15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

 

Jati Diri # 15 : Memasang Angan-angan Islami

 

Kebanyakan manusia suka berimpian dan berangan-angan. Bila dia lalu di hadapan mahligai yang indah dia berangan-angan untuk memilikinya, bila dia melihat kereta mewah dia berangan-angan untuk menaikinya, bila dia melihat kesenangan orang kaya dia berangan-angan untuk menjadi sepertinya. Demikianlah sifat kebanyakan manusia, mereka mengelamun bersendirian berkhayal menikmati angan-angan di alam fantasi. Islam tidak menghalang umatnya untuk berfantasi dengan angan-angan mereka asalkan angan-angan itu realistik serta berguna untuk meningkatkan motivasi dan mencetuskan momentum pengabdian yang tinggi. Angan-angan yang baik, yang lahir dari lubuk hati yang tenang dan ikhlas serta dibina di atas matlamat dan tujuan yang murni, sudah tentu akan berupaya meningkatkan jati diri. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan:

 

إنما الدنيا لأربعة نفر:

 

عبد رزقه الله مالا وعلما فهو يتقي ربه فيه،

ويصل به رحمه، ويعلم لله فيه حقا، فهذا بأفضل المنازل.

 

وعبد رزقه الله علما ولم يرزقه مالا فهو صادق النية يقول:

لو أن لي مالا لعملت فيه بعمل

فلان فهو بنيته فأجرهما سواء.

 

وعبد رزقه الله مالا ولم يرزقه علما، فهو يخبط في ماله بغير علم،

لا يتق فيه ربه، ولا يصل فيه رحمه،

ولا يعلم لله فيه حقا فهو بأخبث المنازل،

 

وعبد لم يرزقه الله مالا ولا علما فهو يقول:

لو أن لي مالا لعملت فيه بعمل

فلان فهو بنيته فوزرهما سواء..

 

 

Maksudnya:

Hanya sahaja dunia itu untuk empat golongan:

 

  • (Pertama) hamba yang diberi harta dan ilmu oleh Allah, lalu dia bertaqwa kepada Tuhannya dalam (pengurusan)nya,

    dia menyambung silaturrahim dengannya dan dia tahu hak Allah padanya,

    maka inilah kedudukan yang paling baik.

     

  • (Kedua) hamba yang diberi ilmu oleh Allah tetapi tidak diberi harta lalu dia berniat baik seraya berkata:

    “Sekiranya aku diberi harta, nescaya aku akan lakukan (perkara kebaikan) seperti apa yang dilakukan oleh orang itu”.

    Maka dengan niatnya itu, ganjaran pahala kedua-duanya adalah sama.

     

  • (Ketiga) hamba yang diberi harta oleh Allah tetapi tidak diberi ilmu, lalu dia membelanjakan hartanya tanpa ilmu,

    dia tidak bertaqwa kepada Tuhan dalam (pengurusan)nya, dia tidak menyambung silaturrahim dengannya dan dia tidak tahu hak Allah padanya,

    maka dia berada pada kedudukan yang paling buruk.

     

  • (Keempat) hamba yang tidak diberi harta dan tidak juga diberi ilmu oleh Allah, lalu dia berkata:

    “Sekiranya aku diberi harta, nescaya aku akan lakukan (perkara keburukan) seperti apa yang dilakukan oleh orang itu,  maka dengan niatnya itu dosa kedua-duanya adalah sama (dengan golongan ketiga)”[1].

 

 

Lihatlah bagaimana suatu angan-angan yang baik boleh memandu seorang manusia ke arah kebaikan dan mengangkat martabatnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala meskipun dia belum merealisasikan angan-angan tersebut. Dan lihatlah pula bagaimana suatu angan-angan yang buruk boleh mencampakkan seorang manusia ke lembah kehinaan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, meskipun dia belum melakukan kehinaan itu. Justeru Islam menggalakkan umatnya berangan-angan menjadi seorang hartawan yang pemurah, yang tahu menunaikan tanggungjawabnya sebagai hartawan. Demikian juga Islam menggalakkan umatnya berangan-angan menjadi seorang cerdik pandai yang bertaqwa, yang tahu beramal dengan ilmunya. 

Selain daripada perkara ilmu dan harta, umat Islam juga sangat digalakkan supaya berangan-angan bagi mendapatkan syahadah (mati syahid) di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

من سأل الله الشهادة بصدق

أنزله الله منازل الشهداء وإن مات على فراشه

 

Maksudnya:

“Sesiapa yang memohon kesyahidan daripada Allah dengan hati yang ikhlas,

nescaya Allah akan menempatkannya di tempat para Shuhada’,

meskipun dia mati di atas pembaringannya”[2].

 

 

Terdapat banyak nas Al-Quran serta hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan kelebihan syahadah ini[3], antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

 

Maksudnya:

 

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati)

bahkan mereka hidup (secara istimewa)

di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

 

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka meninjau khabar gembira mengenai orang

(Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal di belakang,

 

yang belum (mati dan belum) menyertai mereka, bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”[4].

