C: Berbuat Baik Kepada Ibubapa Pada Masa Hidup Mereka.

Memaafkan  : Meminta pertolongan Allah : Memahami  : Merendahkan diri  : Mengorbankan diri

 

Kedua: Meminta pertolongan Allah.

 

Berbuat baik kepada ibubapa memiliki cabaran-cabarannya yang tersendiri kepada kita sebagai anak-anak. Perhatian terhadap pembelajaran, kesibukan kerjaya, tanggungjawab terhadap anak-anak sendiri, jarak yang jauh dari kampung dan sikap ibubapa yang mungkin cerewet atau degil adalah sebahagian daripada cabaran tersebut. Maka di samping berusaha menangani pelbagai cabaran ini, hendaklah juga kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah Mengetahui bahawa berbuat baik kepada ibubapa memiliki pelbagai cabaran, maka dengan itu Dia mengajar kita sebuah doa yang amat baik:

 

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal shalih yang Engkau redhai;

dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.

Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam

(yang tunduk patuh kepadamu).” [al-Ahqaf 46:15]

 

 

Di antara kandungan doa ini adalah:

  1. …ilhamkanlah daku…, yakni tunjukkanlah aku, berilah aku kemampuan dan permudahkanlah bagiku.

  2. …supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku…, yakni jangan bersikap angkuh dan sombong atas segala nikmat iman, ilmu, kesihatan, kerjaya, keluarga, kemudahan hidup dan sebagainya yang dimiliki. Segala nikmat tersebut tidak lain adalah hasil kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu bersyukurlah dan buktikan kesyukuran itu dengan berkongsi nikmat tersebut bersama orang lain. Tidak ada yang lebih layak untuk menerima perkongsian tersebut melainkan ibubapa yang telah berusaha dengan jerih payah untuk membesarkan kita.

  3. …dan kepada ibu bapaku…, yakni jangan kita bersikap angkuh dan sombong seandainya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita pada zahirnya kelihatan melebihi berbanding apa yang Allah kurniakan kepada ibubapa kita. Hendaklah kita tetap bersyukur atas apa jua nikmat yang Allah kurniakan kepada ibubapa kita dan berkongsi sebahagian daripada nikmat yang Allah berikan kepada kita bersama mereka.

Ambillah iktibar daripada sikap Nabi Sulaiman ‘alahissalam, apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengurniakan kepada dia dan ayahnya (Nabi Daud ‘alaihissalam) hikmah dan ilmu, namun dilebihkan kepada Nabi Sulaiman kefahaman hukum:

 

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam;

dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.

 

Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu;

dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmah (kebijaksanaan) dan ilmu;

dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud;

dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

[Maksud surah al-Anbiya’ 21:78-79]

 

 

Sekalipun dengan kelebihan tersebut, Nabi Sulaiman tetap mendoakan ayahnya dengan berkata:

 

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal shalih yang Engkau redhai;

dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang shalih.”

[al-Naml 27:19]

 

 

Di antara sikap anak yang bersyukur dan berkongsi nikmat kurniaan Allah bersama ibubapanya adalah dia tetap memuliakan mereka di hadapan rakan-rakan dan suasana kehidupannya. Sekalipun ibubapanya adalah “orang kampung” manakala rakan-rakannya adalah daripada “kelas atasan” dan suasana kehidupannya adalah serba “canggih”.

 

Perhatikan sikap Nabi Yusuf ‘alahissalam apabila dia menjemput ibubapanya (Nabi Yaakub ‘alahissalam) dan ahli keluarganya yang berasal dari pendalaman ke istananya dan mendudukkan mereka di sampingnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengungkap kisah teladan ini dalam firman-Nya:

 

Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf,

Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibubapanya, sambil berkata:

“Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam keamanan.”

 

Dan dia dudukkan kedua ibubapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran.

Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf.

Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf:

 

“Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Dia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Dia mengeluarkan daku

dari penjara; dan Dia membawa kamu ke mari dari pendalaman (Badwi) sesudah Syaitan

(dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku.

 

Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir-Nya bagi apa yang dikehendakiNya;

sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” [Maksud surah Yusuf 12:99-100]

 

  1. …dan supaya aku tetap mengerjakan amal shalih yang Engkau redhai…, di antara amal shalih yang paling diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala ialah berbuat baik kepada ibubapa sehingga mencapai keredhaan mereka. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda, maksudnya:Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[1] Maka melalui doa ini, dipohon kepada Allah agar diberikan petunjuk, kemampuan dan kemudahan untuk kita berbuat baik kepada ibubapa.

  2. …dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku., yakni pada waktu yang sama kita memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar diresapkan sifat-sifat yang shalih kepada anak-anak kita sendiri. Semoga dengan itu kita akan memiliki anak-anak shalih yang di kemudian hari akan berbakti kepada agama, umat dan kepada diri kita sendiri.

  3. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu…, yakni kita bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala seandainya sebelum ini kita tidak termasuk di kalangan orang-orang yang bersyukur dan berbuat amal shalih, khasnya terhadap ibubapa kita sendiri.

  4. …dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam., yakni mengikrarkan semula kepada diri yang mungkin alpa bahawa kita adalah orang-orang Islam yang tunduk patuh kepada perintah larangan Allah, khususnya perintah berbuat baik kepada ibubapa dan larangan menderhakai mereka.


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

 

Kandungan : Top