Antara sunnah yang penting pada sepuluh malam terakhir bulan
Ramadhan ialah beriktikaf di masjid. Namun wujud perbezaan pendapat
di kalangan ilmuan, adakah iktikaf dibolehkan di semua masjid atau
hanya di tiga masjid yang khusus iaitu Masjid al-Haram di Mekah,
Masjid al-Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Palestin. Dalam
risalah ini kita akan mengkaji punca wujudnya perbezaan pendapat
tersebut dan mencari pendapat yang rajih (paling kuat).
Punca perbezaan pendapat
Punca perbezaan pendapat bertitik tolak daripada sebuah riwayat
daripada Huzaifah bin al-Yaman radhiallahu
'anh:
Tidak ada iktikaf
kecuali dalam masjid yang tiga.
Riwayat di atas adalah sahih namun ia wujud dalam dua bentuk. Yang
pertama adalah marfu’ kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam, bererti ia adalah sabda baginda sendiri. Kedua adalah
mauquf kepada Huzaifah, bererti ia adalah kata-kata atau
pendapat Huzaifah sendiri. Untuk mengkaji lebih lanjut tentang dua
bentuk periwayatan ini, marilah kita mengkaji riwayat-riwayat yang
marfu’ dan mauquf.
Riwayat yang marfu’
Riwayat secara marfu’ merujuk kepada apa yang dikeluarkan
oleh al-Baihaqi rahimahullah (458H):
Dikhabarkan kepada
kami oleh Abu al-Hasan Muhammad bin al-Husain al-‘Alawi, dia
berkata, diberitahu kepada kami oleh Abu Nashr Muhammad bin
‘Abdawiyah bin Sahl al-Ghazi, dia berkata, diceritakan kepada kami
oleh Mahmud bin Adam al-Maruzi, dia berkata, diceritakan kepada
kami oleh Sufyan bin ‘Uyaynah, daripada Jami’ bin Abi Rasyid
daripada Abi Wail, dia berkata,
Berkata Huzaifah
kepada ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud) radhiallahu 'anh berkenaan (orang-orang
yang) beriktikaf di antara rumah dia dan rumah Abi Musa (al-Asya‘ari):
“(Kenapakah
dibiarkan hal itu berlaku) padahal engkau (Ibn Mas‘ud) mengetahui
bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Tidak
ada iktikaf kecuali dalam al-Masjid al-Haram (di Mekah)” – atau -
(perawi kurang pasti) baginda bersabda: “Tidak ada iktikaf
melainkan dalam masjid yang tiga.”
Maka ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud) menjawab: “Mungkin
engkau lupa dan mereka mengingatinya, atau mungkin engkau silap
dan mereka benar. Aku ragu terhadap hal ini.”
Riwayat ini dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam kitabnya al-Sunan
al-Kubra (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub
al-Ilmiah Beirut 1999), jld. 4, ms. 517, hadis no: 8574
(Kitab puasa, Bab Iktikaf dalam masjid).
Para perawinya adalah thiqah, termasuk para perawi kitab
sahih al-Bukhari dan Muslim kecuali tiga perawi yang terakhir.
Mereka ialah:
1. Abu
al-Hasan Muhammad bin al-Husain al-‘Alawi. Beliau diperkenalkan oleh
al-Zahabi sebagai:
Al-Imam
al-Sayid, seorang ahli hadis yang benar, seorang yang memiliki sanad
di Kota Khurasan, (beliau ialah) Abu al-Hasan Muhammad bin al-Husain
bin Daud bin ‘Ali, al-‘Alawi al-Husani al-Naisaburi……hadisnya
diambil oleh (Imam) al-Hakim (pengarang kitab al-Mustadrak)
dan Abu Bakar al-Baihaqi di mana dia (Abu al-Hasan) adalah guru yang
besar bagi al-Baihaqi.
[Siyar
A’lam al-Nubala (Diteliti oleh Syu‘aib al-Arna’uth; Muassasah
al-Risalah, Beirut 1998), jld. 17, ms. 98]
2. Abu
Nashr Muhammad bin Abdawiyah bin Sahl al-Ghazi, juga dikenali
sebagai Muhammad bin Hamdawiyah. Beliau diperkenalkan oleh al-Zahabi
sebagai:
Ibn Sahl,
al-Imam al-Hafiz yang cemerlang, Abu Nashr al-Marwazi al-Faziy……sebahagian
mereka menggelarnya al-Ghazi. Berkata al-Barqani, dia berkata,
diceritakan kepada kami oleh al-Daruquthni, dia berkata, diceritakan
kepada kami oleh Muhammad bin Hamdawiyah dan ‘Ali bin al-Fadhl bin
Thahir, (kedua-duanya adalah syaikh kami) yang thiqah, mulia lagi
al-Hafiz.
