Abu Hurairah
radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan
pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang
tegas. Baginda bersabda: Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan
kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah),
diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.
Berdasarkan hadis ini, umat Islam sejak zaman Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam sehinggalah ke hari ini tidak
pernah melepaskan peluang untuk memanfaatkan malam-malam bulan
Ramadhan dengan bersolat Tarawih, membaca al-Qur’an dan sebagainya.
Terdapat beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dibawa kepada
perhatian para pembaca
sekalian
agar kita semua benar-benar dapat menghayati solat Tarawih dengan
cara yang sebaik-baiknya selari dengan tuntuan al-Qur’an dan al-Sunnah.
Pertama:
Solat Tarawih hukumnya sunat.
Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh
di atas menunjukkan bahawa solat Tarawih hukumnya tidak wajib. Para
ilmuan Islam mengkategorikannya sebagai sunat mua’kad, iaitu amalan
sunat yang amat dituntut. Oleh itu bagi seseorang yang hendak
mendirikan solat Tarawih, hendaklah dia perhatikan bahawa dia tidak
mengabaikan amalan-amalan wajib atau amalan-amalan lain yang lebih
besar manfaatnya. Dalam ertikata lain, hendaklah dia beramal
berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat,
iaitu memprioritikan sesuatu amalan yang bakal dilakukan.
Perlu digariskan
bahawa ciri-ciri Muslim yang berjaya ialah seseorang yang mampu
menimbang dan membezakan amalan manakah yang paling utama untuk dia
beri perhatian pada satu masa tertentu. Prioriti amal perlu
dibezakan seperti berikut:
1. Amal
yang wajib hendaklah diberi prioriti di atas amal yang sunat.
2. Amal
yang manfaatnya untuk jangka masa panjang hendaklah diberi prioriti
di atas amal yang manfaatnya untuk jangka masa pendek.
3. Amal
yang manfaatnya untuk orang yang besar jumlahnya hendaklah diberi
prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk orang yang kecil
jumlahnya.
4. Amal
yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas
amal yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri.
Maka atas konsep
Fiqh al-Awlawiyyat, jika seseorang itu terpaksa memilih antara
menjaga ibubapa yang uzur dan bersolat Tarawih, hendaklah dia
memilih untuk menjaga ibubapanya. Jika seseorang terpaksa memilih
antara menuntut ilmu dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih
untuk menuntut ilmu.
Walaubagaimanapun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu
melaksanakan solat Tarawih. Orang yang sedang menjaga ibubapanya
yang uzur tetap boleh bersolat Tarawih dengan bersolat di sisi
ibubapanya sambil memerhatikan mereka di antara solat. Seseorang
yang sedang menuntut ilmu tetap boleh mendirikan solat Tarawihnya
dalam rangka berehat sebentar di antara tempoh penuntutannya. Semua
ini boleh dilakukan kerana solat Tarawih itu sendiri pada asalnya
adalah satu amalan yang amat fleksibel. Hal ini akan dikupas dalam
perbincangan seterusnya.
TOP
Kedua: Solat Tarawih
boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian.
Apabila Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat Tarawih, baginda
adakalanya melaksanakannya secara berjamaah dan adakalanya secara
bersendirian di rumah. Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu 'anh
menerangkan bahawa:
Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam dalam bulan Ramadhan. Baginda tidak bersolat (Tarawih)
bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam
tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga
malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada
malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih)
bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga
seperdua malam.
Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah,
alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam
ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih)
bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran
seumpama) bersolat sepanjang malam.”
Dalam hadis ini terdapat dua pengajaran penting:
1. Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam tidak melaksanakan solat Tarawih
berjamaah secara tetap sepanjang bulan Ramadhan. Akan tetapi baginda
melaksanakannya secara bersendirian kecuali pada beberapa malam
terakhir. Tujuannya adalah supaya umat dapat mengetahui bahawa solat
Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan sama
ada secara berjamaah atau bersendirian.
2. Jika
seseorang itu memiliki pilihan sama ada untuk melaksanakan solat
Tarawih secara berjamaah atau bersendirian, adalah lebih utama untuk
dia melaksanakannya secara berjamaah berdasarkan sabda baginda yang
bermaksud:
“Sesungguhnya sesiapa yang
bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah
Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”
Walaubagaimanapun pemilihan untuk melaksanaan solat Tarawih secara
berjamaah hendaklah tetap ditimbang berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat
sebagaimana yang telah disebut di atas.
TOP
Ketiga: Tidak ada ketetapan bagi
jumlah rakaat solat Tarawih.
Jika dikaji semua riwayat berkenaan jumlah rakaat solat
Tarawih yang dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam dan generasi al-Salaf al-Shalih (generasi awal
umat Islam) radhiallahu 'anhum selepas kewafatan baginda,
dapat dirumuskan bahawa sebenarnya tidak ada ketetapan tertentu bagi
jumlah rakaat solat Tarawih. Solat Tarawih termasuk dalam kategori
solat sunat pada malam hari. Muhammad bin Nashr al-Mawarzi
rahimahullah (294H) di dalam kitabnya Qiyam al-Ramadhan
menyebut:
Aku
bertanya kepada Ahmad bin Hanbal (rahimahullah 241H) tentang
jumlah rakaat yang dia lakukan untuk solat Qiyam Ramadhan
(Solat
Tarawih). Saat itu dia menjawab: “Dalam masalah ini ada kepelbagaian
sehingga mencapai 40 macam. Ini kerana solat tersebut (Qiyam
Ramadhan/Solat Tarawih) tidak lain hanyalah solat sunat biasa.
Solat-solat sunat malam boleh dilaksanakan daripada selesai solat
Isyak sehinggalah terbit fajar tanpa memiliki apa-apa batas minimum
atau maksimum bagi jumlah rakaatnya. ‘Abd Allah ibn ‘Umar
radhiallahu 'anhuma menerangkan:
Seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam, ketika itu baginda sedang berkhutbah. Lelaki itu bertanya:
“Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua rakaat dua
rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka
tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.
Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:
Sesungguhnya tentang solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih), Nabi (shallallahu
'alaihi wasallam) tidak menentukan jumlah rakaatnya, hanya
sahaja baginda sendiri melaksanakannya tidak lebih daripada 13
rakaat sama ada dalam bulan Ramadhan atau selainnya. Ini baginda
laksanakan dengan memanjangkan rakaatnya. Apabila ‘Umar (radhiallahu
'anh) mengumpulkan orang-orang untuk berjamaah (mengerjakan
Solat Tarawih) dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab (radhiallahu 'anh),
dia melaksanakannya bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian
diikuti solat Witir 3 rakaat. Ini beliau lakukan dengan meringankan
bacaan al-Qur’an selari dengan kadar penambahan rakaat supaya ia
meringankan berbanding solat satu rakaat dengan dipanjangkan
bacaannya.
Setelah
itu sekumpulan daripada generasi salaf melaksanakan solat (Tarawih)
secara 40 rakaat dan solat Witir 3 rakaat manakala selainnya dengan
36 rakaat dan 3 rakaat Witir. Semua ini telah berlaku dan dengan itu,
sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadhan dengan apa sahaja
jumlah rakaat, maka dia (dikira) telah berbuat kebaikan.
Yang
utama adalah perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada
beragamnya keadaan orang-orang yang mengerjakan solat tersebut. Jika
keadaan mereka memungkinkan dilaksanakan solat (Tarawih) dengan
lama, maka adalah lebih afdal melaksanakan solat (Tarawih) dengan 10
rakaat dan 3 Witir sebagaimana yang dilaksanakan sendiri oleh Nabi (shallallahu
'alaihi wasallam) dan selainnya. Akan tetapi apabila tidak
mungkin melaksanakan sedemikian, maka melaksanakan solat (Tarawih)
dengan 20 rakaat adalah lebih afdal dan itulah yang dilakukan oleh
majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan
antara 10 rakaat dan 40 rakaat.
Dan jika
dilaksanakan solat (Tarawih) dengan 40 rakaat atau selainnya maka
itu diperbolehkan dan tidak dimakruhkan sama sekali. Hal ini
ditegaskan oleh tidak seorang dari para imam seperti Imam Ahmad (bin
Hanbal) dan selainnya. Dan sesiapa yang beranggapan bahawasanya
solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih) mempunyai ketentuan jumlah
rakaatnya daripada Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) tanpa
boleh ditambah atau dikurangi daripadanya, maka sungguh dia telah
membuat suatu kesilapan.
