15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

 

Kata Penutup

 

 Umat Islam kini menghadapi banyak cabaran dan sering kali kelihatan kalah terhadap cabaran tersebut. Lazimnya tuduhan ditujukan kepada pelbagai faktor luaran seperti pengaruh dunia Barat, agenda media, dakwah Kristianisasi, gerakan Orientalis dan penyelewengan oleh Islam Liberal dan individu tertentu.

Pada analisa penulis, khasnya berdasarkan pengalaman dan perbincangan dengan sekian ramai para pelajar, sebab utama umat Islam masa kini kalah bukan kerana faktor luaran tetapi kerana faktor dalaman. Faktor dalaman yang penulis maksudkan ialah jati diri umat Islam itu sendiri.

Cabaran memang sentiasa wujud. Berjaya atau tidak seseorang itu menghadapi cabaran terletak kepada jati dirinya. Ini umpama tubuh badan kita. Virus dan bakteria sentiasa wujud di sana sini. Sesiapa yang memiliki tubuh badan yang sihat, kemungkinan dia dijangkiti oleh virus dan bakteria tersebut adalah amat rendah. Manakala sesiapa yang memiliki tubuh badan yang lemah, nescaya dia akan mudah dijangkiti oleh virus dan bakteria tersebut.

Maka demikianlah juga peranan jati diri seseorang, jika dia memiliki jati diri yang rendah, nescaya dia akan mudah terkesan dan kalah dengan pelbagai cabaran kehidupan. Akan tetapi jika dia memiliki jati diri yang kuat, nescaya dia akan menghadapi pelbagai cabaran kehidupan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Penulis berharap 15 asas jati diri yang dikemukakan dalam buku ini akan membantu para pembaca sekalian mencapai sasaran menjadi seorang muslim yang cemerlang. Berpeganglah kepadanya, praktikkanlah ia dan kongsilah bersama rakan-rakan, insya-Allah anda dan kita semua akan termasuk dari kalangan generasi muslim yang cemerlang.

 

  

Ü  KANDUNGAN  Þ