Petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah

berkenaan

Haid, Istihadah dan Nifas.

 

Oleh: Syaikh Muhammad al-Shalih al-‘Utsaimin

al-Firdaus.Com

 
 

Kata Pengantar Penyunting :: Kata Pengantar Syaikh al-‘Utsaimin :: Makna Haid Dan Hikmahnya :: Masa Haid Dan Tempohnya

Perkara-Perkara Yang Berlaku Ketika Haid :: Hukum-Hukum Haid :: Istihadah Dan Hukum-Hukumnya

Nifas Dan Hukum-Hukumnya :: Hukum Penggunaan Ubat-Ubatan :: Kata Penutup

 

Kata Penutup

Sampai di sini selesailah apa yang kami ingin sampaikan berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas. Sesunguhnya ketiga-tiga perkara ini adalah sesuatu yang amat penting kepada umat Islam. Kami telah sampaikan asas-asasnya diikuti dengan pembahagian terhadap beberapa masalah yang lazim berkenaannya. Kami tidak sampaikan segala cabang permasalahan, juga tidak membicara setiap permasalahan individu yang di hadapi oleh para wanita kerana yang sedemikian adalah umpama lautan yang tidak bertepi. Akan tetapi diyakini segala cabang dan masalah individu akan ditemui jawapannya jika ia dikembalikan (dirujuk) kepada asas-asas yang telah kami sampaikan dalam buku ini.

Sebagai peringatan, hendaklah seorang mufti[1] menyedari bahawa sesungguhnya dia adalah “perantaraan” antara Allah dan para makhluk-Nya dalam menyampai dan menerangkankan apa yang telah disyari‘atkan-Nya melalui para Rasul-Nya. Sesungguhnya seorang mufti akan dipersoalkan berkenaan apa yang ada di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah kerana kedua-duanya adalah sumber yang diberi kepada manusia untuk difahami dan diamalkan. Setiap sesuatu yang menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah adalah salah dan wajib ditolak daripada orang yang mengatakannya dan haram untuk mengamalkannya. Jika orang yang menyalahinya tersilap kerana ijtihad maka dia diberi pahala atas ijtihadnya. Akan tetapi orang lain yang mengetahui akan kesilapan itu maka haram baginya untuk menerima dan mengamalkannya.

Wajib ke atas para mufti mengikhlaskan niat kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta memohon pertolongan-Nya dalam setiap perkara dan hendaklah dia memohon daripada Allah ketetapan, taufik dan kebenaran. Wajib ke atasnya untuk mengetahui bahawa tempat pengambilan hukum ialah al-Qur’an dan al-Sunnah, maka hendaklah dia melihat dan membahas berdasarkan dua sumber di atas. Pada waktu yang sama hendaklah dia meminta bantuan daripada para ilmuan yang lain dalam memahami kedua-dua sumber di atas.[2]

Kerapkali timbul satu persoalan lalu orang ramai membahasnya sekadar mampu berdasarkan perkataan para ilmuan. Akan tetapi perbahasan dan penjelasan tidak diberi secara sepenuhnya sehingga tidak wujud ketenangan (yakni keyakinan dan kepuasan). Maka kembalilah merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, hukum akan menjadi jelas kerana keikhlasan, ilmu dan kefahaman.

Wajib ke atas mufti menangguh sebentar dalam menghukum ketika wujud kesamaran dalam persoalan yang dikemukakan kepadanya. Janganlah segera mengeluarkan hukum kerana betapa banyak hukum yang sebelum ini diberikan secara tergesa-gesa kemudian setelah dilakukan kajian, jelas akan kesilapannya. Lalu dia menyesal atau lebih berat, dia tidak ingat lagi apa yang dia telah fatwakannya (untuk diperbetulkan kepada orang ramai).

Seorang mufti yang dikenali ramai sebagai orang yang tetap dan berwaspada dalam memberi fatwa akan diyakin perkataannya. Sebaliknya seorang mufti yang tergesa-gesa memberi fatwa tidak akan diyakini fatwanya. Lazimnya orang yang tergesa-gesa akan banyak berbuat silap sehingga akhirnya menghalang dirinya sendiri dan orang ramai daripada ilmu yang benar.

Kita memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya Dia menunjuk kepada kita dan saudara-saudara kita daripada para muslimin jalan yang lurus. Supaya Dia memelihara kita dengan pertolongan dan pemeliharaan-Nya dari sebarang kesilapan. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Mulia. Selawat Allah serta salam-Nya atas Nabi kita Muhammad dan ke atas keluarganya serta para sahabat semuanya. Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya telah sempurna segala kebaikan.

Selesai daripada pena hamba yang sangat berhajat kepada Allah, Muhammad al-Shalih al-‘Utsaimin pada waktu dhuha hari Jumaat bersamaan 14 Sya’aban 1392H.


 

[1]           Di sini sebagai satu sifat rendah diri, Syaikh al-Utsaimin rahimahullah bukan sahaja memberi nasihat kepada para mufti secara umum tetapi juga khusus kepada dirinya kerana beliau juga adalah seorang mufti. (penyunting)