Setelah menghimpun dan mensyarah semua hadis yang ada di dalam bab
solat Tarawih, al-Syaukani rahimahullah (1252H) membuat
rumusan:
Kesimpulannya, hadis-hadis di dalam bab ini (Solat Tarawih)
menunjukkan kepada pensyari’atan melaksanakan solat pada malam bulan
Ramadhan. Solat ini boleh dilaksanakan secara berjamaah atau
sendirian. (Adapun) membatasi solat ini dengan nama “Solat Tarawih”
dengan jumlah rakaat yang tertentu dan mengkhususkannya dengan
bacaan-bacaan tertentu tidak pernah ditunjuki oleh sunnah.
Daripada nukilan-nukilan di atas, dapat dirumuskan beberapa poin
penting:
1. Solat
Tarawih sebenarnya adalah solat sunat malam. Ia hanya berbeza dari
sudut istilah, tidak dari sudut hakikatnya. Oleh itu jumlah rakaat
bagi solat Tarawih tidak ada batasnya sebagaimana kebiasaan solat
sunat malam.
2. Membiasakan
gelaran “Solat Tarawih” menyebabkan sebahagian orang menganggapnya
sebagai solat sunat yang khusus. Dengan itu mereka juga
mengkhususkan rakaat yang tertentu dan bacaan surah-surah yang
tertentu pada rakaat yang tertentu. Sebenarnya pengkhususan ini
adalah tidak berasas.
3. Seseorang
itu, berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat dirinya sendiri, boleh
melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang sesuai dengan
keadaannya. Masing-masing individu boleh melaksanakan solat Tarawih
dengan jumlah rakaat yang dicenderunginya tanpa ada pihak yang boleh
mengatakan itu benar atau salah.
Diketahui bahawa ada sebahagian pihak yang berpendapat bahawa solat
Tarawih adalah 8 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini
tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini adalah lemah
sebagaimana yang dibuktikan oleh Ismail al-Anshari dalam bukunya
yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa
al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi. Ia telah diterjemahkan
dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat
terbitan Pustaka Firdaus, Jakarta 2003. Selain itu diketahui juga
bahawa ada pihak yang berpendapat solat Tarawih adalah 20 rakaat
diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah
atau dikurangi. Pendapat ini juga adalah lemah sebagaimana yang
telah penulis bahas dalam buku Solat Tarawih: Satu Perbahasan Ke
Atas Fatwa yang Menetapkannya Kepada 20 Rakaat terbitan
Jahabersa, Johor Bahru 2000.
TOP
Keempat: Beberapa sifat solat yang
diremehkan.
Sebahagian orang apabila melaksanakan solat Tarawih atau mana-mana
solat sunat yang lain, mereka meremehkan beberapa sifat solat atas
alasan ini hanya solat sunat, bukan solat wajib. Sifat-sifat solat
yang diremehkan ini ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada
yang membatalkan terus solat tersebut. Di antara sifat solat yang
diremehkan adalah:
a) Tidak membaca al-Qur’an dengan tartil.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil
[al-Muzammil 73:04]
Membaca al-Qur’an dengan tartil bererti membaca dengan jelas
kalimah-kalimahnya sambil memerhatikan disiplin hukum-hukum
tajwidnya.
b) Meninggalkan bacaan Doa Iftitah
dan bacaan al-Qur’an selepas al-Fatihah.
Dengan anggapan ia hanyalah solat sunat, sebahagian orang ada yang
tidak membaca Doa Iftitah sebelum membaca surah al-Fatihah.
Sebahagian lain turut meninggalkan bacaan ayat-ayat al-Qur’an
selepas membaca surah al-Fatihah. Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam ketika mendirikan solat fardhu atau solat sunat tidak
pernah meninggalkan kedua-dua bacaan ini. Oleh itu janganlah kita
meremehkannya kerana ini termasuk sunnah-sunnah yang penting di
dalam solat.
c) Mengabaikan Thama’ninah.
