15 Asas Jati Diri Muslim CemerlangDr. Azwira bin Abdul Aziz |
|---|
|
Jati Diri # 9 : Menjauhi Amalan Bid’ah
Amalan bid’ah ialah amalan rekaan dalam urusan agama yang belum pernah dilakukan sebelumnya serta bercanggah pula dengan syari’at Islam[1]. Dengan perkataan lain, ia bermaksud jalan pemikiran, pegangan, kefahaman, perbuatan, pendapat, pembawaan dan cara perlaksanaan yang bercanggah dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Amalan bid’ah dilihat boleh menghakis jati diri kerana ia akan menjauhkan seseorang muslim dari Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan menepati Sunnah itu adalah syarat penerimaan amalan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Suruhan supaya menjauhi perkara bid’ah terdapat dalam banyak nas syara’, seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة.
Maksudnya:
“Dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia adalah bid’ah sedangkan setiap bid’ah itu sesat.”[2].
Dari sudut bahasa, ungkapan وإياكم yang bermaksud “hendaklah kamu jauhi” juga diistilahkan sebagai ism fi’l amar (katanama suruhan) yang membawa konsekuensi hukum wajib, sama seperti ungkapan فعليكم yang dijelaskan sebelum ini. Justeru suruhan supaya menjauhi perkara bid’ah juga mesti dilihat sebagai suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sama seperti suruhan supaya berpegang dengan Sunnah Baginda. Dengan perkataan lain, jika berpegang dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hukumnya wajib, maka menjauhi perkara Bid’ah juga adalah wajib. Amalan bid’ah dari segi asal usulnya terbahagi dua: Pertama, Bid’ah Asliyyah iaitu segala amalan baru dalam agama yang tidak disunnahkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti amalan tarikat tasawuf, menyebut perkataan usalli sebelum takbiratul ihram dan membaca Al-Quran di atas kubur. Kedua, Bid’ah Idafiyyah iaitu segala amalan baru yang ditambah ke dalam amalan yang asalnya disunnahkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti menambah lafaz zikir-zikir khusus melebihi apa yang diajarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebagai contoh, membaca zikir selepas solat fardu pada asalnya adalah Sunnah, tetapi menambah lafaz yang tidak pernah dibaca oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dilihat sebagai bid’ah idafiyyah. Asas bagi larangan daripada membuat penambahan ini diambil daripada sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
إذا حدثتكم حديثا فلا تزيدن عليّ.
Maksudnya:
“Bila aku sabda kepada kamu sebuah hadith, maka janganlah kamu tambah ke atas (sabda) ku…”[3].
Zahir hadith ini menunjukkan larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ke atas perawi hadith daripada menambah sesuka hati matan (lafaz) hadith yang diriwayatkan olehnya. Berdasarkan kaedah qias aulawi ia juga menunjukkan tegahan ke atas orang yang ingin beramal dengan kandungan hadith daripada membuat sebarang penambahan dalam amalannya. Dengan perkataan lain, jika seseorang perawi dilarang daripada menambah sesuka hati matan hadith yang diriwayatkan olehnya, maka orang yang ingin beramal dengan kandungan hadith yang diriwayatkan oleh perawi berkenaan lebih wajar dilarang daripada membuat penambahan terhadap amalannya. Ini kerana apa yang disabdakan oleh Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah suatu ilmu yang menjadi wasilah (jalan) untuk sampai kepada ghayah (matlamat) ibadat. Maka, jika tidak harus membuat penambahan ke atas wasilah, maka ketidakharusan membuat penambahan ke atas ghayah dilihat sebagai lebih utama. Larangan yang terkandung dalam hadith ini diperkuatkan lagi oleh amalan para Sahabat radhiallahu anhum yang tidak membenarkan sebarang penambahan dibuat ke atas Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam konteks ini, Ibn Umar pernah melarang seorang lelaki daripada menambah ucapan salawat اللهم صل على محمد ketika bertahmid (membaca الحمد لله) selepas bersin[4]. Sejajar dengan itu, Imam As-Suyuti telah menegaskan bahawa penambahan ucapan salawat ketika bertahmid selepas bersin adalah bid’ah mazmumah (tercela)[5]. Dengan perkataan lain, beliau melihat penambahan ucapan salawat dalam ucapan tahmid selepas bersin sebagai Bid’ah Idafiyyah yang tidak harus dilakukan walau dengan apa alasan sekalipun. Jika larangan penambahan itu perlu diaplikasikan dalam zikir tahmid selepas bersin, maka demikianlah juga dengan amalan–amalan zikir yang lain, seperti zikir selepas solat fardu, perlu dipastikan tidak ada sebarang penambahan di dalamnya. Umat Islam sepatutnya merasa cukup dan berpada dengan apa yang dibawa oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kerana apa yang disampaikan oleh Baginda adalah ajaran Islam yang telah lengkap selengkap-lengkapnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Maksudnya:
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agamamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu”[6].
