Kedudukan Hadis Ahad: Dari zaman awal Islam sehingga kini. 

Hafiz Firdaus Abdullah.

 

 

Pengenalan

Hadis Ahad:

Kedudukan Pada Awal Zaman Islam

Kedudukan Selepas Zaman Awal  Islam

 

 

Kandungan

 

 

 

Kedudukan Hadis Ahad Selepas Zaman Awal Islam.

 

Selepas zaman para imam mazhab yang empat, ketulenan manhaj umat Islam mula dicemari dengan pemikiran falsafah dan ilmu kalam. Pemikiran ini sebenarnya sudah mula wujud di kurun pertama dan kedua hijrah tetapi dalam bentuk yang terpencil. Ia hanya mula mendapat tempat yang kukuh mulai kurun keempat dan kelima hijrah. Ringkasnya pemikiran ini memiliki manhaj yang mengunggulkan akal manusia di atas nas wahyu. Antara teori yang dikemukakan oleh pemikiran ini adalah hadis yang bersifat ahad tidak mungkin dapat menghasilkan ilmu yang pasti dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan alam ghaib. Sebaliknya akal manusia itu sendiri adalah alat yang dapat menghasilkan ilmu yang pasti berkenaan alam ghaib. Termasuk dalam perkara alam ghaib ialah apa yang berkaitan dengan aqidah umat Islam itu sendiri.

Pemikiran falsafah dan ilmu kalam ini sedikit sebanyak mempengaruhi manhaj ilmuan Islam daripada kurun keempat hijrah sehingga masa kini. Mereka membahagikan hadis kepada sifat mutawatir dan ahad. Mereka bersepakat bahawa hadis mutawatir dapat menghasilkan ilmu yang pasti manakala terhadap hadis ahad, mereka berbeza pendapat sama ada ia manghasilkan ilmu yang pasti atau sangkaan semata-mata. Akan tetapi perlu ditekankan bahawa perbezaan ini hanya berlaku apabila hadis ahad tersebut berdiri dengan sendirinya. Apabila hadis ahad tersebut memiliki pembuktian (qarinah) atau sudah terkenal dan menjadi amalan orang ramai, maka ia menghasilkan ilmu yang pasti tanpa perbezaan pendapat.

 

Al-Imam al-Syaukani rahimahullah (1250H) menulis:

Ketahuilah bahawa perbezaan pendapat yang kami sebut pada awal perbahasan ini berkenaan hadis ahad sama ada menghasilkan ilmu yang berupa sangkaan atau kepastian, ia hanyalah berlaku apabila hadis ahad tersebut tidak disertai dengan pembuktian yang menguatkannya. Adapun jika ia disertai dengan pembuktian yang menguatkannya atau ia sudah masyhur atau dikenali secara terperinci, maka perbezaan tersebut tidak berlaku. [Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min ‘Ilm al-Usul (tahqiq: Muhammad Hasan bin Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld. 1, ms. 203-204]

 

Oleh itu sekali lagi ditekankan bahawa apabila dikatakan bahawa para ilmuan mutakhir berpendapat hadis ahad hanya membawa ilmu yang bersifat sangkaan (dzanniy), pendapat mereka itu hanyalah apabila hadis ahad tersebut berdiri dengan sendirinya. Para ilmuan tersebut tetap berpegang kepada hadis ahad dalam kes-kes berikut:

  1. Apabila hadis ahad tersebut berperanan sebagai penjelas kepada satu subjek yang asas atau pokoknya telah ditetapkan dalam al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang mutawatir. Maka dalam kes seperti ini hadis ahad diterima sebagai dalil penjelas yang qath’iy. Sebagai contoh, azab kubur ialah subjek yang asasnya telah ditetapkan oleh al-Qur’an. Hadis-hadis yang ada dalam subjek ini hanya berperanan menjelaskan bagaimana rupa azab kubur tersebut.