Mengabaikan thama’ninah, yakni kekal di dalam sesuatu
pergerakan solat sehingga merasa tenang di dalamnya, bukan sahaja
mengurangi kualiti solat tetapi boleh mengakibatkan terbatalnya. Abu
Hurairah radhiallahu 'anh meriwayatkan bahawa pada satu
ketika pernah seorang lelaki bersolat di dalam masjid sambil
diperhatikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Apabila lelaki itu selesai bersolat, baginda menyuruh dia bersolat
semula dengan bersabda:
“Kembalilah bersolat kerana sesungguhnya kamu masih
belum bersolat.” Hal ini berulang sebanyak 3 kali sehingga akhirnya
lelaki itu mengakui bahawa dia tidak tahu bagaimana lagi untuk
membetulkan solatnya. Lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mengajar dia dengan bersabda:
Apabila kamu berdiri untuk solat, bertakbirlah,
kemudian baca daripada al-Qur’an apa yang memudahkan bagi kamu.
Kemudian rukuklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah),
kemudian berdirilah semula sehingga kamu tegak di dalamnya, kemudian
bersujudlah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah),
kemudian duduklah sehingga
kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah) dan lakukanlah
sedemikian bagi keseluruhan solat kamu.
Penekanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kekal
di dalam setiap pergerakan solat sehingga merasa tenang (thama’ninah)
menunjukkan bahawa itulah kesilapan yang dilakukan oleh lelaki
tersebut sehingga menyebabkan solatnya tidak dikira sah oleh
Rasulullah. Thama’ninah juga disyaratkan kita iktidal
sebagaimana yang dijelaskan oleh Abu Humaid radhiallahu 'anh:
Apabila baginda mengangkat kepalanya (daripada rukuk),
baginda berdiri sehingga setiap daripada kepingan tulang belakangnya
berada di posisi yang asal.
Ada yang berpendapat lamanya tempoh
thama’ninah
adalah sekadar seseorang membaca “Alhamdulillah” atau “Subhanallah”,
akan tetapi pendapat ini tidak diperoleh dalilnya. Yang dicenderungi
sebagai sesuatu yang mendekati kebenaran adalah bahawa
thama’ninah
itu wajib mengekalkan seseorang itu dalam satu posisi secara tenang
sehingga dia dapat melengkapkan seluruh bacaan tasbih atau doanya.
Ini kerana seseorang itu tidak dapat dikatakan telah rukuk atau
iktidal atau sujud dengan dia dapat menyempurnakan bacaannya dalam
posisi tersebut. Ibn Taimiyah berkata:
Tempoh
thama’ninah dalam rukuk dan sujud adalah lebih kurang selama
3 kali bacaan tasbih. Sebab menurut sunnah, pada waktu rukuk dan
sujud bacaan tasbih adalah 3 kali dan itu adalah yang paling minima,
maka lamanya tempoh thama’ninah adalah sekurang-kurangnya (dilengkapkan
) 3 kali bacaan tasbih.
d) Bersolat dengan terburu-buru.
Antara perbuatan yang tidak disukai dalam solat, sama ada solat
wajib mahupun solat sunat, ialah terburu-buru dalam melaksanakannya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.
[al-Mu’minun 23:1-2]
Khusyuk di dalam solat bukan sekadar prihatin kepada
bacaan-bacaannya tetapi juga kepada pergerakan-pergerakan solat
sehingga dapat memelihara kesempurnaannya. Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pernah mengingatkan:
Sempurnakanlah rukuk dan sujud kerana sesungguhnya
perumpamaan orang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan sujudnya
adalah seperti orang yang lapar, tidaklah dia makan kecuali satu
atau dua biji kurma yang tidak mencukupkannya sama sekali (maksudnya
– tidak mendapat apa-apa manfaat daripada solatnya).
e) Meringkaskan bacaan selawat di dalam solat.
Ramai yang berpendapat selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam di dalam bacaan tasyahud hanya wajib sekadar
“Allahumma sholli ‘ala Muhammad” manakala bacaan selebihnya
sehingga “Fil ‘Alamina innaka hamidun majid” hanyalah sunat.
Atas pendapat ini ada yang melaksanakan solat Tarawih dengan
diringkaskan bacaan selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam.
Sebenarnya tidak ada dalil yang menyatakan bahawa bacaan selawat
kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam solat boleh
dibezakan antara yang wajib dan sunat, antara duduk tasyahud awal
dan duduk tasyahud akhir. al-Shan‘ani rahimahullah (1186H)
menegaskan:
Selawat
bagi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (di dalam solat)
adalah tidak sempurna tanpa disertai selawat terhadap keluarga
baginda. Orang yang bersolat hanya dianggap telah berselawat kepada
Nabi apabila dia mengucapkan lafaz selawat secara lengkap
sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
di mana di dalamnya termasuk selawat kepada keluarga baginda. Hal
ini berdasarkan (hadis di mana) sahabat bertanya: “Bagaimana kami
mengucapkan selawat kepada kamu?” Lalu baginda menjawab dengan
menjelaskan bahawa cara selawat adalah selawat ke atas dirinya dan
ahli keluarganya.
