Malam 27 Likur

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

1.   Keistimewaan Lailatul Qadar

2.   Bilakah malam Lailatul Qadar?

3.   Adakah Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan?

4.   Hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadar secara tepat

5.   Beberapa alamat Lailatul Qadar

6.   Apa yang seharusnya dilakukan pada Lailatul Qadar?

 

Boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan umat Islam Malaysia mengistimewakan malam 27 likur. Malam ini ditandai dengan lampu minyak atau pelita yang dinyalakan di sekeliling rumah. Penduduk bandar tidak ketinggalan, hanya sahaja mereka tidak menggunakan lampu minyak. Sebaliknya mereka menggunakan lampu elektrik yang dinyalakan di pagar atau halaman rumah.

 

Malam 27 likur sinonim dengan malam 27 Ramadhan. Ramai yang mempercayai bahawa malam 27 Ramadhan adalah malam al-Qadar, atau lebih dikenali sebagai Lailatul Qadar. Sejauh manakah kebenaran kepercayaan ini? Dalam risalah yang ringkas ini penulis akan cuba memperkenalkan Lailatul Qadar kepada para pembaca sekalian berdasarkan keterangan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

 

 

 

Keistimewaan Lailatul Qadar

 

Keistimewaan Lailatul Qadar jelas terserlah apabila Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan sebuah surah yang khusus untuknya di dalam al-Qur’an. Surah tersebut dinamakan surah al-Qadar dan ia berbunyi:

 

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam (Lail) al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam (Lail) al-Qadar? Malam (Lail) al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! [al-Qadar 97:1-5]

 

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa Dia menurunkan al-Qur’an al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan Lailatul Qadar. Dalam 365 hari, Allah telah memilih satu hari untuk menurunkan buku panduan kepada manusia, iaitu pada Lailatul Qadar. Lailatul Qadar ini letaknya adalah di dalam bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah dalam ayat yang lain:

 

Pada bulan Ramadhan yang diturun dalamnya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk serta menjadi perbezaan antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]

 

Keistimewaan seterusnya bagi Lailatul Qadar adalah ia lebih baik daripada seribu bulan. Jika dihitung, seribu bulan bersamaan dengan kehidupan selama 83 tahun dan 4 bulan. Ertinya satu malam ini lebih baik daripada seluruh umur seseorang. Ini adalah satu keistimewaan yang tiada tandingannya.

 

Keistimewaan ketiga bagi Lailatul Qadar adalah pada malam tersebut para malaikat termasuk malaikat Jibrail turun membawa ketetapan bagi segala urusan dalam kehidupan ini.[1] Hal ini dijelaskan lagi dalam ayat yang lain:

 

Haa, Miim. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. (Kami menurunkan Al-Quran pada malam tersebut kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami. [al-Dukhan 44:1-5]

 

 

 

TOP

 

 

 

Bilakah malam Lailatul Qadar?

 

Gandingan antara surah al-Qadar dan ayat 185 surah al-Baqarah, kita dapat mengetahui bahawa Lailatul Qadar berlaku di dalam bulan Ramadhan. Hal ini kemudiannya dikhususkan lagi oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan menjelaskan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan:

 

Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan.[2]

 

Jika seseorang itu tidak mampu mencarinya pada sepuluh malam yang terakhir, hendaklah dia berusaha sekurang-kurangnya untuk mencari pada tujuh malam yang terakhir sebagaimana pesan baginda:

 

Carilah pada sepuluh malam terakhir, yakni Lailatul Qadar. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah dia kalah (putus asa) pada baki tujuh malam yang terakhir.[3]

 

 

 

TOP

 

 

 

 

Adakah Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan?

 

Lailatul Qadar boleh berlaku pada 27 Ramadhan akan tetapi ia tidak semestinya berlaku pada 27 Ramadhan. Sememangnya merupakan pendapat yang masyhur di kalangan sebahagian umat Islam bahawa Lailatul Qadar jatuh pada 27 Ramadhan. Kemasyhuran ini diulas oleh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah:[4]

Ubay bin Ka‘ab dan Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma berpendapat bahawa Lailatul Qadar adalah malam 27 bulan Ramadhan. Ubay bin Ka‘ab pernah bersumpah akan hal ini kerana alamat-alamat yang dia lihat. Hal ini juga terkenal di kalangan jumhur kaum Muslimin sehinggakan malam itu (malam 27) diperingati dengan peringatan yang rasmi.

Sebenarnya tidak ada yang meyakinkan dalam hal ini.[5] (Wujud) banyak pendapat yang memberikan ketentuan (kepada bilakah malam Lailatul Qadar). Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut sekurang-kurangnya 46 pendapat dalam hal ini. (Di antara pendapat-pendapat tersebut), sebahagiannya dapat dikembalikan kepada sebahagian yang lain. Yang paling kuat adalah ia berlaku pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia berpindah-pindah (dari tahun ke tahun) sebagaimana yang dapat kita fahami daripada hadis-hadis yang membicarakan masalah ini.