Ayat ini jelas menunjukkan kesempurnaan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai agama yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dengan kesempurnaan ini, maka tidak ada sebab untuk kita menambah cara ibadat kita melebihi apa yang diajarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana apa yang diajarkan oleh Baginda sudah lebih dari cukup, bahkan mencabar kemampuan kebanyakan manusia biasa. Seorang yahudi pernah berkata kepada Umar Ibn Al-Khattab radhiallahu ‘anh bahawa jika ada ayat seperti ayat itu diturunkan kepada kaum mereka, nescaya mereka akan menjadikan hari tersebut sebagai hari perayaan besar-besaran, sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat kesempurnaan agama[7]. Amat malang sekali, jika golongan yahudi yang tidak mendapat nikmat kesempurnaan agama lebih tahu menilai nikmat kesempurnaan itu, sedangkan umat Islam yang mendapat anugerah tersebut tidak tahu pula menilainya. Orang yang suka menokok nambah amalan bid’ah dalam agama sebenarnya terdiri daripada golongan yang bebal dan jahil tentang Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Disebabkan kebebalan dan kejahilan itu, mereka merasakan amal ibadat mereka masih banyak kekurangan lalu mereka cuba menampung kekurangan itu dengan bebanan amalan yang mereka cipta sendiri. Sedangkan jika mereka belajar nescaya mereka akan tahu bahawa amalan Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu sudah terlalu banyak dan mereka akan merasa cukup dengannya. Seorang lelaki dari qabilah Najd pernah menegaskan kepada Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa jika beliau memeluk Islam beliau hanya ingin melaksanakan rukun Islam sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Dengan perkataan lain, lelaki itu hanya ingin melakukan amalan wajib sahaja tanpa menambahnya dengan sebarang amalan sunat walau sedikitpun. Lalu Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam memperakukan keinginan lelaki itu dengan sabdanya yang bermaksud: “Telah berjayalah orang itu jika dia bercakap benar”[8]. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini menunjukkan bahawa jika lelaki itu ingin berpada dengan amalan wajib sahaja tanpa melaksanakan sebarang amalan lain, maka ia sudah memadai baginya untuk mendapat balasan syurga (jika cukup syarat-syaratnya). Oleh itu jika berpada dengan amalan wajib pun dikira sudah memadai, maka apakah gunanya lagi menokok nambah amalan bid’ah sehingga melebihi bukan setakat amalan wajib sahaja, bahkan juga melebihi segala amalan sunat yang telah disunnahkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam? Apalah gunanya bersusah payah melakukan perkara bid’ah sedangkan nas yang sahih menunjukkan bahawa amalan itulah yang akan menghalang seseorang daripada mendapat keselamatan pada Hari Akhirat kelak. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
أنا على حوضي أنتظر من يرد علي
فيؤخذ بناس من دوني حتى إذا أهويت لأناولهم
اختلجوا دوني، فأقول:
أي رب! أمتي، فيقول:
ما تدري ما أحدثوا بعدك.
Maksudnya:
“Sedang aku menunggu orang datang menemuiku di kolamku (di Syurga), tiba-tiba dibawa datang sekumpulan manusia di bawahku sehingga aku tunduk untuk mencapai mereka tetapi mereka berjatuhan di bawahku, lalu aku mengeluh: “Wahai Tuhanku! (mereka adalah) umatku”. Dia (Allah) berfirman: “Kamu tidak tahu apa yang telah mereka ada-adakan (perkara bid’ah) selepasmu”[9].
Apakah Dalam Islam Ada Bid’ah Hasanah (Bid’ah Baik)? Telah dipetik sebelum ini sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Setiap bid’ah itu sesat”. Dari segi ilmu bayan (ilmu penyampaian bahasa), kedudukan kalimah kullu (setiap) yang terkandung dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini sama seperti kedudukan kalimah kullu dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa (hidup) pasti merasai kematian”[10]. Jika firman Allah Subhanahu wa Ta’ala ini difahami dengan maksud bahawa semua makhluk bernyawa akan mati tanpa ada pengecualian walau seorang pun, maka sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu juga mesti difahami dengan maksud bahawa semua bid’ah itu sesat tanpa ada pengecualian sedikitpun. Namun skop ‘kesemuaan’ yang dimaksudkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini perlu difahami dalam konteks bid’ah mengikut istilah syara’ (bid’ah istilahiyyah) yang khusus bagi perkara yang direka dalam urusan agama dan bukan bid’ah mengikut istilah bahasa (bid’ah lughawiyyah) yang umum bagi segala perkara yang di reka dalam urusan bukan agama sama ada baik atau buruk. Yang dimaksudkan dengan ‘urusan agama’ ialah yang berkaitan dengan aqidah, syari’at dan ibadat khusus, seperti persoalan tauhid, asal-usul kejadian manusia, cara solat dan cara berzikir. Manakala yang dimaksudkan dengan urusan bukan agama ialah perkara adat keduniaan yang termasuk dalam jenis ibadat umum seperti cara bercucuk tanam, cara bertukang dan cara membuat bangunan. Semua jenis amalan yang termasuk dalam jenis bid’ah istilahiyyah dilihat sebagai tercela (sesat), tetapi bukan semua perkara yang termasuk dalam jenis bid’ah lughawiyyah dianggap sedemikian[11]. Dengan perkataan lain, bid’ah lughawiyyah ada yang baik dan ada yang tidak baik, manakala bid’ah istilahiyyah pula semuanya tidak baik (sesat). Oleh kerana bid’ah lughawiyyah tidak semuanya sesat, maka sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Setiap bid’ah itu sesat” tidak boleh difahami melainkan dengan maksud bid’ah istilahiyyah sahaja dan bukan merangkumi bid’ah lughawiyyah. Dengan itu dapat disimpulkan bahawa mana-mana amalan yang termasuk dalam jenis bid’ah lughawiyyah, maka memang ada di antaranya yang hasanah (baik), tetapi mana-mana amalan yang termasuk dalam jenis bid’ah istilahiyyah, maka tidak ada satupun yang hasanah. Justeru jika ada amalan yang diperselisihkan sama ada hasanah atau tidak, maka apa yang perlu dilakukan hanyalah menentukan sama ada ia dari jenis bid’ah istilahiyyah yang tidak ada padanya hasanah atau dari jenis bid’ah lughawiyyah yang ada padanya hasanah.
Kekeliruan Dan Jawapan Meskipun telah jelas keperluan membezakan bid’ah istilahiyyah daripada bid’ah lughawiyyah, masih ramai di kalangan umat Islam termasuk yang telah distatuskan sebagai ulama terkeliru dalam persoalan ini. Kekeliruan itu timbul antara lainnya disebabkan oleh kesilapan mereka dalam memahami maksud beberapa hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga maksud kata-kata dan perbuatan para Sahabat radhiallahu ‘anhum yang disalah anggap sebagai menunjukkan adanya bid’ah hasanah. Antaranya:
Kekeliruan Pertama: Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها وأجر من عمل بها من غير أن ينقص من أجورهم شيء،
ومن سن في الإسلام سنة سيئة كان عليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص من أوزارهم شيء.
Maksudnya:
“Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah hasanah dalam Islam, maka dia akan mendapat ganjarannya serta ganjaran orang yang beramal dengannya tanpa kurang sedikitpun,
dan sesiapa yang melakukan suatu Sunnah sayyiah (buruk atau jahat) dalam Islam, maka dia akan menanggung dosanya serta dosa orang yang melakukannya tanpa kurang sedikitpun”[12].
Peristiwa di sebalik hadith ini berlaku ketika umat Islam bersiap sedia untuk menghadapi peperangan dengan tentera Rom di Tabuk. Pada saat itu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyarankan kepada penduduk Madinah supaya menyedekahkan harta mereka untuk membuat persiapan bagi menghadapi peperangan, tetapi mereka nampak agak keberatan untuk melakukannya sehingga air muka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kelihatan berubah kerana terkilan dengan sikap tersebut. Dalam keadaan itu, tiba-tiba datang seorang lelaki menyerahkan bekas berisi emas dan barang perhiasan sebagai sedekah kepada Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Melihat tindakan lelaki itu, maka barulah semua yang lain turut menyedekahkan harta mereka, dan ketika itulah Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam mensabdakan sabdanya itu[13]. Sabab wurud al-hadith (sebab tersabdanya hadith) jelas menunjukkan bahawa perkataan sanna bermaksud ‘menghidupkan amalan Sunnah’ dan bukan bermaksud ‘mengada-ngadakan sesuatu yang baru’, kerana sedekah yang dilakukan oleh lelaki itu bukanlah suatu amalan baru yang belum pernah dilakukan sebelumnya. Hanya apa yang beliau lakukan ialah menghidupkannya dalam suasana ia diabaikan. Ini bermakna apa yang dilakukan oleh lelaki itu dilihat terkeluar daripada definisi bid’ah istilahiyyah kerana dia sekadar menghidupkan semula Sunnah yang terabai dan bukannya mencipta sesuatu yang baru. Oleh kerana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu menjurus kepada perbuatan yang langsung tiada kaitan dengan perkara bid’ah, maka ia tidak boleh dijadikan hujah bagi menunjukkan adanya bid’ah hasanah. Jika sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu difahami dengan maksud adanya bid’ah hasanah, bermakna perkataan sanna itu difahami dengan maksud ahdatha atau ibtada’a (mengada-ngadakan sesuatu yang baru), sedangkan maksud sedemikan jelas bercanggah dengan maksud 'menghidupkan amalan Sunnah' seperti yang ditunjukkan oleh sabab wurud al-hadith itu. Mungkin ada yang mengatakan bahawa perkataan sanna itu merangkumi juga pengertian 'mengadakan sesuatu yang baru' berdasarkan kaedah al-’Ibrah Bi ‘Umum Al-Lafz Wa Laisa Bi Khusus As-Sabab (pengiraan hukum berdasarkan maksud umum dan bukan berdasarkan sebab khusus). Ya, kaedah itu memang diakui benar, tetapi di sini ia tetap tidak menunjukkan adanya bid’ah hasanah kerana penentuan sama ada sesuatu yang baru itu hasanah atau tidak bukan ditentukan oleh lojik akal manusia, sebaliknya ia hanya ditentukan oleh pihak syara’ itu sendiri. Dalam konteks ini, As-Sindi berkata (maksudnya): Sunnah Hasanah bererti jalan yang diredhai lagi diikuti, dan pembeza antara hasanah dan sayyiah (buruk) adalah sama ada ia menepati usul syara’ atau tidak[14].
Berdasarkan kaedah ini, maka perlu ditanya terlebih dahulu bagaimana mereka tentukan sesuatu amalan bid’ah dalam perkara agama sebagai hasanah? Jika penentuan hasanah dibuat berdasarkan lojik akal semata-mata, maka yang demikian itu adalah pendekatan sesat puak Mu’tazilah dan orang yang menggunakan pendekatan sesat itu dikira sesat seperti mereka. Adapun jika penentuan dibuat berdasarkan usul (kaedah) syara’, maka perkara yang baik tidak boleh lagi dilihat sebagai perkara bid’ah, tetapi ia mesti dilihat sebagai perkara Sunnah. Justeru jika perkara baik yang menepati kaedah syara’ dilihat sebagai Sunnah, maka keperluan penggunaan istilah bid’ah hasanah tidak patut timbul.
Kekeliruan Kedua: Kata-kata ‘Umar Ibn Al-Khatab radhiallahu ‘anh: نعم البدعة هذه yang bermaksud: “Ini adalah sebaik-baik bid’ah”[15]. Ramai yang menyangka bahawa kata-kata ‘Umar Ibn Al-Khatab ini diucapkan ketika beliau melihat kebaikan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat, sedangkan riwayat sahih jelas menunjukkan bahawa beliau mengucapkan kata-kata itu semasa melihat kebaikan menyatukan para jamaah yang bersolat Tarawih secara berasingan di bawah pimpinan seorang imam. Dengan perkataan lain, kebaikan yang dimaksudkan oleh beliau bukan berkaitan bilangan rakaat tetapi berkaitan solat Tarawih secara berjamaah. Oleh kerana kata-kata itu berkaitan solat tarawih secara berjamaah, maka ia tidak boleh difahami dalam konteks adanya bid’ah hasanah kerana apa yang dilakukan oleh ‘Umar hanya sekadar menghidupkan semula amalan solat tarawih berjamaah yang pernah dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selama tiga malam berturut-turut, cuma Baginda kemudian sengaja meninggalkannya kerana bimbang kalau-kalau turun wahyu yang mewajibkannya. Ini bermakna apa yang dilakukan oleh ‘Umar juga dilihat terkeluar daripada definisi bid’ah istilahiyyah kerana dia sekadar menghidupkan semula Sunnah yang terabai dan bukannya mencipta sesuatu yang baru. Oleh kerana kata-kata beliau itu menjurus kepada perbuatan yang terkeluar daripada definisi bid’ah istilahiyyah, maka ia tidak boleh dijadikan hujah bagi menunjukkan adanya bid’ah hasanah.
Kekeliruan Ketiga: Kata-kata Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh:
ما رآه المسلمون حسنا فهو عند الله حسن وما رآه المسلمون سيئا فهو عند الله سيئ.
Maksudnya:
“Apa yang orang Islam lihat sebagai hasan (baik) maka ia di sisi Allah adalah hasan, dan apa yang orang Islam lihat sebagai sayyi' (buruk) maka ia di sisi Allah adalah sayyi'”[16].
Ramai yang menganggap kata-kata ini sebagai sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Anggapan ini berlaku kerana mereka tidak merujuk kepada sumber rujukan primer (asal) dan juga kerana kegagalan mereka mendapatkan komentar ulama pentahqiq (penyemak dan penganalisa status) hadith. Dalam hal ini, para ulama pentahqiq hadith seperti Ibn Al-Jauzi, Al-‘Ala'i, Ibn ‘Abd Al-Hadi, Al-‘Ajluni, Ibn Al-Qayyim, Az-Zaila’i, As-Sakhawi, Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Al-Albani dan lain-lain telah menjelaskan statusnya sebagai mauquf (terhenti setakat Ibn Mas’ud) sahaja. Ibn Mas’ud mengungkapkan kata-kata itu sebagai ulasan terhadap kesepakatan para Sahabat menerima perlantikan Abu Bakr radhiallahu ‘anh menjadi Khalifah selepas kewafatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini bermakna ungkapan al-muslimun (orang Islam) yang disebut oleh beliau itu menjurus kepada para Sahabat sahaja dan tidak merangkumi seluruh umat Islam hingga akhir zaman. Dengan perkataan lain, ungkapan beliau itu bermaksud: “Apa yang para Sahabat lihat sebagai hasan (baik) maka di sisi Allah ia adalah hasan, dan apa yang para Sahabat lihat sebagai sayyi' (buruk) maka di sisi Allah ia adalah sayyi'”. Jika diandaikan kata-kata Ibn Mas’ud itu menunjukkan adanya bid’ah hasanah, maka ia hanya khusus bagi amalan para Sahabat sahaja dan bukan umum bagi amalan seluruh umat Islam sehingga Hari Kiamat. Jika hendak diandaikan juga bahawa kata-kata beliau itu turut merangkumi selain daripada para Sahabat, maka ia mesti dihadkan setakat ijma’ para ulama mujtahid sahaja, tanpa melibatkan seluruh umat Islam yang majoriti mereka terdiri daripada golongan jahil. Adalah tidak munasabah jika pandangan orang jahil hendak dijadikan hujah untuk menentukan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara agama. Justeru sekiranya kata-kata Ibn Mas’ud itu memang menunjukkan adanya bid’ah hasanah, maka ia juga menunjukkan bahawa syarat bagi mendapatkan status hasanah mesti ada ijma’ (kesepakatan) para Sahabat atau sekurang-kurangnya ijma’ para ulama mujtahid terlebih dahulu.
Syarat-syarat Bid’ah Hasanah Jika diandaikan memang ada bid’ah hasanah dalam Islam, maka apakah syarat yang mesti dipenuhi untuk membolehkan ia mendapat status hasanah itu? Ramai yang menyangka bahawa untuk mendapatkan status tersebut ia hanya memerlukan niat dan tujuan yang baik sahaja. Sedangkan, telah dijelaskan sebelum ini bahawa falsafah ‘tujuan menghalalkan cara’ (falsafah komunis) jelas bercanggah dengan syarat penerimaan amalan dalam Islam yang menuntut gabungan niat yang baik dan juga cara yang betul. Dengan perkataan lain, sebarang amalan bid’ah dalam agama (bid’ah istilahiyyah) meskipun dilakukan dengan niat dan tujuan yang baik, ia tetap dilihat sebagai sesat kerana caranya yang tidak betul. Menjelaskan syarat bid’ah hasanah ini, Imam Ash-Shafie berkata (maksudnya): Bid’ah itu dua jenis: terpuji dan terkeji. Apa yang menepati Sunnah adalah terpuji dan apa yang menyalahinya (Sunnah) adalah terkeji[17].
Dalam riwayat lain, beliau (Ash-Shafie) berkata: Apa yang menyalahi Kitab (Al-Quran), Sunnah, Athar (amalan para Sahabat) atau Ijma’, maka ia adalah bid’ah sesat, manakala apa yang tidak menyalahi semua itu, maka ia adalah bid’ah yang tidak tercela[18].
Berdasarkan kata-kata ini, dapatlah disimpulkan bahawa mengikut Imam Ash-Shafie, syarat untuk menjadikan sesuatu perkara baru sebagai bid’ah hasanah ialah hendaklah ia menepati Al-Quran, Sunnah, Athar para Sahabat dan juga Ijma’ para ulama mujtahid. Cubalah acukan semua amalan bid’ah yang berleluasa di kalangan masyarakat Islam sekarang kepada syarat-syarat ini bagi menentukan sama ada ia telah memenuhinya atau tidak. Bila sesuatu amalan itu telah memenuhi semua syarat ini, maka pada hakikatnya ia bukan lagi dilihat sebagai bid’ah tetapi sebaliknya dilihat sebagai Sunnah. Sebagai contoh, beberapa tindakan para Sahabat yang dianggap sebagai bid’ah hasanah seperti pengumpulan Al-Quran, pengusiran Yahudi dari Khaibar dan Azan solat Jumaat dua kali, pada hakikatnya mesti dilihat sebagai Sunnah kerana ia telah memenuhi kesemua syarat tersebut.
[1] Definisi ini adalah gabungan huraian yang dibuat oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-’Asqalani Ash-Shafie (852H). Lihat: Fath Al-Bari, 4:253 dan 13:253. [2] Sahih Sunan Abi Daud, no:4607. [3] Musnad Ahmad, lihat edisi tahqiq Syu‘aib Al-Arna’uth, no: 20126. [4] Al-Hakim, Al-Mustadrak, 4:265. [5] As-Suyuti, Al-Hawi Li Al-Fatawa, 1:254-255. [6] Al-Maidah, 5:3. [7] Sahih Al-Bukhari, no:4606. [8] Sahih Al-Bukhari, no:46. [9] Sahih Al-Bukhari, no:7048, 7049. [10] Ali ‘Imran, 3:185. [11] Al-’Asqalani, Fath Al-Bari, 13:253. [12] Sahih Muslim, no:1017. [13] Sahih Muslim, no:1017. [14] ‘Ali Ibn Hasan Al-Halabi, ‘Ilm Usul Al-Bida’, hal:125. [15] Sahih Al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari) 4:250. [16] Al-Hakim, Al-Mustadrak, no:4465. [17] Al-’Asqalani, Fath Al-Bari, 13:253. |