Sesiapa yang tidak mengucapkan selawat bagi keluarga baginda (di
dalam solat) maka bererti dia belum mengucapkan selawat yang sesuai
dengan cara selawat yang diajarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam, bererti dia belum melaksanakan perintah dengan
sebenarnya. Oleh itu dia belum termasuk orang yang berselawat kepada
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Begitu juga dengan
lanjutan hadis mulai dari “Kama
sholaita……”
dan seterusnya, ia wajib dibaca kerana termasuk yang diperintahkan
daripada bacaan selawat tersebut.
Sesiapa
yang membezakan antara bacaan-bacaan selawat dengan mengatakan wajib
sebahagian sahaja dan sunat sebahagian yang lain, maka itu adalah
pendapat yang tidak memiliki dalil.
f) Tidak menjaga disiplin berjamaah
Termasuk beberapa sifat solat yang diremehkan ialah tidak menjaga
disiplin berjamaah apabila melaksanakan solat Tarawih secara
berjamaah. Antara disiplin yang lazim diremehkan ialah melurus dan
merapatkan saf. Melurus dan merapatkan saf merupakan ciri
kesempurnaan solat berjamaah manakala merenggangkan saf bererti
membuka ruang bagi syaitan masuk di antaranya. Disiplin solat
berjamaah yang lain yang perlu diperhatikan ialah mengikuti imam
tanpa mendahuluinya atau ketinggalan daripadanya. Ketahuilah bahawa
solat berjamaah adalah lambang kesatuan umat Islam. Apabila
ahli-ahli jamaah tidak berdisiplin dalam menjaganya, ia memberi
gambaran akan betapa lemahnya kesatuan umat.
Demikian beberapa sifat solat yang lazimnya diremehkan, di antaranya
ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada yang membatalkannya
terus. Yang penting, hendaklah setiap individu Muslim yang
melaksanakan solat peka bahawa dia sedang bermunajat kepada tuhannya,
Allah 'Azza wa Jalla. Maka hendaklah dia memerhatikan adabnya
apabila sedang bermunajat. Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam pernah menegur seorang lelaki tentang solatnya:
Wahai fulan, apakah kamu tidak takutkan Allah?
Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana kamu solat? Sesungguhnya
apabila seseorang kamu melaksanakan solat sesungguhnya dia tidak
lain berdiri bermunajat kepada tuhannya. Maka hendaklah dia
memerhatikan bagaimana dia bermunajat (kepada-Nya).
TOP
Kelima: Berzikir di antara solat
Tarawih
Ini adalah antara amalan yang dipandang baik oleh orang ramai
padahal Allah dan Rasul-Nya tidak pernah memandang baik untuk
berzikir dengan bacaan atau cara tertentu apabila sedang berehat di
antara solat Tarawih. Seandainya berzikir apabila sedang berehat di
antara solat Tarawih adalah sesuatu yang baik, maka pasti Allah dan
Rasul-Nya akan menganjurkannya sehingga dilaksanakan sepenuhnya oleh
generasi awal umat Islam. Namun anjuran ini tidak pernah wujud dan
perlaksanaannya juga tidak pernah diketahui, justeru siapakah kita
untuk menentukan apa yang baik atau buruk di sisi Allah?
Waktu berehat di antara solat tarawih boleh dimanfaatkan untuk apa
jua amalan yang baik. Akan tetapi tidak boleh mengkhususkan amalan
tersebut seolah-olah ia adalah sebahagian daripada kaifiat solat
Tarawih yang disyari‘atkan.
Sememangnya diketahui alasan yang diberikan adalah, berzikir adalah
lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa langsung. Ia dianjurkan
dalam suasana umat Islam masa kini yang dilanda kemalasan untuk
berzikir. Sebenarnya ini adalah alasan yang biadap terhadap Allah
dan Rasul-Nya, seolah-olah Allah dan Rasul-Nya leka daripada
mensyari‘atkan apa yang baik kepada manusia. Yang benar agama Islam
telah lengkap, yang tidak lengkap adalah ilmu dan pelaksanaannya
oleh umat. Akibat jahil daripada apa yang sebenarnya disyari‘atkan,
umat Islam mula mencipta apa yang baik di sisi teori mereka,
seolah-olah agama ini adalah milik mereka untuk diubah suai dan
ditokok tambah.
Nasihat penulis kepada para pembaca sekalian, tinggalkanlah sunnah
kebiasaan masyarakat dan kembalilah kepada sunnah Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Peganglah ia dengan teguh dan
beramallah dengannya kerana ia dijamin oleh Allah sebagai sesuatu
yang benar-benar baik. Berpegang kepada sunnah Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam ialah beramal dengan apa yang
diamalkan oleh Rasulullah dan tidak beramal dengan apa yang tidak
diamalkan oleh Rasulullah.
Risalah 8:
Malam
27 Likur
Dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah (al-Fath li
I’lam al-Arabi, Kaherah 1999), jld. 1, ms. 203 (Bab: Disunatkan
meringkaskan tasyahud awal), al-Sayid Sabiq menulis:
Dan disunatkan untuk meringkaskannya padanya (bacaan
& duduk tasyahud awal) kerana diterima daripada Ibn Mas’ud (radhiallahu
'anh) dia berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam, apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia
seolah-olah seperti duduk di atas bara yang panas” Riwayat Ahmad
dan para ahli sunan dan berkata al-Tirmizi, hadis hasan kecuali
bahawasanya ‘Ubaidah tidak mendengar daripada ayahnya.
Berkata al-Tirmizi: “Dan telah menjadi amalan
atas hal ini di sisi ahli ilmu, mereka memilih untuk tidak duduk
lama pada rakaat yang kedua dan tidak ditambah atas bacan
tasyahud apa-apa.”
Dan berkata Ibn al-Qayyim: “Tidak dinaqal
bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berselawat
ke atas dirinya mahupun ke atas ahli keluarganya dalam tasyahud
awal, dan tidak baginda meminta perlindungan padanya daripada
azab kubur, azab neraka, fitnah kehidupan, fitnah kematian dan
fitnah al-Masih al-Dajjal. Dan sesiapa yang menyunatkan (untuk
membaca yang) sedemikian, maka sesungguhnya ia hanyalah daripada
keumuman dan kemutlakan, sungguh yang jelas adalah tempatnya
hanyalah pada tasyahud akhir.”
Sekian al-Sayid Sabiq. Daripada kata-kata di atas,
seolah-olah dibolehkan meringkaskan bacaan selawat dalam solat
ketika duduk tasyahud pertama. Yang benar tidaklah demikian.
Berikut adalah penelitian lanjut ke atas kata-kata al-Sayid
Sabiq:
Pertama: Hadis Ibn Mas‘ud.
Hadis yang berbunyi: “Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam, apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia
seolah-olah duduk di atas bara yang panas” adalah dhaif kerana
sanadnya terputus. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Tirmizi
dan dinukil sendiri oleh al-Sayid Sabiq.
Telah berkata al-Tirmizi: “Hadis hasan kecuali
bahawasanya ‘Ubaidah tidak mendengar daripada ayahnya.” Rujuk
Sunan al-Tirmizi – hadis no: 364 di mana gelaran sebenar
bagi ‘Ubaidah ialah Abi ‘Ubaidah. Hadis ini juga dikeluarkan
oleh Ahmad (1/428 & 460), Abu Daud (995) dan al-Nasai (1170),
semuanya melalui jalan periwayatan yang berpangkal kepada Abi
Ubaidah.
