Article Index


Kisah Seorang Jurutera Penerbangan.
Sebelum ini saya biasa mendengar masalah yang dihadapi oleh mereka yang ingin memeluk Islam atau yang sudah memeluk Islam. Akan tetapi jauh berbeza apabila masalah itu saya dengar terus daripada orang yang berminat tentang Islam. Kalau nak diikutkan, memang saya marah kepada pelbagai prosedur dan syarat yang dikenakan oleh pihak-pihak berwajib mahupun selainnya.

Walaubagaimana pun saya cuba menahan kemarahan tersebut kerana teringat kepada satu pengalaman yang diceritakan oleh seorang rakan saya yang pernah bertugas sebagai jurutera penerbangan (flight engineer).

kokpit.jpg Sebelum menerangkan pengalaman rakan saya itu, izinkan saya cerita sikit tentang “pasukan” juruterbang yang bertugas dalam satu-satu penerbangan. Ketika manusia berjaya mencipta besi yang mampu terbang di atas udara seperti burung, pasukan juruterbang terdiri dari empat orang. Pertama ialah captain, kedua ialah co-pilot, ketiga ialah flight engineer dan keempat ialah navigator. Apabila teknologi semakin maju, orang keempat tidak lagi diperlukan. Mulai awal tahun 90an, orang ketiga juga tidak lagi diperlukan. Sejak itu hingga kini, pasukan juruterbang hanya terdiri dari dua orang, iaitu captain dan co-pilot.

Sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menjaga hal ehwal kakitangannya (Ewwah…puji sikit…), Penerbangan Malaysia (MAS) tidak membuang jurutera-jurutera penerbangan yang mereka ada saat itu. Sebaliknya pilihan diberi sama ada mereka ingin berhenti atau bertukar jurusan dari jurutera penerbangan menjadi juruterbang. Agak ramai yang mengambil pilihan kedua.

Pada satu hari saya bersembang-sembang dengan salah seorang jurutera penerbangan yang telah pun menjadi co-pilot. Beliau yang umurnya sudah melangkaui angka empat puluh bercerita:

“Kau tahu tak Hafiz, sebelum ini belasan tahun aku duduk di dalam kokpit sebagai flight engineer. Kerusi aku tak lebih tiga kaki jaraknya dari kerusi captain dan co-pilot. Ketika take off dan landing, aku berada sekadar sekaki dari mereka. Bila aku tengok mereka berdua tu, rasa macam senang sangat kerja. Duduk termenung aje. Aku inilah yang kat belakang kena monitor macam-macam sistem pesawat…electric, hydraulic, pneumatic, pressurization dan macam-macam lagi.

Sekarang aku dah jadi pilot, co-pilot. Hmm...! Baru aku tahu kerja pilot ini susah sebenarnya. Macam-macam otak aku ini kena kira, nilai dan fikir. Belasan tahun aku duduk di belakang pilot, dah duduk di kerusi pilot baru aku tahu kerja ini susah juga.”

Pengajarannya? Kita tidak akan mengetahui setepatnya apakah yang sebenarnya dialami dan difikirkan oleh orang lain sekali pun kita berada bersebelahan dengan mereka. Sekadar nak cakap, mengulas dan mengkritik, itu memang mudah, teramat mudah. Any Tom, Dick and Harry can do it. Akan tetapi apabila kita berada di mana mereka berada, barulah kita sedar apa yang dicakap, diulas dan dikritik sebelum ini belum tentu benar.Kadangkala betul-betul berlawanan..

Atas dasar inilah saya menahan diri dari mengkritik secara negatif pihak-pihak berwajib dan selainnya yang mengurusi hal ehwal pemeluk Islam. Saya sebagai orang luar memang sukar untuk memahami apa yang mereka fikir, apa yang mereka nilai dan kenapa mereka bertindak sedemikian. Tindakan yang tepat ialah berbincang dan mencari ruang bekerja sama. Atau setidak-tidaknya, mereka berusaha apa yang mereka rasakan mampu dan baik manakala saya berusaha apa yang saya rasakan mampu dan baik. Jika asyik mengkritik, kedua-dua pihak tidak akan ke mana-mana.