Kemudahan adalah
antara ciri istimewa syari‘at Islam sebagaimana firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an:
Dialah
yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Ia
tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah
dalam perkara agama.
[al-Hajj 22:78].
Antara kemudahan Islam
ialah mengecualikan kewajipan puasa dalam bulan Ramadhan bagi orang
yang bermusafir. Firman Allah:
(Puasa
yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa
di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka),
kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada
hari-hari yang lain.
[al-Baqarah 02:184].
Hal ini diulangi dalam
ayat seterusnya:
Oleh
itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa
yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian
wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada
hari-hari yang lain.
[al-Baqarah 02:185].
Daripada dua ayat di
atas, dibolehkan berbuka apabila seseorang itu dalam musafir. Dia
hanya diwajibkan mengqadha semula bilangan hari puasa Ramadhan yang
tidak disempurnakannya. Tidak ada perselisihan di kalangan ahli-ahli
ilmuan dalam perkara ini. Akan tetapi terdapat beberapa syarat yang
perlu diperhatikan sebelum seseorang itu memanfaatkan kemudahan ini.
Pertama: Jarak Perjalanan
Jarak perjalanan yang
membolehkan seseorang mengambil kemudahan ini adalah apabila dia
bermusafir, sepertimana jarak yang membolehkan seseorang itu
mengqasar solat-solat fardhunya. Di sini terdapat dua pendapat
tentang jarak perjalanan yang dijadikan ukuran musafir. Pendapat
pertama menetapkan jarak perjalanan yang tertentu berdasarkan
beberapa hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Namun
di sini tidak ada kesepakatan atas jarak yang sebenar kerana
hadis-hadis yang berbeza menerangkan jarak perjalanan yang saling
berbeza. Pendapat yang kedua tidak menetapkan apa-apa jarak
perjalanan yang tertentu. Asalkan seseorang ini berada dalam satu
perjalanan yang jaraknya melebihi kebiasaan bagi dirinya, maka dia
dikira sebagai seorang musafir. Hadis-hadis Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam tidak ada yang menerangkan jarak
perjalanan tertentu melainkan semuanya menerangkan bahawa baginda
mengamalkan kemudahan hukum musafir apabila sahaja berada di luar
Kota Madinah.
TOP
Kedua: Tempoh Perjalanan
Tempoh perjalanan yang
membolehkan seseorang mengambil kemudahan ini adalah apabila dia
bermusafir, seperti mana tempoh yang membolehkan seseorang itu
mengqasar solat-solat fardhunya. Di sini juga terdapat dua pendapat
tentang tempoh perjalanan yang dijadikan ukuran musafir. Pendapat
pertama menetapkan hari-hari yang tertentu seperti 3, 4, 9, 11 dan
18 hari berdasarkan hadis-hadis yang menerangkan tempoh perjalanan
yang pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Pendapat kedua tidak menetapkan apa-apa hari tertentu.
Selagi seseorang itu tidak berniat untuk bermastautin di mana-mana
selain kampung halamannya yang asal, selagi itulah perjalanannya
dikira sebagai musafir. Hadis-hadis yang menerangkan tempoh
perjalanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak ada
yang menetapkan tempoh tertentu. Ia hanya menerangkan tindakan
baginda yang memanfaatkan kemudahan musafir selagi mana baginda
bermusafir.
Berkenaan jarak dan
tempoh musafir, kedua-dua pendapat di atas adalah benar kerana
setiapnya memiliki dalil dan hujah. Pendapat yang lebih kuat
mengikut analisa penulis ialah pendapat kedua, iaitu tidak ada batas
tertentu bagi jarak dan tempoh musafir melainkan apa yang melebih
kebiasaan seseorang. Berkata Ibn Taimiyyah rahimahullah
(728H):
Setiap nama (istilah) yang tidak ada
baginya batasan dari sudut bahasa dan tidak ada (batasannya)
daripada syari‘at maka tempat kembalinya ialah kepada kebiasaan (al-‘Uruf).
Maka apa yang dipandang sebagai musafir dari sudut kebiasaan manusia
maka ia adalah musafir yang padanya diikat hukum syara’.
Hal ini diulas lanjut
oleh Ibn al-Qayyim rahimahullah (751H):
Tidaklah diberi batasan tertentu kepada
umat untuk menqasar solat dan berbuka puasa, bahkan bagi mereka (umat
Islam) disebut secara mutlak “musafir” dan “bergerak di mukabumi”
sebagaimana disebutkan juga kepada mereka (kemudahan) tayamum pada
setiap musafir. Adapun apa yang diriwayatkan daripada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam mengenai pembatasan hari perjalanan
kepada sehari atau dua hari atau tiga hari, maka tiada satu jua yang
sah daripada baginda (sama ada dari sudut kesahihan sanad mahupun
sumber hukum pembatasan).
Selain itu, tujuan syari‘at Islam ialah memberi
kemudahan kepada umatnya ketika bermusafir manakala musafir itu pula
ialah satu suasana yang berbeza-beza jarak dan tempohnya antara
individu, ditambahi dengan kadar kesukaran (masyaqah)
yang berbeza-beza juga. Tidaklah dinamakan kemudahan apabila semua
musafir dan individu dikelompokkan ke dalam satu kategori yang sama.
Adapun kebimbangan sebahagian pihak bahawa ini akan menyebabkan
sebahagian umat Islam meremehkan hukum, maka kebimbangan ini
dianggap lemah kerana orang yang pada lumrahnya suka meremehkan
hukum Islam akan sentiasa bersikap sedemikian tanpa mengira apa dan
bagaimana hukum tersebut.
TOP
Ketiga: Tujuan Perjalanan
Sekali lagi terdapat dua pendapat di kalangan ilmuan
Islam tentang tujuan perjalanan yang membolehkan seseorang itu
memanfaatkan kemudahan hukum musafir. Pendapat pertama mensyaratkan
kemudahan hukum musafir hanya boleh dimanfaatkan oleh perjalanan
yang diharuskan syara’ seperti menunai umrah dan haji, menziarahi
saudara, menuntut ilmu dan berniaga. Adapun perjalanan yang dilarang
oleh syara’ seperti ke Las Vegas untuk berjudi di kasino dan
sebagainya, tidak dibolehkan memanfaatkan kemudahan hukum musafir.
Dalil mereka ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan
hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan
bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan.
[al-Maidah
5:02].
Pendapat kedua membolehkan
seseorang itu memanfaatkan kemudahan hukum musafir tanpa mengira
sama ada perjalanannya itu adalah untuk tujuan yang harus atau
dilarang. Bagi mereka musafir duduk dalam kategorinya yang
tersendiri manakala perjalanan yang harus atau maksiat duduk di
dalam kategorinya yang tersendiri juga. Harus atau maksiat, baik
atau jahat, pahala atau dosa sesuatu perjalanan bergantung kepada
pelakunya. Kemudahan hukum musafir dalam Islam bebas daripada semua
itu, jauh sekali daripada dianggap sebagai “bertolong-tolongan”
dengan tujuan seseorang itu melakukan perjalanannya. Penulis
menganggap pendapat yang kedua ini adalah lebih kuat.
TOP
Manakah lebih baik - berpuasa atau berbuka?
Pilihan sama ada untuk
terus berpuasa atau berbuka ketika musafir adalah satu anugerah
Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hamba-Nya. Anugerah
ini diberikan tanpa mensyaratkan sesuatu kesukaran dalam perjalanan.
Seseorang itu bebas memilih antara berpuasa atau berbuka,
sebagaimana terang hadis berikut ini daripada A’isyah radhiallahu
'anha, bahawa seorang sahabat bernama Hamzah bin 'Amr al-Aslami
bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Patutkah
aku berpuasa ketika bermusafir?” Rasulullah menjawab:
Jika engkau mahu
silakan berpuasa dan jika engkau mahu silakan berbuka.
‘Abd Allah ibn Abbas radhiallahu 'anh
berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
adakalanya berpuasa dan adakalanya tidak berpuasa dalam perjalanan.
Oleh itu sesiapa yang suka bolehlah berpuasa dan sesiapa yang tidak
mahu berpuasa bolehlah berbuka.
Anas bin Malik radhiallahu 'anhuma
juga menerangkan: Kami pernah berpergian bersama
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, (di kalangan kami ada yang
berpuasa dan ada yang berbuka) tetapi yang berpuasa tidak mencela
yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang berpuasa.
Berdasarkan
keterangan-keterangan di atas, ‘Abd al-Karim Zaidan merumuskan:
Dibolehkan bagi orang yang bermusafir
yang menempuh jarak perjalanan yang membolehkan solat diqasar untuk
berbuka pada bulan Ramadhan, sesuai dengan kesepakatan para ulama’
sama ada dia mampu untuk melakukan puasa atau tidak mampu, sama ada
puasa itu menyukarkan dirinya atau tidak.
Akan tetapi jika
seseorang itu menghadapi kesukaran ketika berpuasa dalam musafir
maka yang sebaiknya adalah untuk dia berbuka berdasarkan kepada
hadis berikut daripada Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh
yang menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
pernah dalam satu perjalanan melihat serombongan manusia dan
seorang lelaki yang diteduhi oleh mereka. Lalu Rasulullah bertanya:
“Mengapa ini?” Mereka menjawab: “Dia sedang berpuasa.”
Rasulullah kemudiannya bersabda:
Tidaklah satu kebaikan
untuk berpuasa dalam perjalanan (sebegini).
Apabila ketika musafir
seseorang itu menghadapi suasana kesukaran yang amat berat lagi
membahayakan untuk berpuasa, maka puasanya menjadi haram dan berbuka
menjadi wajib berdasarkan hadis berikut:
Jabir bin ‘Abd Allah
radhiallahu 'anhuma berkata, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam pernah keluar dalam bulan Ramadhan pada tahun pembukaan
Makkah (Fath al-Makkah) lalu baginda berpuasa dan orang ramaipun
berpuasa bersamanya. Begitulah keadaannya sehingga sampai ke Kurail
Ghamim. Baginda diberi laporan bahawa orang-orang merasa amat payah
berpuasa dan kini mereka menanti keputusannya. Lalu (sesudah waktu
Asar) Nabi meminta semangkuk air lalu baginda minum.
Kemudian sampailah
berita kepada Nabi bahawa ada sebahagian orang yang masih berpuasa,
maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Mereka itu
orang-orang yang derhaka, mereka itu orang-orang yang derhaka.”
Berdasarkan hadis ini
berkata Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah
(1411H):
Jika berpuasa mendatangkan suasana
kesusahan yang teramat sangat kepada orang yang bermusafir, dia
wajib berbuka dan menqadhakan semula di hari yang lain. Tetap
berpuasa dalam keadaan sedemikian adalah haram hukumnya.
Secara ringkas,
pilihan berbuka atau berpuasa ketika musafir boleh dikategorikan
kepada tiga tahap, iaitu:
1. Dibolehkan
berpuasa atau berbuka ketika musafir tanpa sebarang syarat atau
halangan.
2. Sebaiknya
berbuka puasa apabila menemui kesukaran.
3. Wajib
berbuka apabila mengalami kesukaran yang amat berat.
TOP
Adakah terdapat perbezaan hukum musafir antara zaman dahulu dan
sekarang?
Bagi menerangkan
persoalan di atas, berikut diturunkan penerangan Yusuf al-Qaradhawi:
Dibolehkan melakukan perjalanan dengan keretapi,
kapal laut, kapal terbang dan semisalnya, termasuk apa jua alat
pengangkutan yang menyenangkan yang sedia ada pada zaman sekarang
ini. Alat-alat pengangkutan tersebut tidak dapat menggugurkan
kemudahan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam. Ia adalah sedekah
Allah yang dilimpahkan kepada kita, oleh itu tidak memadai kita
menolaknya.
Sebahagian orang yang tidak faham tentang fiqh
berpendapat bahawa perjalanan pada zaman moden tidak sama dengan
perjalanan di zaman dahulu. Mereka tidak menganggap perjalanan yang
dilakukan dengan alat pengangkutan moden merupakan perjalanan yang
membolehkan pelakunya mendapat kemudahan hukum.
Mereka
lupa bahawa hukum-hukum Islam tidak dapat digugurkan dengan pendapat
semata-mata, khususnya masalah ibadat. Nas-nas syara' yang
menerangkan tentang kemudahan hukum bersifat terbuka sebagaimana
yang lainnya dengan perkara yang jelas lagi pasti, iaitu perjalanan.
Sifat keterbukaan hukum tidak dihubung-kaitkan dengan masyaqah
badaniah [kesukaran yang bersifat fizikal] kerana ia tidak jelas
dan tidak dapat dipastikan. Sebenarnya dengan kenderaan apapun,
musafir tidak akan lepas daripada masyaqah. Manusia apabila
di kampung orang lain pasti merasakan adanya kesukaran atau tidak
selesa.
Orang yang melakukan perjalanan pada zaman sekarang
ini, menemui kesukaran - kesukaran yang lain, misalnya masalah
ashabiyah
(perbezaan bangsa) dan psikologis sebagaimana yang dialami para
musafir sekarang. Jadi
masyaqah
badaniyah
bukanlah satu-satunya
masyaqah.
Dalam kitabnya
Majmu’ al-Fatawa,
jld. 25, ms. 210, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “Menurut
ijma' ulama, orang musafir boleh berbuka, baik ia mampu berpuasa
atau tidak mampu, baik ia sulit berpuasa maupun tidak sulit, bahkan
walaupun berperjalanan dengan alat pengangkutan yang canggih dan
ditemani oleh pembantunya, maka ia tetap boleh berbuka dan mengqasar
shalat.”
Antara kesukaran
musafir masa kini ialah, perjalanan yang pantas melalui beberapa zon
masa dalam tempoh seketika, perjalanan yang searah dengan perjalanan
matahari sehingga menyebabkan waktu siangnya berjam-jam lamanya,
kesukaran penyesuaian zon waktu bagi mereka yang tidak biasa
bermusafir jauh, kesukaran mendapatkan makanan di negara bukan Islam
dan pelbagai lagi. Semua ini termasuk dalam kesukaran musafir yang
dikenali oleh Islam. Oleh itu seseorang yang bermusafir, sama ada
pada masa lalu atau kini atau akan datang tetap tertakluk kepada
kemudahan-kemudahan hukum musafir sebagaimana yang disyari'atkan.
TOP
Berpuasa atau berbuka: antara ibadah dan amanah
Satu faktor tambahan
yang patut dijadikan pertimbangan sama ada berpuasa atau berbuka
ketika musafir ialah tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang itu.
Ini khusus ditujukan kepada para pemandu kenderaan seperti bas, lori,
keretapi, kapal terbang, kapal laut dan sebagainya. Tidak
ketinggalan ialah orang yang memandu balik kampung sempena menyambut
1 Syawal. Kesemua mereka patut mempertimbangkan sama ada berpuasa
atau berbuka demi menjamin keselamatan penumpang dan kenderaan yang
mereka pandu. Pilihan yang baik adalah mereka menerima serta
mengamalkan kemudahan agama agar dapat dilaksanakan amanah
tanggungannya dengan sempurna dan pada waktu yang sama menepati
perintah-perintah agama.
Dalam usaha kita
menunaikan ibadah puasa, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telahpun
memberikan kemudahan hukum sama ada untuk terus berpuasa atau
berbuka. Oleh itu hendaklah kita mengamalkan kemudahan ini agar
tidak terabai amanah atau tanggungjawab yang dipikul. Kesyumulan
syari'at Islam tidak pernah memberatkan umatnya dengan sesuatu
ibadah yang diluar kemampuan diri mahupun yang memberikan akibat
negatif kepada umat secara umumnya. Di sini perlu dibetulkan salah
faham sebahagian kita yang berpendapat melakukan ibadah dalam
suasana kesukaran akan menghasilkan ganjaran yang lebih baik. Yang
benar adalah sebaliknya berdasarkan firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala:
Allah
tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
[al-Baqarah 2:286].
Senada dengan firman
Allah di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah
bersabda bahawa Allah lebih menyukai seseorang yang mengamalkan
kemudahan Islam, bukan sebaliknya. Sabda baginda:
Sesungguhnya Allah
menyukai keringanan-keringanan hukum-Nya diamalkan sebagaimana Dia
benci larangan-larangan-Nya dikerjakan.
Kisah berikut patut
dijadikan contoh teladan: Anas bin Malik radhiallahu 'anh
berkata, kami pernah bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam dalam satu perjalanan dan (disebabkan cuaca panas terik)
seseorang itu hanya dapat berteduh di bawah bayangan yang dibuat
oleh pakaiannya sendiri. Orang-orang yang berpuasa tidak melakukan
apa-apa kerja manakala orang-orang yang tidak berpuasa menyediakan
makanan untuk unta-unta dan membawakan air untuk mereka dan juga
merawati orang-orang yang sakit atau tercedera. (Melihat yang
demikian) maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda:
Hari ini orang-orang
yang tidak berpuasa mendapat semua ganjaran kebajikan.
‘Abd
Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Jibreen mengingatkan:
Jika seseorang itu berpuasa dan
bermusafir dan dia dipertanggungjawabkan ke atas seseorang yang lain
atau diamanahkan dengan sesuatu tugas maka orang yang sedemikian
adalah lebih baik jika dia berbuka. Orang yang sedemikian ini akan
tetap diberikan ganjaran yang setimpal, asalkan dia menqadha balik
puasanya itu.
Risalah 11:
Ayah! Jom Pergi Rumah Tok Cik