Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Meninjau Semula Hukum Kenajisan Khinzir

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Pada akhir bulan March 2005 yang lalu, umat Islam digemparkan dengan tindakan seorang wanita yang menjadi khatib dan mengimami solat Jumaat di bandar New York, Amerika Syarikat. Oleh kerana tindakan ini adalah sesuatu yang “baru” di sisi umat Islam, ramai yang menolak dan mengkritiknya secara negatif. Tidak kurang juga dicelah-celah itu, ada yang merebut peluang daripada tindakan tersebut demi mengembangkan lagi aliran Islam Liberal yang menjadi perjuangan mereka.

 

Lebih kurang pada tempoh yang sama, berlaku juga satu insiden yang menarik di tanah air. Dua buah kilang sosej telah diserbu kerana dituduh menggunakan bahan-bahan daripada khinzir dalam proses pembuatan sosej. Bertitik tolak daripada serbuan itu, timbul persoalan di kalangan umat Islam tanah air, apakah hukumnya jika mereka sebelum itu telah termakan sosej tersebut? Beberapa agamawan tanah air telah memberi jawapannya: Hendaklah disamak mulut, gigi dan lidah untuk menyucikannya daripada kesan khinzir yang terkandung dalam sosej tersebut. Memandangkan hukum samak terhadap najis khinzir adalah sesuatu yang “lama” di kalangan umat Islam tanah air, maka tidak ramai yang mempersoalkan hukum para agamawan tersebut.

 

Dalam risalah yang serba ringkas ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian untuk meninjau semula, sejauh manakah kebenaran hukum tersebut. Ajakan penulis bukan kepada mengkritik para agamawan tersebut, tetapi kepada menganalisa sesuatu yang sudah sekian lama menjadi kefahaman kita semua. Tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa majoriti umat Islam Malaysia memahami khinzir dan anjing sebagai najis yang berat. Maka apabila sahaja bersentuhan dengan khinzir, sama ada secara keseluruhannya sebagai seekor haiwan atau sebahagian-sebahagian seperti kulit, bulu, tulang, usus, gigi dan sebagainya, hendaklah disamak dengan tujuh basuhan air, yang pertama disertai tanah.

 

 

Dalil Kenajisan Khinzir Dan Cara Menyucikannya.

Dalil yang digunakan dalam kefahaman ini ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah najis.” [al-An’aam 6:145]

 

Jika daging khinzir adalah najis, sudah tentu keseluruhan badan dan anggota khinzir adalah najis juga. Ini kerana daging merupakan bahagian yang utama bagi seekor haiwan sehingga jika ia najis, sudah tentu selainnya adalah najis.

 

Cara untuk menyucikan diri daripada khinzir ialah menyamaknya dengan tujuh basuhan air dengan basuhan yang pertama disertai dengan tanah. Ini merujuk kepada cara menyucikan diri daripada sentuhan anjing berdasarkan hadis:

 

“Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali.” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 172 (Kitab Wudhu, Bab jika anjing minum daripada bekas air……)]

 

 

Jika anjing yang tidak disebut dalam al-Qur’an perlu disamak dengan tujuh basuhan, sudah tentu khinzir yang disebut kenajisannya dalam al-Qur’an lebih patut disamak dengan tujuh basuhan juga.

 

Demikian dalil dan hujah majoriti ahli fiqh berkenaan hukum kenajisan khinzir dan anjing serta cara menyucikan diri daripadanya. Merujuk kepada hukum kenajisan anjing, penulis telah menulis sebuah risalah khusus tentangnya berjudul “Hukum Kenajisan Anjing: Satu Penilaian Semula.” Ia boleh dirujuk dalam buku penulis “Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah” (Buku 3) terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005. Maka dalam risalah ini, penulis akan memberi tumpuan kepada meninjau semula hukum kenajisan khinzir dan perkara-perkara berkaitan dengannya sahaja. Tinjauan adalah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

 

Kemungkinan apa yang bakal dikemukakan oleh penulis dalam risalah ini adalah sesuatu yang baru lagi ganjil kepada sebahagian pembaca. Diharapkan yang menjadi ukuran benar atau salah ialah dalil dan hujah, bukan kebaruan dan keganjilannya.

 

 

Tinjauan 1 - 4

 

Tinjauan 5 - 7

 

Kesimpulan

 

 

Kandungan