[Siyar
A’lam al-Nubala, jld. 15, ms. 80]
3. Mahmud
bin Adam al-Maruzi. Berkata Basyar ‘Awwad dan Syu‘aib al-Arna’uth:
Thiqah
(terpercaya), (hadis-hadisnya)
diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang thiqah. Beliau dinilai
thiqah oleh Ibn Abi Hatim al-Razi dan disebut oleh Ibn Hibban
di dalam (kitabnya) al-Thiqah. Tidak diketahui apa-apa
kecacatan terhadapnya.
[Tahrir Taqrib al-Tahzib li al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (Muassasah
al-Risalah, Beirut 1997), jld. 3, ms. 352, perawi no: 6509]
Oleh itu sanad hadis di atas adalah sahih. Adapun ketidakpastian di
dalam matannya, antara “…al-Masjid al-Haram” atau “…masjid yang tiga”,
maka yang benar adalah “…masjid yang tiga” berdasarkan
apa yang dikeluarkan oleh Ahmad bin Ibrahim al-Ismaili
rahimahullah (371H) sebagaimana berikut:
Diceritakan kepada
kami oleh Abu al-Fadhal al-‘Abbas bin Ahmad al-Washa’, dia berkata,
diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin al-Faraj, dia berkata,
diceritakan kepada kami oleh Sufyan bin ‘Uyaynah, daripada Jami’
bin Abi Rasyid daripada Abi Wail, dia berkata, berkata Huzaifah
kepada ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud - berkenaan orang-orang yang)
beriktikaf di antara rumah dia dan rumah Abi Musa (al-Asya‘ari):
“Kenapakah tidak
ditegah mereka (daripada beriktikaf di dalam rumah) padahal engkau
(Ibn Mas’ud) mengetahui bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda: “Tidak ada iktikaf kecuali dalam masjid yang
tiga.”
Maka ‘Abd Allah (Ibn
Mas‘ud) menjawab: “Mungkin engkau lupa dan mereka mengingatinya,
atau mungkin engkau silap dan mereka benar.”
Riwayat di atas
dikeluarkan oleh al-Ismaili di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Syukh
(diteliti oleh Ziyad Mahmud bin Mansur, Maktabah al-‘Ulum wa al-Hukum,
Madinah 1410H), jld 3, ms 720-721.
Para perawinya adalah thiqah, termasuk para
perawi kitab sahih al-Bukhari dan Muslim kecuali Muhammad bin al-Faraj,
beliau juga adalah thiqah dan merupakan perawi Shahih
Muslim. Perawi yang terakhir ialah Abu al-Fadhal al-‘Abbas bin
Ahmad al-Washa’. Beliau ialah al-‘Abbas bin Ahmad bin al-Hasan bin
Yazid, Abu al-Fadhal al-Washa’. Berkata al-Khatib al-Baghdadi:
“Beliau seorang syaikh yang salih.”
Rujuk:
1. Tarikh
Baghdad
(diteliti oleh Musthafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1997) oleh al-Khatib al-Baghdadi (463H), jld. 12, ms. 149,
perawi no: 6613.
2. Tarikh
Madinah al-Salam
(diteliti
oleh Rasyid ‘Awwad Ma‘ruf; Dar al-Gharib al-Islam, Beirut 2001) oleh
al-Khatib al-Baghdadi, jld. 14, ms. 40, perawi no: 6566.
3. Tarikh
al-Islam
(diteliti
oleh ‘Umar ‘Abd al-Salam; Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut 1998) oleh
al-Zahabi (748H), jld. 23, ms. 171, perawi no: 228.
Daripada riwayat yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan al-Ismaili
secara marfu’, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
menegaskan bahawa iktikaf hanya dibolehkan dalam tiga masjid, iaitu
Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa
di Palestin.
TOP
Riwayat yang mauquf
Riwayat secara
mauquf merujuk kepada apa yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq
rahimahullah (211H):
Daripada ‘Abd al-Razzaq,
daripada (Sufyan) Ibn ‘Uyaynah, daripada Jami’ bin Abi Rasyid, dia
berkata aku mendengar Abu Wail dia berkata:
Berkata Huzaifah
kepada ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud) berkenaan orang-orang yang
beriktikaf di antara rumah dia dan rumah Abi Musa (al-Asya‘ari):
“Kenapakah tidak ditegah mereka (daripada beriktikaf di dalam
rumah)?”
‘Abd Allah (Ibn
Mas‘ud) berkata kepada Huzaifah: “Mungkin mereka (orang-orang yang
beriktikaf di dalam rumah) benar dan engkau silap serta mereka
ingat dan engkau lupa.”