Abi ‘Ubaidah, beliau ialah ‘Ubaidah bin ‘Abd
Allah bin Mas‘ud, anak kepada ‘Abd Allah ibn Mas’ud. Al-Mubarakfuri
menukil daripada al-Hafiz al-Munziri bahawa ‘Amr bin Marh pernah
bertanya kepada ‘Ubaidah: “Pernahkah anda menyebut apa-apa
daripada ‘Abd Allah (ayahnya)?” ‘Ubaidah menjawab: “Aku tidak
pernah menyebut (meriwayatkan daripada ayahku) apa-apa.” [Tuhfah
al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmizi (Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut), jld. 2, ms. 301]
Namun hadis Ibn Mas‘ud ini memiliki penguat
daripada apa yang diriwayatkan oleh Tamim bin Salamah, yang
dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah bahawa Abu Bakar radhiallahu
'anh: “Apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia
seolah-olah seperti duduk di atas bara yang panas” Berkata
al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhish al-Habir fi
Takhrij Ahadits al-Rafi’ie al-Kabir: “Isnadnya sahih.” Ini
dinukil oleh al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi,
jld. 2, ms. 302. Oleh itu penilaian hasan oleh al-Tirmizi tidak
sahaja dengan merujuk kepada hadis Ibn Mas‘ud tetapi juga
perbuatan seorang sahabat yang lain, iaitu Abu Bakar
radhiallahu 'anh.
Setelah sabit darjat hadis, kita beralih kepada
matannya pula. Kata-kata “seperti duduk di atas bara yang panas”
adalah kiasan bagi menunjukkan duduk yang tidak lama. Yang perlu
dikaji sekarang ini adalah lama dari ukuran siapa? Ini kerana
lama atau tidak adalah sesuatu yang relatif. Memandangkan hadis
di atas merujuk kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam, maka kita menggunakan solat baginda sebagai skala
ukuran.
Sesiapa yang lazim membaca hadis-hadis tentang
tatacara baginda bersolat, nyata bahawa qiyamnya, rukuknya,
sujudnya dan sebagainya adalah amat lama. Termasuk sifat solat
baginda ialah duduk lama apabila membaca tasyahud akhir. Ini
kerana baginda berdoa di akhir tasyahud sebelum beri salam.
Perlu digariskan bahawa sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam dalam berdoa bukanlah setelah selesai solat
sepertimana yang lazim kita lakukan, tetapi berdoa selepas
bacaan tasyahud dan sebelum beri salam. Oleh itu duduk
membaca tasyahud akhir bagi baginda memang amat lama.
Jika hal ini jelas kepada kita, fahamlah bahawa
perbandingan yang dilakukan oleh Ibn Mas‘ud ialah antara duduk
tasyahud awal dan akhir. Jelas bahawa daripada pengamatan beliau,
duduk pada tasyahud awal bagi Rasulullah adalah lebih pendek
tempoh berbanding tasyahud akhir. Namun adakah lebih pendek
bererti baginda meringkaskan bacaan selawatnya?
Tidak boleh dirumuskan demikian kerana hadis di
atas tidak bersifat membezakan antara bacaan selawat yang dibaca.
Yang dibezakan hanya tempoh duduk. Berdasarkan analisa kepada
sifat solat baginda secara keseluruhannya, dapat diketahui
bahawa yang menyebabkan perbezaan tempoh adalah sama ada baginda
membaca doa di akhir selawat atau tidak. Bagi duduk tasyahud
akhir, baginda sememangnya diketahui membaca doa sebelum memberi
salam. Manakala bagi duduk tasyahud awal baginda tidak membaca
doa, maka kerana itulah duduk baginda lebih pendek tempohnya.
Oleh itu hadis Ibn Mas‘ud di atas bukan dalil bagi membezakan
antara selawat ringkas dan selawat penuh antara tasyahud awal
dan tasyahud akhir.
Kedua: Kata-kata al-Tirmizi.
Berkata al-Tirmizi setelah mengeluarkan hadis di
atas: “Dan telah menjadi amalan atas hal ini di sisi ahli ilmu,
mereka memilih untuk tidak duduk lama pada rakaat yang kedua dan
tidak ditambah atas bacan tasyahud apa-apa.” Tumpuan kita adalah
kepada kata-kata: “……..dan tidak ditambah atas bacaan tasyahud
apa-apa”.
·
“…..Tidak ditambah…..” merujuk kepada apa-apa doa
selepas itu, yakni ia tidak dibaca dalam tasyahud awal.
·
“…..atas bacaan tasyahud apa-apa” merujuk kepada
bacaan tasyahud yang diajar oleh Rasulullah. Di sini, semua
hadis baginda yang menerangkan bacaan tasyahud dan selawat
adalah secara penuh tanpa ada selawat yang ringkas.
Oleh itu, kata-kata al-Tirmizi juga bukan hujah
untuk membezakan antara selawat ringkas dan selawat penuh antara
tasyahud awal dan tasyahud akhir.
