Article Index


Mi’raj Ke Langit.
Dalam hadis-hadis yang sahih diterangkan, setiap kali Rasulullah menaiki lapisan langit yang baru, baginda bertemu dengan seorang atau lebih Nabi. Perkataan pertama yang diucapkan ialah “Assalamu’alaikum!”. Sungguh, jika ini adalah ucapan antara sesama Nabi dan Rasul, maka sudah sepantasnya ia juga menjadi ucapan kita sesama umat Islam. Apatah lagi jika kita ingin melayakkan diri memasuki syurga, kerana Rasulullah telah mengingatkan: “Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan mengucap “Assalamu’alaikum”), nescaya kalian akan mewarisi syurga.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 1466]

Lazimkanlah diri mengucap salam kerana ia adalah ucapan pertama yang ditujukan kepada kita setelah layak memasuki syurga nanti: “Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasukan-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salamun ‘alaikum, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya.” [az-Zumar 39:73]

Ketika Mi’raj ke langit, Rasulullah menerima perintah pelaksanaan solat fardhu. Jika dibandingkan dengan ibadah yang lain seperti puasa, zakat dan haji, kesemuanya diperintahkan melalui wahyu ketika baginda berada di bumi. Hanya ibadah solat yang diperintahkan ketika baginda berada di langit. Ini sekali gus menunjukkan betapa istimewa lagi penting ibadah solat fardhu berbanding ibadah-ibadah yang lain.

Mengenai penerimaan perintah solat fardhu, Rasulullah menjelaskan: Maka Allah memfardhukan ke atas umatku lima puluh kali solat (dalam sehari). Akupun kembali dengan membawa kewajipan itu hingga akhirnya aku melintasi Nabi Musa, maka dia bertanya: “Apakah yang difardhukan oleh Allah kepada kamu untuk umatmu?” Aku (Rasulullah) menjawab: “Allah mewajibkan melaksanakan solat lima puluh kali sehari.” Nabi Musa berkata: “Kembalilah menghadap Tuhanmu (dan mintalah pengurangan) kerana sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melakukan hal itu (solat lima puluh kali sehari).” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 349]

Mendengar nasihat Nabi Musa itu, Rasulullah kembali menemui Allah beberapa kali sehingga akhirnya solat fardhu yang pada awalnya diperintahkan lima puluh kali sehari dikurangkan menjadi lima kali sehari sebagaimana yang kita lazim amalkan sekarang ini. Di sini terdapat satu rahsia yang berharga untuk disingkap, iaitu kesediaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendengar nasihat Nabi Musa ‘alaihis salam. Padahal tak sampai beberapa jam sebelum itu, baginda telah menjadi imam kepada Nabi Musa ketika mereka solat di Masjid al-Aqsa. Seandainya baginda bersikap angkuh sehingga enggan mendengar nasihat Nabi Musa, nescaya kita umat Islam dibebani dengan ibadah solat fardhu sebanyak lima puluh kali sehari.

Sikap kesediaan menerima nasihat, rendah diri untuk mendengarnya dan kelapangan jiwa untuk melaksanakannya merupakan ciri-ciri seorang pemimpin yang berjaya. Dengan sikap ini dia akan dapat membawa manfaat yang besar kepada dirinya dan orang-orang di bawah pimpinannya. Sebaliknya sikap angkuh, memilih “burung Kakak Tua” menjadi penasihat, tinggi diri (ujub) dan kesempitan jiwa hanya akan membawa mudarat kepada dirinya dan orang-orang di bawah pimpinannya.

Ketika sedang di-Mi’raj, Rasulullah berjumpa dengan satu kaum yang mencakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku yang diperbuat dari tembaga. Rasulullah bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibrail?” Beliau menjawab: “Mereka adalah orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan maruah mereka (ketika di dunia dahulu).” [Musnad Ahmad, hadis no: 13340 dengan sanad yang dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth] Yang dimaksudkan dengan memakan daging manusia ialah orang yang gemar mengumpat (ghibah), sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [al-Hujurat 49:12]