Ketujuh: Keutamaan Abu Bakar,
‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali
Terdapat beberapa keutamaan yang berkumpul secara bersamaan bagi
keempat-empat khalifah di atas. Antaranya:
1 Mereka Mempunyai
Hubungan Perkahwinan dengan Rasulullah
‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh berkahwin dengan
Fathimah binti Rasulullah radhiallahu 'anha sehingga
melahirkan zuriat keturunan daripadanya. ‘Utsman ibn ‘Affan
radhiallahu 'anh berkahwin dengan
Ruqayyah
binti Rasulullah radhiallahu 'anha. Setelah itu ‘Utsman
berkahwin pula dengan adik Ruqayyah iaitu Umm Kaltsum binti
Rasulullah radhiallahu 'anha. Kedua-dua perkahwinan ini
dilangsung ketika hayat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
sehingga ‘Utsman diberi gelaran “Zu al-Nurain”.
Selain itu, kedua-dua al-Siddiq dan al-Faruq
radhiallahu ‘anhuma merupakan mertua kepada Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam berkahwin dengan ‘Aisyah binti Abu Bakar radhiallahu
'anha dan Hafsah binti ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anha.
2 Mereka Merupakan Khalifah
Di Atas Jalan Kenabian
Para
ilmuan bersepakat bahawa Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali
radhiallahu ‘anhum adalah empat orang Khalifah terpimpin yang
berada di atas jalan kenabian. Safinah radhiallahu 'anh
berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah
bersabda:
الْخِلاَفَةُ فِي أُمَّتِي ثَلاَثُونَ سَنَةً ثُمَّ مُلْكٌ بَعْدَ
ذَلِكَ.
Masa kekhalifahan bagi umatku ialah tiga puluh tahun, kemudian
sesudah itu adalah masa kerajaan.
Kemudian
Safinah berkata: “Hitunglah masa kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar,
‘Utsman dan masa kekhalifahan ‘Ali, nescaya kamu dapati ianya
berjumlah tiga puluh tahun.”
‘Irbad bin Sariyyah radhiallahu ‘anh berkata,
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan nasihat yang
membuat airmata kami mengalir dan membuat hati kami bergetar. Kami
berkata: “Wahai Rasulullah, ini seperti nasihat orang yang akan
berpisah lalu apa yang tuan wasiatkan kepada kami?” Baginda bersabda:
...فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ
الرَّاشِدِينَ...
“…berpeganglah kamu dengan sekalian dengan sunnahku dan sunnah
Khalifah al-Rasyidin yang berada di atas petunjuk…”
Yang dimaksudkan dengan “sunnah Khalifah”
adalah perjalanan hidup Khalifah al-Rasyidin yang empat
sebagaimana yang disepakati oleh para ilmuan. Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menetapkan bahawa mereka itu berada
di atas jalan petunjuk serta hidayah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam juga bersabda:
تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ
يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا. ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ
عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ
تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَهَا.
ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ
يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا. ثُمَّ
تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا
شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ
يَرْفَعَهَا. ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ.
ثُمَّ سَكَتَ.
Masa kenabian akan berlangsung di kalangan kalian sehinggalah satu
tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya
apabila Dia ingin mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) khalifah yang berada
di atas manhaj Nubuwwah sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki
Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin
mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) beraja yang
menggigit (menghimpit) sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki
Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin
mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) beraja yang
mengganas (zalim) sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah,
kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (semula sistem pemerintahan) khalifah yang
berada di atas manhaj Nubuwwah.
Kemudian baginda diam.
Hadis-hadis yang sahih di atas menolak sikap Syi‘ah al-Rafidhah
yang menafikan kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman
radhiallahu 'anhum. Pada waktu yang sama ia juga menolak mereka
yang menafikan kekhalifahan ‘Ali radhiallahu 'anh. Yang
benar mereka berempat adalah khalifah yang benar yang berada di atas
manhaj kenabian (al-Nubuwwah).