  2. Apabila hadis ahad tersebut membahas satu subjek yang bersamanya terdapat beberapa hadis lain yang membahasnya juga. Maka sekalipun semua hadis-hadis yang membahas subjek tersebut merupakan hadis ahad, menghimpun kesemuanya akan menghasilkan satu dalil yang menduduki taraf mutawatir. Sebagai contoh ialah hadis-hadis berkenaan azab kubur juga. Terdapat sangat banyak hadis yang membahasnya sehingga sekalipun ia semua merupakan hadis ahad, himpunan semua ini mengarahkan kepada kedudukan mutawatir.

  3. Apabila hadis ahad tersebut menjadi sumber iktikad dan/atau amalan oleh orang ramai dari kalangan generasi Salaf. Maka ia menjadi dalil syari‘at juga kerana tindakan sejumlah generasi Salaf yang beriktikad dan/atau beramal dengannya menjadi bukti hadis tersebut sebenarnya mutawatir, hanya periwayatan yang tercatit dalam kitab hadis yang bersifat ahad. Contohnya ialah waktu solat, cara solat, tatacara haji dan sebagainya.

  4. Apabila hadis ahad tersebut memiliki beberapa petunjuk lain (qarinah) daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang mendukungi atau membenarkannya, maka ia juga diterima sebagai satu dalil qath’iy. Contohnya ialah hadis sahih daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjamakkan solat di Madinah kerana hujan. Hadis ini (menjamakkan solat tanpa musafir) diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas seorang sahaja. Akan tetapi ia didukungi dan dibenarkan oleh beberapa petunjuk lain daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang menetapkan kemudahan kepada umat Islam apabila menghadapi kesukaran.

Jika kita mengkaji secara mendalam empat kes di atas, dapat disimpulkan bahawa para ahli ushul masa kini juga berpegang kepada hadis ahad dan menjadikannya sebagai dalil yang qath‘iy. Ini kerana tidak ada hadis ahad yang berdiri dengan sendirinya melainkan semua termasuk dalam salah satu atau lebih daripada kes-kes di atas. Dalam erti kata lain, perbincangan sama ada hadis ahad menghasilkan ilmu qath‘iy atau dzanniy hanyalah merupakan perbincangan teori semata-mata sedangkan secara praktikalnya semua hadis ahad diamalkan sebagai satu sumber yang qath‘iy.

 

Alhamdulillah daripada perincian di atas berkenaan kedudukan hadis ahad daripada zaman awal Islam sehingga kini, boleh kita rumuskan ia kepada lima poin penting:

  1. Pembahagian hadis kepada ahad dan mutawatir tidak dikenali pada zaman awal Islam. Asalkan hadis tersebut memiliki sanad yang sahih, umat Islam generasi awal beriktikad dan beramal kepadanya sama ada dalam urusan aqidah atau selainnya.

  2. Pembahagian hadis kepada ahad dan mutawatir adalah kerana pengaruh pemikiran yang mengunggulkan akal manusia di atas nas wahyu. Pemikiran ini mendakwa hadis ahad tidak mungkin dapat menghasilkan ilmu yang pasti berkenaan hal ghaib, khasnya dalam subjek aqidah, melainkan ilmu sangkaan semata-mata.

  3. Para ilmuan terkemudian berbeza pendapat sama ada hadis ahad dapat menghasilkan ilmu yang pasti atau sangkaan. Namun jika hadis ahad tersebut memiliki pembuktian atau sudah menjadi iktikad serta amalan orang ramai, maka perbezaan ini tidak wujud lagi.

  4. Dengan itu juga perbezaan pendapat tentang kedudukan hadis ahad di kalangan ilmuan terkemudian hanyalah bersifat perbincangan teori manakala dari sudut praktikalnya mereka semua beriktikad dan beramal dengannya. Ini kerana di sisi ahli ilmu yang mendalam lagi luas pengetahuannya, tidak ada hadis ahad yang berdiri dengan sendirinya melainkan semuanya memiliki pembuktian lagi menjadi pegangan umat Islam Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah seluruhnya.

  5. Segelintir golongan yang mempertikai dan menolak hadis ahad masa kini tidak terlepas daripada dua kemungkinan, sama ada mereka sendiri tidak memiliki ilmu yang mendalam berkenaan hadis ahad atau mereka sengaja ingin menolak hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan alasan “ianya hadis ahad”.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah