Membantah Azab Kubur Menyanggah Akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah 

Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin[1]

 

 

 

Pengenalan

Mengapa Azab Kubur Dipertikai?

Isyarat al-Quran Berkaitan Azab Kubur

Hadis Berkaitan Azab Kubur

 

Kandungan

 

 

 

Pengenalan

 

Malang bagi umat ini apabila munculnya golongan yang cuba menjadikan syak dan hilang keyakinan orang ramai terhadap agama sebagai modalnya dalam mencari populariti dan keuntungan dunia semata. Mungkin juga mereka ini menganggap ini sebagai satu kerja yang boleh menarik perhatian orang ramai seperti mana bomoh sihir yang cuba menarik pelanggannya. Dia akan berasa puas apabila pelanggan yang tidak tahu muslihat sihir atau syaitan yang digunakannya, kagum dan terpesona lalu menganggap dia sebagai bijak dan luar biasa. Namun bagi yang mengetahui muslihatnya tidak akan merasai sebarang kehairanan. Bak kata pepatah Arab “apabila tahu sebab, hilanglah kehairanan”. Sebaliknya yang tahu menilai akan dapat menghitung sejauh mana bomoh tersebut telah tenggelam dalam dunia kesyirikannya.

Bagi bomoh pula apa yang difikirkannya ialah sejauh manakah dia dapat mencari makan dengan bantuan syaitan. Dia sanggup membuat tuduhan palsu, kenyataan yang boleh memporak-perandakan masyarakat, kaum keluarga, suami isteri dan seterusnya. Demikian juga dia menimbulkan syak wasangka antara satu sama lain, tuduh menuduh dan hilangnya keyakinan. Mereka yang jahil dan lemah akidahnya akan terpengaruh dan terjerumus bersamanya di dalam kesesatan. Ia mengaut keuntungan daripada kejahilan dan kelemahan orang lain. Dua orang yang bersahabat baik, mungkin menjadi musuh, syak, ragu dan bersangka buruk antara satu sama lain di atas ramalan dan tuduhannya. Bomoh sihir sebenarnya hidup di atas penderitaan akidah dan keruntuhan keyakinan orang lain.

Apa yang nyata, agama tidak wajar diperlakukan demikian. Seorang tokoh agama, atau da‘i mempersembahkan Islam kepada orang ramai dengan keikhlasan hatinya. Dia berusaha mengeluarkan insan daripada kejahilan kepada cahaya petunjuk. Daripada permusuhan kepada persaudaraan. Daripada syak terhadap Allah dan Rasul-Nya, kepada keyakinan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap keduanya. Dia berusaha agar manusia berpegang kepada Islam, bukan mempertikaikannya. Hatinya ikhlas, jiwanya luhur dalam menyampaikan agama dan membimbing manusia. Dia wajar selalu bertanya, apakah kesan terhadap agama daripada kenyataan atau tulisanku ini? Sekiranya kenyataan itu membawa keredaan Allah, diteruskan sekalipun manusia membantah. Sekiranya membawa kepada kemurkaan Allah, dia berhenti sekalipun orang ramai menyokong. Agama terbina dan bangkit di atas keikhlasan orang yang seperti ini. Agama runtuh apabila ianya dijadikan saluran untuk menempa tempat, nama dan harta semata.

 


 

[1]  Artikel ini adalah ihsan daripada Majalah i edisi April 2004.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah