15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

 

Jati Diri # 8 : Berpegang Teguh Dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam

 

Telah dijelaskan sebelum ini bahawa salah satu daripada syarat penerimaan ibadat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ialah mengikuti Sunnah (cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Oleh yang demikian, setiap muslim mesti berusaha sedaya upaya untuk mempelajari dan berpegang teguh dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya segala amalan yang dilakukannya diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما إن تمسكتم بهما، كتاب الله وسنتي.

 

Maksudnya:

 

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku”[1].

 

 

Hadith ini jelas menunjukkan kepentingan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang wajib dijadikan pegangan oleh umat Islam sehingga ke akhir zaman bagi menyelamatkan mereka daripada terpesong ke jalan kesesatan. Dalam hadith lain Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

 فإنه من يعش منكم بعدي فسيرى اختلافا كثيرا

 

فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين

 

تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة

 

وكل بدعة ضلالة.

 

Maksudnya:

 

“Maka sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku

dia akan melihat banyak perselisihan,

 

maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan

Sunnah Khulafa’ Rashidin Mahdiyyin,

 

gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham dan hendaklah kamu jauhi

perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama)

 

kerana ia adalah bidah sedangkan setiap bid’ah itu adalah sesat”[2].

 

 

Hadith ini pula dilihat mengandungi mukjizat ilmiah yang besar kerana ia menggambarkan suasana perselisihan yang akan berlaku kepada umat Islam disebabkan oleh amalan bid’ah yang mereka lakukan selepas kewafatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Justeru Baginda awal-awal lagi mengingatkan kepada sesiapa yang hidup pada zaman perselisihan itu supaya menghadapinya dengan cara berpegang teguh dengan Sunnahnya dan Sunnah para Khalifah yang menggantinya. Dari sudut bahasa, ungkapan فعليكم yang bermaksud “hendaklah kamu berpegang” diistilahkan sebagai ism fi’l amar (katanama suruhan) yang membawa konsekuensi hukum wajib. Telah dijelaskan sebelum ini bahawa suatu suruhan dari pihak syara’ supaya mematuhi suatu perkara mesti difahami dalam konteks hukum wajib, kecuali jika ada qarinah (petunjuk ilmiah) yang mengubah hukum wajib itu kepada sunat. Kedudukan maksud suruhan yang terkandung dalam hadith ini sama seperti kedudukan maksud suruhan yang terkandung dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: كتب عليكم الصيام yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu berpuasa”[3]. Oleh itu, perintah supaya berpegang teguh dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang terkandung dalam hadith di atas mesti difahami sebagai suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam sama seperti kewajipan berpuasa dan lain-lain.

Apa yang dimaksudkan dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di sini bukan hukum sunat yang menjadi lawan kepada hukum wajib, tetapi ia bermaksud: jalan pemikiran, pegangan, perbuatan, perkataan, pembawaan dan cara pendekatan Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dalam beribadat dan beragama. Setiap muslim wajib berpegang teguh dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai asas pembinaan jati diri mereka kerana Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah manifestasi ajaran Islam yang sebenar. Bahkan, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak memperakui orang yang tidak mengikuti Sunnah Baginda sebagai umatnya, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling dari Sunnahku, maka dia bukan dari (kalangan umat) ku”[4]. Dalam konteks ini Sheikh Al-Islam Ibn Taimiyyah berkata (maksudnya):

Maka wajib ke atas setiap individu mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk mengetahui apa yang dibawa olehnya (Rasulullah) serta mematuhinya, kerana inilah saja jalan pelepasan daripada azab yang pedih dan juga jalan kejayaan bagi mendapat nikmat syurga[5].

Secara umumnya Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terbahagi dua: Pertama, Sunnah Fi’liyyah dan kedua, Sunnah Tarkiyyah. Sunnah Fi’liyyah bermaksud apa sahaja yang disuruh atau digalakkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ke atas umatnya supaya mereka melakukannya, seperti qiyamullail, berpuasa dan berkahwin. Manakala Sunnah Tarkiyyah pula bermaksud apa sahaja yang ditinggalkan (tidak dilakukan) oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda tidak pernah menyuruh atau menggalakkannya.