Ketiga: Kata-kata Ibn al-Qayyim.
Kata-kata Ibn al-Qayim yang dinukil oleh al-Sayid
Sabiq diambil daripada kitab Zaad al-Ma’ad (Muassasah al-Risalah,
Beirut 1999), jld. 1, ms. 198:
Tidak dinaqal bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam berselawat ke atas dirinya mahupun ke atas ahli
keluarganya dalam tasyahud awal, dan tidak baginda meminta
perlindungan padanya daripada azab kubur, azab neraka, fitnah
kehidupan, fitnah kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal. Dan
sesiapa yang menyunatkan (untuk membaca yang) sedemikian, maka
sesungguhnya ia hanyalah daripada keumuman dan kemutlakan,
sungguh yang jelas adalah tempatnya hanyalah pada tasyahud akhir.
Perhatian ditujukan kepada kata-kata beliau:
“Tidak dinaqal (dinukil) bahawasanya Nabi……”. Kaedah usul fiqh
menyatakan, apabila bertembung antara penafian dan penetapan,
hendaklah diunggulkan penetapan. Ini kerana penafian adakalanya
berlaku kerana ketidaktahuan atau sememangnya penetapan tersebut
tidak memerlukan sebarang penafian.
Merujuk kepada kata-kata Ibn al-Qayyim di atas,
beliau menafikan wujudnya apa-apa riwayat daripada Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam di mana baginda berselawat atas
dirinya dan ahli keluarganya dalam tasyahud awal. Bererti -
mengikut ijtihad Ibn al-Qayyim – baginda langsung tidak membaca
selawat pada tasyahud awal. Namun penafian Ibn al-Qayyim tetap
perlu dianalisa berdasarkan kaedah usul fiqh di atas. Dalam bab
ini kita ada hadis yang menetapkan bacaan tasyahud dan selawat
secara penuh. Hadis-hadis ini tidak ada yang menerangkan bahawa
dalam tasyahud awal bacaan selawat boleh dipisahkan. Maka apa
yang ditetapkan oleh hadis-hadis yang sahih diunggulkan di atas
penafian Ibn al-Qayyim. Ini kerana penafian beliau mungkin
berakibat daripada ketidaktahuannya terhadap kewujudan riwayat
tersebut.
Wujud kemungkinan kedua di mana dalam bab ini
sememangnya tidak ada riwayat. Ini kerana Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam sememangnya tidak membezakan
bacaan selawat antara tasyahud awal dan tasyahud akhir. Apabila
tidak wujud perbezaan, maka tidak perlu untuk para sahabat
meriwayatkan sesuatu yang menerangkan perbezaannya. Di sini
kaedah usul fiqh menyatakan, apabila terhadap sesuatu perkara
tidak wujud riwayat yang menerangkan tentangnya, maka perkara
tersebut dikembalikan kepada dalil yang paling dekat kepadanya.
Dalam bab ini, dalil yang terdekat ialah hadis-hadis yang
menerangkan bacaan tasyahud dan selawat secara lengkap tanpa
membezakan antara tasyahud awal dan akhir.
Oleh itu sekali lagi, kata-kata Ibn al-Qayyim
tidak dapat dijadikan hujah bahawa selawat pada duduk tasyahud
awal hanya sekadar “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” atau
tidak perlu dibaca langsung.
Rumusan:
Demikian sedikit penelitian ke atas kata-kata al-Sayid
Sabiq daripada kitabnya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah.
Apabila al-Sayid Sabiq berkata: “Dan disunatkan untuk
meringkaskannya padanya (bacaan & duduk tasyahud awal)…..”
secara zahir beliau tidak bermaksud meringkaskan bacaan selawat
kecuali apabila berhadapan dengan kata-kata Ibn al-Qayyim.
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah
(757H) adalah seorang tokoh yang memang amat luas ilmunya,
anak murid kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah
(728H). Beliau telah berijtihad dalam bab membezakan bacaan
selawat antara tasyahud awal dan tasyahud akhir. Akan tetapi ini
tidaklah bermakna kita tidak boleh menganalisa dan mengkaji apa
yang beliau ijtihadkan. Kita menghormati dan menyayangi beliau,
tetapi Allah dan Rasul-Nya lebih kita hormati dan sayangi.