Article Index



[3] Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Kitab-Kitab Tasawuf

Termasuk sikap pertengahan Ibn Taimiyyah ialah ke atas kitab-kitab karangan para tokoh tasawuf. Beliau tidak mengkritik atau menolaknya habis-habisan, sebaliknya mengakui di dalamnya terdapat kebenaran dan kesilapan, kelebihan dan kekurangan. Beliau berkata:[24]

Di dalam penulisan (kitab-kitab) zuhud dan tasawuf terdapat perkara-perkara yang juga terdapat di dalam penulisan (kitab) fiqh dan pemikiran (الرأي), kedua-duanya mengandungi riwayat-riwayat yang sahih, lemah bahkan palsu. (Ia juga mengandungi) pendapat-pendapat yang benar, lemah bahkan batil. Adapun penulisan ilmu kalam, maka di dalamnya terdapat kebatilan yang amat berat (الباطل أعظم) dengan jumlah yang banyak, bahkan di dalamnya juga terdapat perbahasan-perbahasan yang bersifat zindik dan munafik.

Jika sekalipun wujud riwayat-riwayat yang sangat lemah dan palsu, itu bukanlah atas kesengajaan pengarangnya. Setiap pengarang adalah manusia yang pasti adakalanya tersilap tanpa mengira sama ada dia ahli tasawuf, ahli tafsir atau ahli hadis. Ibn Taimiyyah menjelaskan hakikat ini:[25]

    Wujud di dalam kitab-kitab tasawuf dan yang bercorak melembutkan hati (الرقائق) riwayat-riwayat yang sebahagiannya sahih, sebahagiannya lemah dan sebahagiannya palsu. Dalam hal ini bersepakat seluruh umat Islam bahawa tidak akan terlepas daripada kitab-kitab (karangan para tokoh) riwayat-riwayat yang seumpama (sebahagiannya sahih, lemah dan palsu). Hal ini dapat diperhatikan dalam kitab-kitab yang ditulis dalam subjek tafsir al-Qur’an. Bahkan bagi ahli hadis yang paling dekat (paling arif) dengan ilmu periwayatan, dalam kitab mereka wujud riwayat-riwayat yang seumpama (sebahagiannya sahih, lemah dan palsu). Maka bagaimana pula dengan para tokoh yang bukan ahli hadis?

Para pengarang yang terdiri daripada para imam sama ada dalam bidang fiqh, tasawuf atau hadis, sekali sekala mereka meriwayatkan sesuatu yang tidak mereka ketahui bahawa ia adalah dusta (riwayat palsu). Padahal mereka adalah ahli agamawan yang jika mereka mengetahui ia adalah riwayat dusta, pasti mereka tidak akan berhujah dengannya.

 

[4] Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Adab Guru dan Murid.

Antara disiplin yang penting di dalam ilmu tasawuf ialah adab antara guru dan murid. Guru dianggap sebagai jalan atau medium yang dapat menyampaikan seorang murid kepada ketaatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ibn Taimiyyah mengiktiraf kepentingan adab antara guru dan murid. Akan tetapi beliau tidak bersetuju dengan sikap membataskan penuntutan kepada seorang guru sahaja. Beliau juga menekankan bahawa guru yang sebenar ialah mereka yang beriman, bertaqwa lagi arif dalam mengunggulkan al-Qur’an dan al-Sunnah di atas segala yang lain. Beliau berkata:[26]

Adapun tindakan sekelompok orang yang hanya menyandarkan dirinya kepada seorang syaikh tertentu, maka sememangnya tidak diragui bahawa manusia memerlukan siapa sahaja yang mereka dapat ambil (belajar) darinya (tentang) iman dan al-Qur’an. Ini sebagaimana yang diperoleh oleh para sahabat daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan yang diperoleh oleh para tabi‘in daripada mereka (para sahabat) sehingga yang sedemikian menghasilkan para pengikut generasi awal yang terbaik.

    Justeru sebagaimana seseorang itu boleh belajar daripada sesiapa sahaja yang ahli dalam ilmu al-Qur’an dan yang seumpama maka demikian juga dia boleh belajar daripada sesiapa sahaja yang ahli dalam ilmu agama, baik yang lahir mahupun batin. Dan janganlah dibatasi proses pembelajaran kepada seorang syaikh tertentu sahaja kerana seseorang itu tidak memiliki hujah pada yang sedemikian untuk menyandarkan dirinya kepada syaikh tertentu sahaja.

    Setiap orang yang dapat memberi manfaat yang tidak lain daripada manfaat agama, maka dialah syaikhnya dalam kemanfaatan tersebut. Bahkan setiap yang telah meninggal dunia namun perkataannya, perbuatannya dan pengaruhnya yang bermanfaat dalam agama sampai kepada manusia (yang masih hidup), maka dari sudut ini dia (manusia yang telah meninggal itu) adalah juga syaikh (bagi yang masih hidup). Maka atas dasar ini generasi salaf umat ini adalah syaikh kepada penggantinya, generasi sesudah generasi.

    Oleh itu tidaklah boleh seseorang itu menyandarkan dirinya kepada seorang syaikh dengan memberi janji taat setia sebagai pengikutnya dan membataskan dirinya pada yang sedemikian. Akan tetapi kewajipannya ialah memberi janji taat setia kepada setiap orang yang beriman lagi arif dan bertaqwa, kesemuanya sekali tanpa mengira sama ada dia daripada kalangan para syaikh atau bukan. Tidak boleh mengkhususkan janji taat setia kepada seseorang melainkan padanya jelas kelihatan keimanan dan ketaqwaan (yang tinggi). Hendaklah didahulukan sesiapa yang mendahulukan Allah Ta‘ala dan Rasul-Nya dan hendaklah diutamakan sesiapa yang mengutamakan Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah Ta‘ala:

    يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ.

    Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. [al-Hujerat 49:13]

Di tempat yang lain beliau menyambung:[27]

Apabila para syaikh, para pemerintah dan selain mereka memerintahkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka taatlah perintah mereka. Akan tetapi jika mereka memerintahkan apa yang sebaliknya maka janganlah mentaati mereka kerana sesungguhnya tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam kemaksiatan kepada Allah. Tidak ada seorang jua (daripada para syaikh, para pemerintah dan selain mereka) yang maksum kecuali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ketentuan ini berlaku sekalipun ke atas seorang syaikh yang jelas terkenal dengan keagamaan dan keilmuannya.

Adapun orang yang mencipta bid‘ah yang nyata dan membuat kejahatan yang nyata, maka hendaklah diingkari bid‘ahnya dan kejahatannya serta jangan ditaati perintahnya berhubung dengan bid‘ah dan kejahatan tersebut. Akan tetapi jika dia atau orang selainnya memerintahkan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, maka wajib taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah wajib terhadap setiap individu dalam setiap keadaan tanpa mengira siapa yang memerintah dengan perintah tersebut.