Dengan perkataan lain, jika melakukan amalan yang dilakukan oleh Nabi itu dilihat sebagai mengikut Sunnah, maka tidak melakukan amalan yang tidak dilakukan oleh Nabi itu juga dilihat sebagai mengikut Sunnah. Asas bagi pemahaman Sunnah Tarkiyyah ini dapat diambil daripada beberapa dalil, antaranya ialah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه.

Maksudnya:

 

“Antara ciri keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan

apa yang tidak perlu baginya”[6].

 

 

Segala bentuk amalan yang ditinggalkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah termasuk dalam jenis perkara yang tidak diperlukan oleh seseorang muslim, kerana jika ia perlu nescaya Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam akan melakukannya sebagai ikutan bagi umatnya. Apabila sesuatu amalan itu tidak dilakukan oleh Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam, maka ia menunjukkan bahawa amalan tersebut tidak perlu, dan meninggalkan perkara yang tidak perlu itu dilihat sebagai mengikut Sunnah, manakala melakukannya pula dilihat sebagai bidah.

Antara contoh Sunnah Tarkiyyah yang telah sedia dihayati oleh umat Islam ialah tidak mendahulukan khutbah ke atas solat Hari Raya, tidak melaungkan azan dan iqamah untuk solat Hari Raya, solat al-Istisqa’ dan solat Jenazah, tidak melakukan solat sunat rawatib secara berjamaah dan tidak berdoa secara berjamaah sebelum solat fardu. Umat Islam tidak melakukan semua perkara itu kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah melakukannya. Justeru prinsip ikutan terhadap Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sama ada dengan melakukan apa yang Baginda lakukan atau meninggalkan (tidak melakukan) apa yang Baginda tinggalkan.

Usaha menghidupkan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dilihat sebagai amat penting kerana setiap Sunnah yang dihidupkan bererti mematikan satu amalan bidah dan sebaliknya setiap bid’ah yang dihidupkan mematikan satu amalan Sunnah. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

سيلي أموركم بعدي رجال يطفئون السنة ويعملون بالبدعة.

 

Maksudnya:

 

“Urusan kamu selepasku akan dikuasai oleh kaum lelaki yang akan memadamkan Sunnah dan beramal dengan (amalan) bidah”[7].

 

Namun usaha bagi menghidupkan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan tercapai selagi umat Islam terus bergelumang dengan amalan bid’ah, kerana Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang suci tidak sekali-kali boleh bercampur dengan bid’ah yang sesat. Orang yang mencampur adukkan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan amalan bid’ah sama seperti orang yang mencampur adukkan ubat dengan penyakit. Dalam sebuah hadith, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu seorang Sahabat bernama Huzaifah Ibn Al-Yaman radhiallahu 'anh bahawa faktor yang menyebabkan kebaikan yang ada pada umat Islam menjadi pudar ialah kerana adanya unsur dakhan di kalangan mereka. Huzaifah bertanya apakah unsur dakhan itu? Lalu Baginda menjawab:

 

قوم يستنون بغير سنتي ويهدون بغير هديي، تعرف منهم وتنكر.

 

Maksudnya:

 

“Golongan yang tidak beramal dengan Sunnahku dan yang tidak berhidayah dengan petunjukku, kamu mengetahui dan mengingkari mereka”[8].

 

Seperti hadith-hadith sebelumnya, hadith ini juga mengandungi mukjizat ilmiah yang besar kerana ia menggambarkan kelemahan yang menimpa umat Islam disebabkan tindakan mereka meninggalkan Sunnah Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dan menggantikannya dengan amalan bidah yang mereka ciptakan. Justeru untuk memastikan prinsip berpegang dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu benar-benar mantap, umat Islam tiada pilihan melainkan terlebih dahulu menjauhi segala amalan bidah kerana rawatan bagi sesuatu penyakit bermula dengan mencegah faktor yang menyebabkan penyakit itu sendiri.

 


 

[1]  Malik Ibn Anas, Al-Muwatta’. Lihat Misykat al-Mashabih yang ditahqiq oleh Al-Albani, no: 186.

[2]  Sahih Sunan Abi Daud, no:4607.

[3]  Al-Baqarah, 2:183.

[4]  Sahih Muslim, no:1401.

[5]  Ibn Taimiyyah, Majmu Al-Fatawa, 1:5-6.

[6]  Sahih Sunan at-Tarmizi, no:2317, 2318.

[7]  Sahih Sunan Ibn Majah, no:2332.

[8]  Sahih Muslim, no:1847.

 

 

Ü  KANDUNGAN  Þ