melontar fitnah ini ialah Zamihan Mat Zin al-Ghari dalam Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, ms. 107.

[2]  Beliau ialah Abu Hayyan al-Andalusi, seorang ahli bahasa dan ahli tafsir yang terkenal dengan karyanya al-Bahr al-Muhith. Kitab al-Nahr al-Mad merupakan ringkasan beliau ke atas al-Bahr al-Muhith. Abu Hayyan lahir pada tahun 654H dan meninggal dunia pada tahun 754H.

[3]  Iaitu Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Disebabkan permusuhan Abu Hayyan kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, dia enggan menggunakan gelaran “Syaikh al-Islam”, sebaliknya menyebut nama sahaja.

[4]  Beliau ialah Mujahid bin Jabar, lahir pada tahun 20H. Beliau ialah anak murid termuda ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma. Akan tetapi beliau adalah murid yang paling dipercayai dalam meriwayatkan tafsir al-Qur’an daripada Ibn ‘Abbas. Beliau meninggal dunia pada tahun 103H.

[5] Beliau ialah Abu al-Husain Muhammad bin al-Husain bin Khalaf al-Fara’, seorang tokoh Mazhab Hanbali yang terkenal melalui kitabnya Thabaqat al-Hanabilah. Beliau lahir pada tahun 380H dan meninggal dunia pada tahun 458H.

[6]  Mungkin yang dimaksudkan ialah Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan bin Furak al-Ashbahani. Seorang syaikh al-Mutakallimin yang beraliran al-Asya‘irah, meninggal dunia pada tahun 455H.

[7] Dar‘u Ta‘arudh, jld. 5, ms. 237. Ada pun perkataan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang kesabitan riwayat Mujahid, maka ia akan saya terangkan kemudian.

[8] Beliau ialah imam para ahli tafsir. Nama penuhnya ialah Abu Ja’far Muhammad bin Jarir bin Yazid al-Thabari. Lahir di kota Tabarstan pada tahun 224H dan meninggal dunia pada tahun 310H. Karyanya yang terkenal ialah Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Qur’an yang lazim disebut sebagai Tafsir al-Thabari.

Berdasarkan kitab tafsirnya, sebahagian orang ada yang meragui aqidahnya dan mengeluarkannya daripada barisan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Yang benar beliau ialah seorang tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebagaimana yang disaksikan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

Ada pun kitab-kitab tafsir yang beredar di tangan orang ramai, yang paling benar ialah tafsir Muhammad bin Jarir al-Tabari dimana beliau menyebut perkataan-perkataan kaum al-Salaf dengan sanad-sanad yang sabit, tidak ada bid’ah dalamnya dan tidak meriwayatkan hadis daripada orang-orang yang bermasalah (kecuali sedikit). [Majmu’ al-Fatawa, jld. 13, ms. 386]

Ada pun aqidah beliau berkenaan nama-nama dan sifat-sifat Allah, al-Zahabi (748H) menyatakan:

Inilah kitab tafsir yang dikarang oleh imam para imam, dimana bagi ayat-ayat al-Sifat beliau berpegang kepada perkataan para al-Salaf yang menetapkannya tanpa menafikan mahu pun mentakwilkannya. Dan beliau tidak sekali-sekali menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk-makhluk. [Siyar al-‘Alam Nubala (tahqiq: Syu‘aib al-Arna‘uth; Muassasah al-Risalah, Beirut, 1998), jld. 14, ms. 280]

[9] Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Qur’an (Dar al-Fikr, Beirut, 1999), riwayat no: 17068.

Mujahid menyebutnya tanpa menyandarkan kepada Ibn ‘Abbas, menunjukkan ia adalah pendapat peribadi beliau. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah mengisyaratkan hal ini dengan berkata: “Akan tetapi perlulah dibezakan antara lafaz yang sabit daripada Rasul dan lafaz yang sabit daripada kata-kata orang lain samada ianya diterima ataupun ditolak”.  Selain itu kebanyakan riwayat lain, termasuk daripada Mujahid, menafsirkan tempat terpuji sebagai pemberian izin oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk memberi syafaat kepada umatnya pada Hari Akhirat kelak.

[10]  Kebanyakan kitab tafsir mengemukakan riwayat Mujahid tanpa membicara sama ada ia benar atau tidak. Sekali pun mereka tidak setuju dengan keterangan Mujahid sebagai tafsiran yang tepat ke atas ayat 79 surah al-Isra’, mereka tidak pula memberi ulasan ke atasnya. Agaknya kerana inilah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menganggap riwayat tersebut adalah sabit.

Akan tetapi anak murid Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Ahmad al-Zahabi (748H) telah menyanggah riwayat tersebut. Ketika membicara biografi Mujahid, al-Zahabi berkata:

Dan di antara yang paling diingkari berkenaan apa yang diriwayatkan daripada Mujahid dalam tafsir adalah berkenaan firman Allah: Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu (Wahai Muhammad) pada Hari Akhirat di tempat yang terpuji. [al-Isra’ 17:79] (dimana) berkata Mujahid: “Didudukkannya bersama-Nya di atas Arasy”. [Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal (tahqiq: ‘Adil Ahmad & ‘Ali Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995), jld. 6, ms. 25, biografi no: 7078]

[11]  Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3601 (Kitab al-Aqdiyyah, Bab orang yang persaksiannya ditolak).

[12]  Kesimpulannya, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak menyatakan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan duduk di atas Arasy pada Hari Akhirat nanti. Beliau hanya membicarakan riwayat-riwayat dan pandangan-pandangan yang wujud berkenaan hal ini.

 

 

kandungan