Kandungan  Bab 1 Bab 2 Bab 3 Bab 4 Penutup

 

 

PENUTUP

 

Dalam ibadah tidak memadai hanya dengan niat yang baik tanpa mengikut syariat atau sunnah. Niat yang baik mestilah diiringi dengan cara yang betul. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun. [al-Mulk 67:02]

Makna “lebih baik amalnya” (أحسن عملا ) ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling betul (أخلصه وأصوبه). Ini kerana sesuatu amalan jika ikhlas tetapi tidak betul maka ianya tidak diterima. Begitu juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas, maka ianya tidak diterima.[1] Betul merujuk kepada apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Insan tanpa panduan al-Quran dan al-Sunnah akan tersesat dalam menentukan cara ibadah kepada tuhan. Inilah yang berlaku di dalam agama-agama palsu. Mereka mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak tuhan dalam ibadah tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas. Ini kerana ibadah adalah agama dan agama tidak boleh diambil melainkan dari tuhan itu sendiri. Untuk itu Islam mengharamkan bid‘ah atau mengada-adakan ibadah tanpa bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah. Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah sama seperti amalan percipta agama palsu yang ikhlas tanpa bimbingan wahyu.

Justeru itu ibadah mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdalilkan apa yang disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Ali Imran 3:31][2]

Ibadah yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِيناً فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِي

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [Ali Imran 3:85]

Berkata al-Imam Ibn Kathir rahimahullah (774H) ketika menafsirkan ayat di atas:[3]

“Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang disyari‘atkan oleh Allah maka sama sekali ianya tidak diterima.”

Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradawi mengingatkan:[4]

Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (tatacara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.

Lebih jauh, beliau berkata:[5]

Tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-imam kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin sama ada kecil atau besar, untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang baru dalam agama Allah atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasululah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana pembuat syari‘at hanyalah Allah manakala al-Rasul (Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam) adalah penyampainya sedangkan kita hanyalah pengikutnya. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan Allah dan Rasul-Nya).

Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan, semoga Allah memeliharanya, turut menekankan perbezaan antara niat yang ikhlas dan ibadah yang betul:[6]

Amalan salih ialah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. Apa yang sahih itu ialah yang menepati syarak. Maka membuat bid‘ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah…

Bid‘ah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bid‘ah mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, (sama ada dalam bentuk) pengurangan dan mengubahan. Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah memberi amaran mengenai bid‘ah, sabdanya:

وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat.[7] Maka segala kebaikan ialah apa yang dibawa oleh syarak dan berpada dengannya.  

Perlu ditekankan di sini, manhaj kita Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ialah tidak menghukum seseorang kerana kejahilan yang tidak disengajakannya. Oleh itu jika seseorang itu melakukan ibadah dengan sangkaan ia adalah benar sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya, dia tetap memperolehi pahala. Seseorang itu tidak dihukum disebabkan kejahilannya yang tidak disengajakan sedangkan dia telah berusaha untuk mendapatkan ilmu. Contohnya ialah orang awam yang tidak dapat membezakan antara hadith dengan bukan hadith, sahih dengan tidak sahih dan yang tidak mampu mengambil maklumat agama daripada sumbernya yang tulen. Ini semua dengan syarat dia tetap berusaha dan apabila sampai kepadanya ilmu yang sahih dan tulen, dia tidak bersikap ego terhadapnya tetapi terus merendahkan diri menerimanya. Hendaklah dia bertaubat dengan meninggalkan apa yang sebelum ini disangkakan benar kepada apa yang kini diketahuinya sahih lagi tulen. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلاً صَالِحاً فَأُوْلَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً

Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Furqan 25:70]

 Perkara kedua yang perlu ditekankan adalah, umat Islam sepatutnya berlumba-lumba membuat bid‘ah[8] dalam urusan dunia, bukan agama. Malangnya mereka tidak membuat bid‘ah ini, iaitu memulakan ciptaan baru seperti senjata, peralatan moden, perubatan dan sebagainya. Padahal mereka diizinkan, malah disuruh memulakan perkara baru dalam urusan dunia yang memberi manfaat. Umat Islam masa kini jarang-jarang, malah hampir tiada, memulakan perkara yang baru dalam urusan dunia, sebaliknya hanya bergantung kepada dunia Barat. Hakikat ini telah disentuh oleh al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi:[9]

Sesungguhnya ruang melakukan rekaan dan membuat perkara baru bukannya dalam agama. Agama hanya berdasar apa yang diturunkan Allah. Wajib kekal terpelihara lagi bersih dari permainan golongan yang sia-sia, penyelewengan golongan melampau, dakwaan golongan sesat dan tafsiran golongan yang jahil. Adapun ruang untuk melakukan rekaan sebenar ialah dalam urusan dunia. Ianya sangat luas dan banyak. Memerlukan keupayaan seni dan rekaan. Namun apabila kaum muslimin mundur, keadaan mereka buruk, urusan mereka rosak dan berpecah masyarakat mereka, urusan mereka menjadi terbalik dan keadaan menjadi sebaliknya. Dalam urusan dunia mereka terhenti menjadi begitu jumud seperti batu atau lebih jumud dari itu. Mereka tidak memulakan rekaan, mengadakan dan menyingkap perkara baru. Slogan mereka: “Golongan awal tidak meninggalkan untuk yang kemudian sedikit pun.”[10] Adapun dalam agama mereka mengadakan rekaan, membuat bid‘ah dalam beragam bentuk ibadah yang tidak diizinkan Allah.

Akhir kata, marilah kita berusaha agar ibadah kita menepati sunnah dan menjauhi bid‘ah. Marilah kita mendalami ilmu yang sahih lagi tulen agar dengan itu ibadah kita adalah sahih dan tulen juga. Apabila kita telah mencapai tahap ini, marilah kita membuktikan kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan menyampaikan ilmu yang sahih dan tulen kepada umat Islam yang selainnya. Jangan menghukum mereka secara terburu-buru, sebaliknya betulkanlah mereka secara hikmah dan bijaksana. Jangan merasa gembira hanya apabila diri sendiri berada di atas kesahihan dan ketulenan tetapi bergembiralah hanya apabila umat Islam semuanya berada di atas kesahihan dan ketulenan. Berpegang kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan sahaja dalam beribadah tetapi juga dalam berdakwah:

 فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]

 


 


[1]               Ibn Rajab, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, jld. 1, m.s. 33.

[2]               Maksudnya, pembuktian keikhlasan dan kasih sayang kita kepada Allah bukanlah dengan cara membuat-buat atau menokok tambah ibadah tersendiri tetapi adalah dengan mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mengikuti sunnah dalam beribadah ialah melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. (penyunting)

[3]               Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, jld. 2, m.s. 378.

[4]               Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-`Ibadah fi al-Islam, m.s. 165.

[5]               al-`Ibadah fi al-Islam, m.s. 166-167.

[6]               Dr. `Abd al-Karim Zaidan, Usul al-Da’wah, m.s. 41.

[7]               Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, berkata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih”. Juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Darimi dalam kitab Sunan mereka. Demikian juga oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi (Tahqiq al-Mustadrak, jld. 1, m.s. 288).

[8]               Dari segi bahasa seperti yang diterangkan sebelum ini.

[9]               Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-`Ibadah fi al-Islam, m.s. 170.

[10]             Slogan ini asalnya digunakan oleh orang-orang yang bertaklid dalam urusan agama bahawa kononnya para ilmuan terdahulu telah melengkapkan perbahasan tentang agama sehingga tidak perlu bagi golongan terkemudian mengkajinya semula melainkan ikut sahaja.  Slogan ini kini dipanjangkan kepada urusan duniawi pula, memberi maksud kononnya orang-orang Barat telah melengkapkan urusan duniawi sehingga tidak perlu bagi umat Islam mengkajinya melainkan ikut sahaja. Yang benar kedua-dua urusan agama dan duniawi masih terdapat ruang untuk dilakukan kajian, ciptaan dan pembaharuan. Hanya sahaja dalam agama ia ditujukan kepada urusan muamalah dan bukannya ibadah.

 

 


Kandungan  Bab 1 Bab 2 Bab 3 Bab 4 Penutup