Membedah Kotak Pemikiran Astora Jabat  

Tok Janggut

 

 

Pengenalan

Method Pemikiran Astora:

Method Pertama

Method Kedua

Penutup

 

Kandungan

 

 

 

Method pemikiran Astora

 

Method Kedua: Menggunakan hujah khilaf dan keliru mengenai ijtihad

Khilaf[1], sepertimana menurut Astora di dalam artikel “Beramal hukum minoriti[2] dan “Khilafiah itu sunatullah[3], sememangnya adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, pemahaman khilaf menurut kotak pemikiran Astora bermaksud “terdapat pandangan lain di dalam perkara itu tanpa mengira pandangan itu benar atau salah asalkan ia selari dengan pendapat saya”. Maksudnya di sini, Astora memetakan dan memprinsipkan khilaf itu, selagi mana ada pandangan lain di atasnya, ia menjadi khilaf. Beliau tidak mengambil kira sama ada pandangan tersebut shaz (ganjil), pelik, atau tertolak kerana berasal daripada aliran yang berada di luar aliran kita – Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Baginya, asalkan ada pandangan, apa sahaja nas yang digunakan (atau tidak digunakan) adalah tidak penting. Apa yang penting bahawa terdapat si fulan mengatakan bahawa perkara ini sekian, sekian lantas ia menjadi khilaf.

 

Astora menegakkan hujah-hujahnya dengan mengatakan bahawa pendapatnya pendapat minoriti dan tidak semestinya apabila ia bercanggah dengan majoriti atau jumhur ia tertolak. Berkata Astora:

 

Hakikatnya tidak semua hukum fiqah yang dianggap betul, kuat dan majoriti dianggap betul, kuat dan majoriti pada zaman ini…Begitu juga tidak semua hukum yang dianggap salah, lemah dan minoriti dianggap salah, lemah dan minoriti pada zaman ini.[4]

 

 

Pendapat ini benar pada prinsipnya tetapi salah pada pelaksanaannya di sisi Astora Jabat. Ini kerana:

 

Pertama: Astora meletakkan bahawa khilaf akan berlaku dalam semua perkara di dalam syariat Allah s.w.t.. Walhal sebenarnya “khilaf itu hanya berlaku dalam perkara yang cabang (furu’) dan perkara-perkara ijtihad, bukan dalam perkara dasar dan I’tiqad”.[5]

 

Maka oleh kerana terdapat “khilaf” ini, Astora menyatakan bahawa hukum fiqh yang tidak qatie (muktamad) bukanlah satu hukum yang datangnya dari Allah yang tidak boleh dipertikaikan. Menurutnya:

 

Kebanyakan hukum fiqh itu tertakluk kepada ruang zaman dan tempat yang berbeza di mana ia tidak boleh dipandang kudus atau suci seperti hukum yang muktamad daripada Allah dan Rasul-Nya. Dalam erti kata lain kebanyakan hukum fiqh boleh diterima dan ditolak. Selain ia juga perlu dinilai semula kerana terdapat banyak hukumnya yang tidak lagi dianggap sesuai dengan zaman dan tempat yang berbeza pada ketika ini.[6]

 

Kita mengakui bahawa terdapat ijtihad yang sesuai dengan satu-satu masa dan keadaan sahaja. Tetapi menyatakan bahawa hukum fiqh bukanlah hukum yang datang dari Allah dan Rasul-Nya adalah suatu pertuduhan yang berat. Ini seolah-olah Astora menuduh para ulama yang berusaha keras menggali dan meneliti hukum halal dan haram berijtihad di atas akal tanpa menyandarkannya kepada nas wahyu al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Sebenarnya perbezaan pendapat berlaku bukan semata-mata tidak ada nas di atas suatu permasalahan. Banyak sebab lain yang mengakibatkan perbezaan pendapat di dalam perkara fiqh. Di antaranya ialah “kepelbagaian bahasa arab yang digunakan sehingga berlaku lafaz dalil berbentuk mujmal (tidak detail) atau mushtarak (berkongsi makna) atau mempunyai dua maksud iaitu umun dan khusus atau makna haqiqi dan majazi atau makna hakiki dan makna mengikut adat (uruf) ataupun perbezaan ini berlaku kerana sesuatu lafaz yang kadang-kadang disebut secara mutlak (tidak terbatas) dan kadang-kadang secara muqayyad.” [7] Antara yang menyebabkan perbezaan pendapat ialah bentuk periwayatan yang berbeza dan ini berlaku – sebagaimana sebut Dr. Wahbah az Zuhaili – kerana lapan sebab seperti tidak sampai hadis kepada seseorang itu atau sampai dengan jalan yang dhaif pada seseorang tetapi sampai pada jalan yang sahih pada orang yang lain dan sebagainya.[8]

 

Kedua: Kegagalan Astora memahami maksud khilaf ini menyebabkan Astora memuatkan pendapat sesiapa sahaja, asalkan ia menyokong pandangannya, tanpa mengira dalil yang digunakan oleh orang tersebut. Asalkan seseorang itu bernama “Arab” dan menulis kitab “Arab”, maka pendapat dia diambil oleh Astora tanpa mengambil kira sama ada orang tersebut daripada aliran Ahl al-Sunnah atau selainnya[9], sama ada orang tersebut ahli hadis, ahli tafsir atau hanya sekadar pemikir jalanan yang ingin mencari populariti dengan pendapat yang “lain daripada kebiasaan.”

 

Ini baginya adalah satu khilaf dari pandangan ‘minoriti’ yang terdapat di dalam perundangan Islam. Tetapi hakikat sebenarnya, pandangan tersebut yang diambilnya bukanlah pandangan seorang mujtahid yang mampu berijtihad. Pandangan-pandangan yang dikatakan oleh Astora sebagai khilaf juga disandarkan (atau kadang kala langsung tidak mempunyai sandaran) kepada nas yang pelik atau pandangan mujtahid yang diambil di luar maksud sebenarnya. Ijtihad sebenarnya amat jauh dari pandangan yang diambil dari golongan yang Astora anggap sebagai golongan ‘minoriti’ ini.

 

Secara ringkasnya, pintu ijtihad tidak tertutup. Astora menganggap bahawa semua perkara boleh diijtihad dan dikhilafkan. Namun hakikatnya, ulama yang mujtahid hanya boleh mengijtihadkan perkara-perkara yang diberikan ruang untuk diijtihadkan.

 

Nas-nas syariah Islam ada yang bersifat Qatie dhilalah (pendalilan hukum secara muktamad) yang tidak membawa makna kecuali satu sahaja. Di antaranya ada yang dzonni dhilalah (pendalilan hukum secara samar-samar) yang membawa lebih dari satu makna.[10]

 

nas-nas qatie datang dalam perkara yang terlepas dari tempat khilaf iaitu dalam perkara yang berkaitan dnengan asas-asas pokok bagi akidah. Qawaied Kulliyah[11] dan dalam hukum-hukum amali yang tidak berubah dengan masa dan tempat perkara ini tidak ada ruang ijtihad baginya.[12]

 

Sementara itu di dalam perkara dzonni, para ulama bukanlah berijtihad sehingga dikatakan mereka tidak menyandarkan ijtihad mereka di atas nas. Walhal para ulama ini pun berijtihad dalam kerangka dan batasan Qawaied kulliyah dan Maqosid syariah[13] untuk mengeluarkan hukum cabang yang bersesuaian dengan masa dan keadaan. Ijtihad mereka mungkin berbeza pada masa tersebut, tetapi Qawaied kulliyah dan maqosid ini tetap kekal dan kedua-dua perkara ini juga bersandarkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Maka tertolaklah dakwaan Astora bahawa ijtihad para ulama tidak datang daripada pemerhatian terhadap hukum-hukum Allah.

 

Benar, mungkin ijtihad dan pandangan mereka tersilap dalam meneliti dan melihat dalil atau kaedah-kaedah syarak. Tetapi ini tidak bermakna ijtihad ulama ini tidak disandarkan kepada nas lalu beralaskan akal semata-mata. Pandangan yang disandarkan kepada akal semata-mata atau berlawanan dengan kaedah umum di atas bukanlah satu khilaf yang diterima dalam perundangan.

 


 

[1] Perselisihan pendapat atau ikhtilaf yang membawa maksud pandangan yang berbeza.

[2] Utusan Malaysia Beramal Hukum Minoriti 30hb Mei 2004

[3] Utusan Malaysia Khilafiah itu sunatullah 23hb Mei 2004

[4] ibid.

[5] Dr Wahbah Az Zuhaili Fiqh dan perundangan Islam (terjemahan DBP 1997), jld 1, ms 49

[6] ibid

[7] ibid ms 50-51

[8] ibid ms 52 Banyak lagi perbezaan lain seperti perbezaan sumber, perbezaan usul fiqh, ijtihad dan qiyas, dan percanggahan dan tarjih antara dalil-dalil.

[9]  Sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w., umat Islam akan berpecah kepada pelbagai aliran, yang benar dan selamat ialah aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah atau ringkasnya Ahl al-Sunnah. Terdapat banyak aliran lain yang menyimpang daripada Ahl al-Sunnah seperti Mu’tazilah, Khawarij, Jahmiyah, Syi’ah al-Rafidhah, Murji‘ah dan sebagainya. Apa yang lazim dilakukan oleh Astora ialah mengambil pendapat mana-mana tokoh yang disukainya tanpa membezakan aliran tokoh tersebut.

[10] Mu’awwiyat Tathbiq Al Syariah ms 123

[11] kaedah yang terangkum di dalamnya segala masalah yang berkaitan.

[12] Ibid 

[13] Matlamat atau tujuan syarak.

 

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah