Bab 4 :  Tiga Petua Mujarab al-Qur’an

 

Petua Pertama: Keseluruhan al-Qur’an adalah petua  yang mujarab.

 

Petua Kedua: Kemujaraban al-Qur’an terletak pada ajarannya.

 

Petua Ketiga: Jangan Melakukan Apa Yang Bertentangan Dengan al-Qur’an.

 

 

 

 

Antara yang masyhur dicari-cari di dalam al-Qur’an ialah ayat-ayat tertentu yang dapat dijadikan petua bagi tujuan tertentu. Ada ayat yang dijadikan petua kasih sayang, petua melariskan perniagaan, petua memagar rumah dan pelbagai lagi. Lebih dari itu boleh dikatakan setiap individu, khasnya para tokoh agamawan, memiliki petua yang tersendiri sehinggakan petua-petua tersebut dikenali dengan nama tokoh itu sendiri. Sebagai contoh, ada petua kesihatan oleh doktor sekian-sekian, petua kecantikan oleh ustazah sekian-sekian, petua memagar rumah oleh ustaz sekian-sekian dan begitulah seterusnya.

Tidak ketinggalan, penulis juga ingin memperkenalkan kepada para pembaca beberapa petua yang mujarab daripada al-Qur’an. Ia terdiri daripada tiga petua yang sekali gus merangkumi semua petua yang mungkin pernah didengar atau diamalkan oleh seseorang. Tiga petua tersebut adalah:

 

Petua Pertama: Keseluruhan al-Qur’an adalah petua yang mujarab.

Keseluruhan al-Qur’an adalah petua yang mujarab kerana keseluruhan al-Qur’an datang daripada Allah ‘azza wa Jalla. Oleh itu tidak perlu dicari-cari ayat tertentu untuk tujuan tertentu. Lebih penting, tidak boleh mengkhususkan sebahagian ayat di atas sebahagian yang lain. Melakukan sedemikian bererti di dalam al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, ada di antaranya ayat yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat.

Di kalangan semua manusia, hanya seorang yang berhak melakukan sedemikian, iaitu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hanya baginda yang berhak mengkhususkan beberapa ayat tertentu untuk tujuan tertentu, seperti Ayat al-Kursi (al-Baqarah 2:255) untuk pemeliharaan daripada gangguan syaitan. Ini kerana pengkhususan yang dilakukan oleh baginda tidak lain adalah daripada petunjuk wahyu Allah jua.

 

 

TOP

 

 

Petua Kedua: Kemujaraban al-Qur’an terletak pada ajarannya.

Kemujaraban atau kekuasaan al-Qur’an tidak terletak pada ayat-ayatnya tetapi pada ajarannya yang diamalkan oleh seseorang. Sekadar membaca, meniup dan menggantungkan ayat tidak akan membawa manfaat jika ajaran ayat itu sendiri tidak diamalkan.

Sebagai contoh, ramai yang menjadikan ayat 31 surah ‘Ali Imran sebagai petua menjaga kasih sayang di antara suami isteri. Ayat yang dimaksudkan adalah:

 

Katakanlah: “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [‘Ali Imran 3:31]

Pengajaran sebenar ayat di atas adalah, jika kita mengasihi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, hendaklah kita menterjemahkannya kepada mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana perkataan “daku” merujuk kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu jika hendak menjaga kasih sayang di antara suami isteri, hendaklah dicontohi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam kehidupan berumahtangga. Tidak ada manfaat jika pasangan suami isteri saling tiup meniup ayat di atas padahal masing-masing tidak melaksanakan kewajipan terhadap pasangannya dalam kehidupan berumahtangga.

Contoh kedua ialah Ayat Seribu Dinar yang masyhur dijadikan petua melariskan perniagaan. Ayat tersebut berbunyi:

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. [al-Talaq 65:2-3]

Seandainya benar ayat di atas boleh melariskan perniagaan, ia bukanlah dengan menggantungnya di depan kedai, tetapi dengan mengamalkan ajarannya. Antara ajaran yang terpenting di dalam ayat di atas adalah “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah…”. Antara yang dimaksudkan dengan peniaga yang bertaqwa ialah tetap menunaikan solat lima kali sehari berjamaah, membayar zakat perniagaan, jujur dalam berurusan dengan kakitangan, pengedar dan pelanggan, tidak melibatkan diri dalam perniagaan yang haram atau samar-samar dan sebagainya. Setelah mengusahakan semua di atas, dia bertawakal kepada Allah. Seandainya dia memperoleh keuntungan, dia bersyukur dan berusaha memperbaikinya. Seandainya dia rugi, dia bersabar dan berusaha membetulkannya. Demikianlah ciri-ciri seorang peniaga yang diajar oleh ayat di atas. Bezanya, jangan mengharapkan Ayat 1000 Dinar tetapi berusahalah menjadi Peniaga 1000 Dinar.

 

 

TOP

 

 

Petua Ketiga: Jangan Melakukan Apa Yang Bertentangan Dengan al-Qur’an.

Tidak ada manfaat jika seseorang menjadikan al-Qur’an sebagai petua jika dia sendiri menyalahi petua tersebut. Sebagai contoh, tidak ada manfaat saling tiup meniup ayat 31 surah ‘Ali Imran jika kedua-dua suami isteri saling berlaku curang terhadap pasangan masing-masing. Begitu juga, tidak ada manfaat menggantung Ayat 1000 Dinar jika peniaga itu sendiri sering mungkir janji kepada pelanggan dan menjual barangan yang sudah rosak.

Oleh itu hendaklah bertindak selari dengan ajaran al-Qur’an. Bukan sekadar beberapa ayat tertentu tetapi kepada keseluruhan al-Qur’an sekadar yang mampu.

 

Demikianlah tiga petua mujarab al-Qur’an yang dimaksudkan oleh penulis. Jika dicermati ketiga-tiga petua yang penulis sebut di atas, akan didapati bahawa ia bukanlah sesuatu yang baru atau istimewa. Ia hanya sebutan yang berbeza terhadap apa yang penulis telah sebut dalam bab-bab yang sebelumnya, iaitu hendaklah kita mengenali, menelaah dan mengamalkan al-Qur’an. Itulah sebenarnya petua yang mujarab daripada al-Qur’an. Justeru marilah kita beralih daripada petua tokoh sekian-sekian kepada petua al-Qur’an sebagaimana yang diajar oleh al-Qur’an sendiri.

 

 

Bab 5: Beberapa Bentuk Salah Tafsir al-Qur’an Masa Kini

 

 

:: Al-Firdaus :: Indeks ::