Article Index

Keempat: Berubah dari “Saya sibuk” kepada “Saya sibuk untuk Islam”.

Apabila dikatakan: “Berusahalah sekadar mampu demi kebaikan Islam dan umatnya!”, ramai yang akan menjawab: “Ya! Saya ingin berusaha….tetapi sibuklah!”

Demikianlah agaknya realiti umat Islam, mereka adalah umat yang paling sibuk di dunia.

Akan tetapi sibuk dengan apa? Jika hendak dikatakan sibuk belajar, maka orang-orang yang mengglobalisasikan kebudayaan “subang dan pusat” juga sibuk belajar. Bahkan mereka adalah pelajar yang mencapai tahap kecemerlangan yang jauh lebih tinggi berbanding umum pelajar Islam.

Jika hendak dikatakan sibuk bekerja, maka orang-orang yang menulis buku dan artikel bagi mengglobalisasikan isme-isme mereka juga sibuk bekerja. Mereka bukanlah penganggur. Bahkan mereka menduduki jawatan yang amat tinggi dalam pekerjaan dan mampu menyumbang kepada keuntungan tahunan yang amat besar kepada syarikat mereka berbanding syarikat Muslim.

Jika hendak dikatakan sibuk melabur demi mengukuhkan kedudukan kewangan, maka orang-orang yang mengglobalisasikan ekonomi kapitalis sehingga menenggelamkan ekonomi Islam juga merupakan para pelabur. Bahkan pelaburan mereka berjaya mendudukkan kewangan mereka ke tahap yang amat mewah berbanding pelabur Muslim sehingga mereka dapat menyumbang dana kepada pelbagai usaha kebajikan secara umum dan dakwah kristian secara khusus.

Jika hendak dikatakan sibuk dengan keluarga, maka orang-orang yang mengglobalisasikan agama Kristian juga sibuk dengan keluarga. Bahkan mereka memiliki keluarga yang amat besar di bawah pemeliharaan mereka, iaitu anak-anak yatim, orang-orang Islam dan mangsa-mangsa tragedi alam yang mereka kristiankan.

Maka sebenarnya umat Islam sibuk dengan apa? Saya serahkan soalan ini kepada para pembaca untuk mencari jawapannya. Jangan mencari jawapan: “Orang lain sibuk dengan apa?” tetapi carilah jawapan: “Saya sebenarnya sibuk dengan apa?”

Globalisasi ialah arus yang tidak menunggu masa. Jika kita, umat Islam, asyik menuduh bahawa masa tidak menunggu kita, maka kita tidak sekali-kali akan dapat mengendali cabaran arus globalisasi. Maka kita hendaklah belajar mengurusi dan mengimbangi masa. Ingat! Jangan biarkan  masa yang mengawal kita, sebaliknya kitalah yang mengawal masa.

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.[29]