Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Meninjau Semula Hukum Kenajisan Khinzir

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Tinjauan # 5: Kenapakah Daging Khinzir Dianggap Najis?

 

Ramai orang yang membuat rumusan bahawa daging khinzir adalah najis kerana ia adalah binatang yang lazimnya memakan kotoran dan hidup di habitat yang kotor. Oleh itu memakan daging khinzir akan membawa kesan yang negatif kepada manusia. Ini adalah pendapat yang berdasarkan logik yang mudah serta penemuan sains yang tidak muktamad. Sebab pada realitinya banyak manusia yang memakan daging khinzir tanpa menghadapi apa-apa kesan negatif daripadanya. Pada waktu yang sama ada manusia yang menerima kesan negatif kerana memakan daging lembu, kambing, ayam dan sebagainya. Lalu bagaimanakah hendak dineracai hakikat ini?

 

Hal ini sebagaimana pendapat sebahagian orang yang mengatakan terdapat virus pada air liur anjing sehingga dengan itu kita diwajibkan samak daripada jilatannya. Akan tetapi pada realitinya anjing lazim menjilat orang yang memeliharanya sebagai binatang kesayangan dan kita tidak melihat apa-apa kesan negatif kepada mereka.

 

Yang benar istilah najis itu sendiri memiliki banyak maksud di dalam bahasa Arab. Yang penting bagi kita ialah menjauhinya, bukan kerana logik atau penemuan sains tetapi kerana “Kami dengar dan kami taat” terhadap perintah larangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini kerana perintah larangan Allah adakala memiliki alasan logik di sebaliknya, adakala memiliki alasan ilmiah di sebaliknya dan adakala memiliki alasan ujian bagi orang yang beriman. Bukankah Allah telah berfirman:

 

Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (bagi kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.

[al-Mulk 67:02]

 

 

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi memperincikan hakikat ini:

 

Mungkin ada beberapa orang yang mempersoalkan, kotoran apa yang terdapat di dalam khinzir? Sebagaimana yang kami katakan mengenai air liur anjing, maka demikian juga kami katakan mengenai daging khinzir. Kita terikat oleh perintah larangan serta beban syari‘at sama ada kita mengetahui alasannya atau tidak. Ini merupakan bentuk ujian terhadap keimanan kita semua. Apakah kita taat kepada Tuhan kita atau kita taat terhadap akal kita? Sesungguhnya kewajipan kita adalah mengatakan apa yang diperintahkan kepada kita walaupun kita tidak mengerti maknanya. Kita mendengar dan kita taat. Kita meminta ampun kepada-Mu wahai tuhan dan kepada-Mu kita kembali. [Fikih Thaharah, ms. 28]

 

 

 

 

Tinjauan # 6: Menganalisa Pendapat Yang Mengkategorikan Khinzir Sebagai Najis Berat.

 

Dimaklumi bahawa pendapat yang masyhur mengkategorikan khinzir dan anjing sebagai najis berat, dikenali juga sebagai najis mughallazhah (مغلظة). Sebenarnya mengkategorikan khinzir dan anjing sebagai najis berat tidak memiliki asas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Lebih berat, mengkategorikan khinzir dan anjing secara sedemikian membuatkan umat Islam memandang mereka sebagai makhluk yang najis, jijik, hina, buruk dan layak dizalimi. Pandangan atau sikap seperti ini adalah satu kesalahan besar di dalam Islam.

 

Ketahuilah bahawa khinzir dan anjing adalah makhluk yang dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firman-Nya:

 

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [al-Nur 24:45]

 

 

Mereka termasuk para makhluk yang sujud kepada Allah:

 

Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepada-Nya). [al-Nahl 16:49]

 

 

Malah mereka juga sentiasa berzikir kepadanya:

 

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka.

Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

[al-Isra’ 17:44]

 

 

Habitat kehidupan khinzir yang kotor pada ukuran manusia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengkategorikannya sebagai haiwan najis berat kerana ia pada asalnya adalah ketentuan Allah jua:

 

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan). [Hud 11:06]

 

 

Khinzir dan anjing termasuk dalam keumuman makhluk yang disebut dan dipuji oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat-ayat-Nya di atas. Maka siapakah manusia untuk menyelisih ayat-ayat Allah di atas dengan mengkategorikan makhluk-Nya sebagai haiwan yang najis, jijik, hina dan dengan pelbagai sifat lain yang buruk?

Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengampuni kesalahan kita, amin.

 

 

 

 

Tinjauan # 7: Hukum Memanfaatkan Khinzir Selain Dagingnya.