 

 

 

TOP

 

 

 

Hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadar secara tepat

 

Hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadar secara tepat adalah sebagai motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa berusaha menghidupkan kesemua sepuluh malam terakhir dengan ibadah dan doa. Seandainya Lailatul Qadar telah ditetapkan pada malam yang tertentu, nescaya umat Islam akan mengabaikan ibadah dan doa pada malam-malam yang lain. Sekali lagi, penjelasan Yusuf al-Qaradhawi menjadi tumpuan kita:[6]

Milik Allah-lah hikmah kebesaran yang ada di sebalik rahsia-rahsia-Nya. Sekiranya kita mendapat keyakinan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam tertentu sahaja, tentu semangat kita mengendur di sepanjang Ramadhan dan merasa cukup dengan menghidupkan malam yang ditentukan itu sahaja. Kerahsiaannya merupakan pendorong untuk melakukan amal pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah.

Hal ini sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari Jumaat. Allah juga merahsiakan Nama-Nya yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama baik-Nya (al-Asma al-Husna) secara keseluruhan.[7]

 

 

 

TOP

 

 

 

Beberapa alamat Lailatul Qadar

 

Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan tiga alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadar:

1.   Pada malam tersebut bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air.[8]

2.   Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk.[9]

3.   Pada pagi hari selepas Lailatul Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik.[10]

 

Tiga alamat di atas adalah benar. Akan tetapi seseorang itu hanya akan dapat mengetahui secara yakin Lailatul Qadar setelah berakhirnya bulan Ramadhan dengan menganalisa kesemua sepuluh malam terakhir berdasarkan alamat-alamat di atas. Ini kerana alamat-alamat di atas mungkin wujud secara berbeza-beza di antara malam yang berbeza-beza. Sebagai contoh, malam 21 mungkin memiliki alamat sinaran matahari yang tidak terik pada pagi harinya, malam 23 mungkin memiliki alamat suasana yang nyaman, malam 25 mungkin memiliki suasana yang lebih nyaman berbanding malam 23, malam 27 mungkin disinari dengan bulan yang terbit seperti potongan bekas simpanan air manakala malam 29 mungkin memiliki kesemua tiga alamat sekali gus.

 

Tujuan diterangkan alamat-alamat Lailatul Qadar bukanlah untuk menetapkan malam yang tertentu tetapi sebagai sumber motivasi untuk terus beramal dalam rangka mencari Lailatul Qadar.

 

 

TOP

 

 

 

Apa yang seharusnya dilakukan pada Lailatul Qadar?

 

Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, seseorang itu hendaklah memperbanyakkan solat malamnya. A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya (tidak bersetubuh) dan menghidupkan waktu malam dengan qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamulail.[11]

 

Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa dia pernah bertanya:

 

“Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab:

 

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.”[12]

 

Demikian pengenalan yang dapat penulis berikan kepada para pembaca sekalian berkenaan Lailatul Qadar. Ringkasnya ia adalah satu malam teristimewa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada kita umat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Lailatul Qadar berlaku pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Sengaja tidak ditentukan secara tepat Lailatul Qadar untuk memberi motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa menghidupkan sepuluh malam yang terakhir tersebut dengan qiamulail dan doa, bukan dengan nyalaan lampu. Malam 27 Ramadhan bukanlah Lailatul Qadar akan tetapi ia adalah salah satu daripada sepuluh malam yang mungkin berlakunya Lailatul Qadar.

 

Risalah 9: Iktikaf: Adakah Ianya Dibolehkan Di Semua Masjid
Atau Tiga Masjid Sahaja?

 


 


[1]               Ayat-ayat ini membatalkan kepercayaan sesetengah pihak bahawa ketentuan urusan kehidupan diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban. Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban mereka membaca surah Yasin tiga kali dan berdoa untuk kemurahan rezeki, panjang umur dan lain-lain kebaikan yang mereka rancang untuk tempoh setahun yang akan datang.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 2017 (Kitab Solat Tarawih, Bab mencari Lailatul Qadar……)

[3]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1165 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan Lailatul Qadar……)

[4]               Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 176.

[5]               Di sini al-Qaradhawi bukannya menolak keterangan Ubay bin Ka‘ab dan Ibn ‘Abbas kerana apa yang disebut oleh kedua-dua sahabat yang mulia tersebut hanya benar bagi tahun yang mereka alaminya. Ia tidak boleh dijadikan dalil yang menetapkan secara mutlak kerana Lailatul Qadar sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun.

[6]               Fiqh al-Siyam, ms. 176-177

[7]               Antara adab berdoa yang dianjurkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah ialah berdoa dengan menyebut Nama-Nama Allah. Lebih lanjut rujuk buku Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah oleh Mohd. Yaakub Mohd. Yunus terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004.

[8]               Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 1170 (Kitab puasa, Bab keutamaan Lailatul Qadar……)

[9]               Rujuk Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5475.

[10]             Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 762 (Kitab Solat Musafir, Bab anjuran bersolat pada malam Ramadhan……)

[11]             Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 1174 (Kitab Iktikaf, Bab bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir……)

[12]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 3119 (Kitab Doa).

 

::  Al-Firdaus  ::  Cover  ::  Indeks  ::  Top  ::