Adab-adab berhubung dengan ibadat mestilah merujuk kepada
apa yang ditunjuk oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ada
sebahagian pihak yang cenderung untuk mencipta adab-adab ibadah tanpa
merujuk kepada dua sumber agung ini, misalnya dakwaan yang menyatakan
makruh mandi kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana itu
boleh mengurangkan keletihan dan sekaligus menghilang kelebihan puasa.
Sedang di dalam hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Malik
di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam Sunannya,
Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku:
“Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-`Arj (nama
tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa
disebabkan dahaga atau panas”.
Dengan itu
Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:
Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika
puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh
sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala
baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.
[Ibn
Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr,
Beirut]
Apa yang
penting di dalam bulan Ramadhan ialah adab-adab ibadah puasa mestilah
mempunyai asas yang boleh dipegang iaitu al-Quran atau al-Sunnah.
Dalam artikel ini penulis ingin memberi perhatian kepada adab-adab
berbuka puasa. Di antaranya adalah:
Pertama:
Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar.
Ini berdasarkan hadith-hadith yang menyebut perkara ini, antaranya
daripada Sahl bin Sa`d, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda:
“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka
menyegerakan berbuka puasa”
[Riwayat al-Bukhari dan
Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 1957]
Hadith ini
menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam yang menyegerakan berbuka puasa.
Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan
berbuka menambah pahala. Kata al-Tibi (meninggal 743H):
Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa
ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat
membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ianya
menyanggahi ahli bid`ah yang berpendapat wajib
melewatkannya.
[al-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub
al-`Ilmiyyah, Berut]
TOP
Kedua:
Berbuka Puasa dengan rutab, tamar atau air. Rutab ialah buah kurma
yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis.
Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam
al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali.
Ianya kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut.
Apabila ianya mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadith daripada Anas
katanya:
Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbuka
dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya
tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar
maka baginda minum beberapa teguk air.
[Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadith ini hasan. Al-Diya
al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini, lihat:
al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah,
Mekah]
Inilah
tertib yang dilakukan oleh baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika
tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):
Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab,
sekiranya tiada maka dengan tamar dan sekiranya tiada maka dengan air
… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air
zam-zam sebelum tamar atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam
adalah ditolak. Ini kerana ianya menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah
berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun
tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya
mendahulukan tamar sebelum air.
[al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub
al-`Ilmiyyah, Beirut]
Di samping
itu, dakwaan jika tiada tamar maka dengan buah-buahan yang lain juga
tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam.
TOP
Ketiga:
Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan rutab, tamar atau
air sekiranya makanan belum dihidangkan.
Hadith
yang kita nyatakan di atas menunjukkan baginda Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam berbuka dengan rutab, tamar atau air sebelum bersolat
maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut iaitu
selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi lantas terus menunaikan
solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya
makanan telah dihidangkan di depan mata maka dimakruhkan meninggalkan
makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan
dalam hadith-hadith baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam,
antaranya daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam telah bersabda:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah
ianya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan jangan kamu
tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis
no: 672]
Dalam
hadith yang lain daripada `Abd Allah bin `Umar, baginda bersabda:
“Apabila
dihidangkan makan malam seseorang kamu sedangkan solat (jamaah) telah
didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia
tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.”
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis
no: 674]
Riwayat di
atas juga menambah:
“Bahawa Ibn `Umar apabila dihidangkan untuknya makanan manakala solat
pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan
hingga beliau selesai makan sedang beliau mendengar bacaan imam.”
Ini kerana
meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk
menjamahnya atau dalam perasaan lapar boleh menghilangkan khusyuk di
dalam solat disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu
para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di
hadapan mata. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): “Di
dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya
makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan
menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
[al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair,
Beirut]
Sebenarnya
bukan pada makan malam atau solat maghrib sahaja kita disunatkan
mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini
meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan
khusyuk Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi
(meninggal 1031H) pula menyebut:
“Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum
solat maghrib. Namun ianya juga dipraktikkan juga pada solat-solat
yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”
[al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah
al-Kubra, Mesir]
Malangnya
ada di kalangan orang yang kurang faham lalu mereka menyatakan bahawa
kalau azan sudah berkumandang hidangan dan makanan hendaklah
ditinggalkan demi mengutamakan solat jamaah. Inilah punca kedangkalan
meneliti hadith-hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lalu
mengandaikan agama dengan emosi sendiri.
Adapun
sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap
makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini
bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat,
sebaliknya tujuan arahan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ini
ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani
(meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):
Ada
orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab
mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian,
tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam
ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para
sahabah) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti
solat jamaah.
[Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr,
Beirut]
TOP
Keempat:
Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepat
dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebih.
Sesungguhnya Dia (Allah) tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan.”
[Surah
al-`Araf 7:31]
Di dalam
hadithnya baginda shallallahu 'alaihi wasallam menyebut:
Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih
buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap
yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan
kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan,
satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan.
[Riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2302
dan beliau berkata: “Hadith ini hasan sahih.” Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani
di dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan]
Hadith ini
telah salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umatnya jika makan
hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan
satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini
maksudnya bukan demikian. Pembahagian tersebut ialah had maksima,
kalau boleh hendaklah kurang daripada itu. Sebab itu baginda menyebut
jika tidak dapat, bererti tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang
lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.
TOP
Kelima:
Berdo`a ketika berbuka.
Ini berdasarkan hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, do`a yang tidak
ditolak ketika dia berbuka.”
[Riwayat Ibn Majah di dalam kitab Sunannya – hadis no: 1753.
Sanadnya pada nilaian hasan ke atas. Salah seorang perawinya, Ishaq
bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur‘ah dan
disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif]
Maka kita
boleh berdo`a dengan apa sahaja do`a yang kita hajati. Do`a orang
berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan dari kotoran
dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:
“Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggunjawab
puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota”
[Faidh
al-Qadir, 2/500]
Terdapat
sebuah do`a yang ditunjukkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
ketika berbuka dan disunatkan untuk kita membacanya:
“Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
apabila berbuka, baginda bersabda: “Telah hilanglah dahaga, telah
basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala,
insyaAllah.”
[Riwayat Abu Daud di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2010,
sanadnya hasan]
TOP
Keenam:
Berdo`a kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka sebagaimana terang
Anas bin Malik:
“Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang kepada (rumah) Sa`ad bin `Ubadah.
Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda:
“Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan
makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para
malaikat.”
[Riwayat Abu Daud, al-Diya al-Maqdisi di dalam al-Ahadith al-Mukhtarah
5/518 menyatakan ianya sahih]
Maka
berdo`alah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab
yang sangat baik.
Demikianlah antara adab-adab berbuka puasa yang terkandung di dalam
sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Semoga pengamalan
adab-adab ini akan menambahkan lagi pahala puasa kita.
Risalah 7:
Ke Arah
Menghayati Solat Tarawih