 

Timbul persoalan selanjutnya, bolehkah kita memanfaatkan bahagian-bahagian khinzir selain dagingnya seperti kulit, bulu, gigi, tulang, usus, otak, enzim dan sebagainya? Adakah ia termasuk dalam kategori bangkai yang diharamkan dalam ayat 145 surah al-An’aam?

 

Persoalan ini dijawab dari dua sudut:

 

Pertama: Dimanfaatkan bukan untuk tujuan pemakanan.

Perbicaraan ayat 145 surah al-An’aam merujuk kepada apa yang halal dan apa yang haram untuk dijadikan makanan. Marilah kita merujuk kembali kepada ayat tersebut:

 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah najis.”

[al-An’aam 6:145]

 

 

Oleh itu apa yang tidak dijadikan makanan, maka ia kembali pada hukum asal di mana segala sesuatu adalah baik, suci, halal dan bermanfaat kepada manusia. Maka dengan itu dibolehkan memanfaatkan apa-apa daripada khinzir yang kegunaannya bukan untuk pemakanan. Secara lebih terperinci:

·         Boleh menggunakan bulu khinzir untuk dibuat berus.

·         Boleh menggunakan keputihan tulangnya (bone white) untuk membuat pinggan.

·         Boleh menggunakan usus atau enzimnya dalam kegunaan kosmetik dan kebersihan seperti krim, sabun dan sebagainya.

·         Boleh menggunakan kulit khinzir untuk dibuat beg, jaket dan kasut dengan syarat ia disamak terlebih dahulu sebagaimana kulit haiwan-haiwan yang lain. Ini berdalilkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibn Majah yang disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih al-Jami al-Shagheir – hadis no: 2711:

 

“Kulit apa saja yang disamak maka ia adalah suci.”

 

 

Kedua: Dimanfaatkan untuk tujuan pemakanan.

Jika sesuatu daripada khinzir selain dagingnya ingin dijadikan sumber makanan, maka setakat ini penulis belum menemui mana-mana ahli fiqh dan ilmuan Islam yang membicarakannya secara mendalam. Malah mereka meluaskan erti “daging khinzir” dalam ayat 145 surah al-An’aam kepada keseluruhan khinzir dalam konteks pemakanan.

 

Lebih dari itu ayat 145 surah al-An’aam telah melarang kita memakan bangkai. Yang dimaksudkan sebagai bangkai ialah semua binatang, termasuk khinzir, yang mati tanpa disembelih seperti mati kerana sakit, tercekik, dipukul, jatuh, diterkam binatang lain dan sebagainya. Setakat ini tidak diketahui ada khinzir yang disembelih.

Oleh itu yang menjadi pilihan ialah tidak memanfaatkan apa-apa yang berasal dari khinzir untuk tujuan pemakanan.

 

Seperkara lain yang perlu ditekankan adalah, seseorang itu tidak perlu memberat-beratkan dirinya untuk menyelidik sama ada makanan yang ingin diambilnya mengandungi unsur khinzir atau tidak. Ini kerana syari‘at Islam tidak memberatkan seseorang melebihi kemampuannya. Firman Allah:

 

Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. [al-Hajj 22:78]

 

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. [al-Maidah 5:06]

  

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu. [al-Maidah 5:101]

 

 

Oleh itu:

·         Jika bagi sesuatu makanan tercatit secara jelas bahawa ia mengandungi unsur khinzir, maka jauhilah makanan tersebut.

·         Jika bagi sesuatu makanan tidak dicatit secara jelas mengandungi unsur khinzir, maka dibolehkan mengambil makanan tersebut. Sebagai contoh, ada segelintir orang yang menjadi fobia melihat makanan yang kandungannya (ingredients) disenaraikan kod-kod kimia seperti E114, G45 dan sebagainya. Mereka membuat andaian bahawa ia adalah sesuatu yang dibuat daripada khinzir. Selagi mana andaian ini tidak memiliki bukti yang kukuh, maka ia tidak perlu diberi perhatian. Ini kerana keyakinan tidak dapat diubah oleh keraguan atau sangkaan.

 

Jika seseorang itu tanpa disedarinya telah memakan sesuatu yang mengandungi unsur khinzir, maka adalah memadai baginya berkumur-kumur seperti biasa. Mulutnya tidak perlu disamak.

 

 

 

 

 

Pengenalan

 

Tinjauan 1 - 4

 

Kesimpulan

 

 

 

 

Kandungan