Article Index


Ketiga: Musibah, Bala’ Dan Fitnah Tidak Semestinya Dalam Bentuk Sesuatu Yang Tidak Disukai Manusia.

Perkara ketiga yang ingin diterangkan sebagai pendahuluan adalah, bukan semua musibah, bala’ dan fitnah yang Allah izinkan wujud dalam bentuk yang tidak disukai oleh manusia. Ia boleh juga berlaku dalam bentuk yang disukai atau dianggap baik oleh manusia:

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai fitnah. [al-Ankabut 21:35]:

{xtypo_rounded1}..Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai fitnah...{/xtypo_rounded1}
Oleh itu hendaklah mereka yang merasai selama ini “terbebas” daripada sebarang musibah, bala’ atau fitnah berhati-hati kerana:

وَعَسى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. [al-Baqarah 2:216]

Akan tetapi kebanyakan musibah, bala’ dan fitnah berlaku dalam bentuk yang tidak disukai oleh manusia kerana ia lebih berbekas, lebih memberi kesan sehingga dengan itu sebab atau hikmah yang diingini mudah tercapai.

Berikut diterangkan sebab atau hikmah di sebalik sesuatu musibah, bala’ dan fitnah:

Pertama: Sebagai Bukti Kasih Sayang Allah Kepada Hamba-Nya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah).

Apabila sesuatu bala’ menimpa sesuatu kaum, jangan kita pantas mengatakan mereka sedang diazab oleh Allah. Ini kerana boleh jadi apa yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu Allah mengasihi kaum itu dan menurunkan ujian sebagai bukti kasih sayang-Nya. Melalui ujiannya itu Allah mengurniakan ganjaran pahala yang besar kepada para hamba-Nya yang redha.

Kadangkala sesuatu ujian amatlah berat sehingga lebih mirip kepada siksaan. Ini boleh jadi benar akan tetapi sekali lagi ia tidak bererti mereka ialah satu kaum yang derhaka sehingga Allah sedang mengazab mereka. Ini kerana apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkehendaki kebaikan bagi sesuatu kaum, Dia mempercepatkan siksaan di dunia terhadap apa-apa kesalahan kecil yang telah mereka lakukan sehingga dengan itu mereka bebas di akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Apabila Allah mengkehendaki bagi hamba-Nya kebaikan, maka Dia akan menyegerakan siksa baginya di dunia manakala apabila Allah mengkehendaki bagi hambanya keburukan, maka Dia akan menangguhkan siksaan itu hingga Hari Kiamat kelak.