Maka
berkata Huzaifah: “Tidak ada iktikaf kecuali dalam tiga masjid ini,
iaitu masjid di Madinah, masjid di Mekah dan masjid di Iliya’ (Masjid
al-Aqsa di Palestin).”
Riwayat di atas dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq di
dalam kitabnya al-Musannaf (diteliti oleh Habib al-Rahman al-A’zami;
Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1983), jld 4, ms 348, no: 8016. Rujuk
juga al-Musannaf al-Jami’ ‘Abd al-Razzaq (diteliti oleh Aiman
Nashr al-Din berdasarkan manuskrip lain; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 2000), jld 4, ms 266-267, no: 8046.
Para perawinya adalah thiqah, termasuk para
perawi kitab sahih al-Bukhari dan Muslim. Malah tiga perawinya,
Sufyan bin ‘Uyaynah, Jami’ bin Abi Rasyid dan Abu Wail, mereka
adalah para perawi yang sama dengan apa yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi
dan al-Ismaili sebagaimana di atas.
Berdasarkan riwayat yang dikeluarkan
oleh ‘Abd al-Razzaq secara mauquf, pembatasan iktikaf kepada
tiga masjid sahaja adalah pendapat peribadi Huzaifah bin al-Yaman.
TOP
Pendapat yang rajih
Berdasarkan dua bentuk periwayatan di atas, wujud tiga pendapat:
·
Pendapat pertama
menguatkan bentuk periwayatan secara marfu’. Bagi mereka
apabila wujud perbezaan antara riwayat yang marfu’ dan
mauquf, maka yang mauquf dikembalikan kepada yang
marfu’.
Maka dengan itu hadis di atas adalah benar-benar merupakan sabda
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hadis di atas
mengkhususkan keumuman “masjid” dalam
firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu
malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu
ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.
[al-Baqarah 2:187]
Dengan itu amalan iktikaf hanya dibolehkan dalam tiga masjid iaitu
Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa
di Palestin.
·
Pendapat kedua
menguatkan bentuk periwayatan secara mauquf. Bagi mereka
apabila wujud perbezaan antara riwayat yang marfu’ dan
mauquf, maka hendaklah dicari petunjuk-petunjuk yang dapat
menguatkan salah satu daripada bentuk periwayatan tersebut. Dalam
kes ini, riwayat secara mauquf memiliki sanad yang lebih
pendek berbanding riwayat secara marfu’ yang memiliki sanad
yang lebih panjang. Sanad yang panjang terbuka kepada kemungkinan
wujudnya kekeliruan dibanding dengan sanad yang pendek. Dalam
ertikata lain, sanad yang pendek adalah lebih terpelihara daripada
sanad yang panjang.
Maka dengan itu hadis di atas adalah pendapat Huzaifah dan bukannya
sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Pendapat
seorang sahabat tidak boleh mengkhususkan keumuman “masjid”
yang terdapat dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
yang bermaksud: Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga
waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri
kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. [al-Baqarah
2:187]
Lebih
dari itu, pendapat seorang sahabat tidak boleh dijadikan hujah
apabila ia menyelisihi pendapat para sahabat yang lain. Dalam kes
ini, kebanyakan sahabat dan generasi awal (al-Salaf)
membolehkan iktikaf di semua masjid.
Dengan itu amalan iktikaf dibolehkan dalam semua masjid tanpa terhad
kepada Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Nabawi di Madinah dan
Masjid al-Aqsa di Palestin.
·
Pendapat ketiga
mengambil jalan pertengahan, bahawa yang
dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
atau oleh Huzaifah radhiallahu 'anh adalah keutamaan
tempat melakukan iktikaf, bukan pembatasannya. Dalam erti kata lain,
beriktikaf di Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Nabawi di Madinah
dan Masjid al-Aqsa di Palestin tidak memiliki apa-apa tandingan dari
sudut keutamaannya berbanding masjid-masjid yang lain.
Sebahagian ilmuan lain menambah, yang dimaksudkan oleh Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam atau oleh Huzaifah
radhiallahu 'anh adalah beriktikaf kerana menunaikan nazar.
Tidak boleh bernazar untuk beriktikaf melainkan pada tiga masjid
tersebut.
Di antara pendapat-pendapat di atas, masing-masing memiliki hujah
dan kekuatan. Sesiapa yang mampu menganalisa di antara kedua-dua
pendapat ini, maka dipersilakan untuk berpegang kepada pendapat yang
dianggapnya paling kuat. Sesiapa yang tidak mampu untuk menganalisa
maka memadai baginya untuk mengikuti salah satu daripada kedua-dua
pendapat di atas. Yang penting seseorang itu tidak boleh memaksa apa
yang dicenderunginya ke atas individu yang lain melainkan perbezaan
di antara pendapat-pendapat ini dapat diselaraskan secara muktamad.