 

 

Manakala Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

لشهيد عند الله سِتُّ خِصال:

 

يُغفر له في اول دفعة ويرى مقعده من الجنة

 

ويُجار من عذاب القبر

 

ويَأْمنُ من الفزع الأكبر ويُوضع على رأسه تاجُ الوقار الياقوتَةُ

 

منها خير من الدنيا

 

وما فيها ويُزَوَّجُ اثنتين وسبعين زوجة من الحور العِينِ

 

ويُشَفَّعُ في سبعين من أقاربه.

 

Maksudnya:

“Bagi orang yang mati syahid di sisi Allah ada enam perkara:

Diampun baginya pada titisan darah yang pertama, dapat melihat tempatnya di Syurga,

dilepaskan dari azab kubur serta aman dari ketakutan yang dahsyat,

diletakkan di atas kepalanya mahkota kemuliaan dari mutiara-mutiara yaqut

yang (nilai) sebutirnya lebih baik daripada dunia dan segala isinya,

dikahwinkan dengan 72 orang bidadari Syurga yang bermata indah

dan diberi (hak) syafaat untuk menolong 70 orang ahli keluarganya yang terdekat”[5].

 

 

Disebabkan kelebihannya yang besar, maka para syuhada’ bercita-cita untuk kembali semula ke dunia bagi menikmati syahadah mereka berulang kali. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:

 

والذي نفسي بيده

لو لا أن رجالا من المؤمنين يكرهون أن يتخلفوا بعدي

ولا أجد ما أحملهم عليه

ما تخلفت عن سرية تغزو في سبيل الله

 

والذي نفسي بيده

لوددت أني أقتل في سبيل الله ثم أحيا

ثم أقتل ثم أحيا

ثم أقتل ثم أحيا

ثم أقتل.

 

Maksudnya:

 

“Demi (Tuhan) Yang (memegang) nyawaku di TanganNya,

Jika bukan kerana kaum lelaki beriman tidak suka tertinggal di belakangku,

sedangkan aku tidak mempunyai kenderaan untuk membawa mereka bersama,

nescaya aku tidak akan tinggalkan walau satu peperangan di jalan Allah.

 

Demi (Tuhan) Yang (memegang) nyawaku di TanganNya,

sesungguhnya aku berangan-angan jika aku terbunuh (di medan jihad) aku dihidupkan semula,

kemudian aku terbunuh (sekali lagi) dan aku dihidupkan semula,

kemudian aku terbunuh (sekali lagi) dan aku dihidupkan semula,

kemudian aku terbunuh (sekali lagi)”[6].

 

 

Dalam hadith lain Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

ما من أحد يدخل الجنة يحب أن يرجع إلى الدنيا

وأن له ما على الأرض من شيء

غيرُ الشهيد

 

فإنه يَتَمنَّى أن يرجع فَـيُقتلُ عشْرَ مرَّات

لمِا يرى من الكرامة.

 

Maksudnya:

 

“Tidak ada seorang pun yang telah memasuki Syurga berkeinginan untuk kembali semula ke dunia

tanpa mendapat sebarang habuan dunia sedikitpun,

kecuali seorang yang (telah mati) syahid,

 

sesungguhnya dia bercita-cita untuk kembali (ke dunia) supaya dia terbunuh sebanyak sepuluh kali

kerana melihat kepada kemuliaan (syahadah) itu”[7].

 

 

Umat Islam digalakkan supaya bercita-cita mendapatkan shahadah bukan kerana mengejar kelebihannya semata-mata, tetapi bagi mengelak diri mereka daripada terpalit dengan ciri-ciri kemunafiqan, seperti mana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

من مات ولم يغز و

لم يحدث نفسه مات على شعبة من نفاق.

 

Maksudnya:

 

“Sesiapa yang telah mati, sedangkan dia tidak pernah menyertai peperangan

atau tidak pernah bercita-cita untuk menyertainya, maka dia mati di atas satu cabang kemunafiqan”[8].

 

 

Hadith-hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa Islam menggalakkan umatnya memasang angan-angan suci yang lahir dari lubuk hati yang tenang dan ikhlas, dan yang terbina di atas matlamat dan tujuan yang murni. Ini kerana di samping mendapat ganjaran kebaikan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, ia juga mampu memantapkan jati diri mereka.

Sebaliknya Islam melarang mereka daripada memasang angan-angan jahat yang lahir daripada nafsu kebinatangan yang buas, dan yang terpasak di atas naluri kesyaitanan yang keji kerana di samping menjanjikan balasan siksaan yang tidak terperi ia juga akan menghakis jati diri.

Oleh itu sekali lagi ditegaskan, Islam membolehkan, malah menganjurkan seorang muslim untuk memiliki angan-angan. Akan tetapi perlu dibezakan angan-angan tersebut sebagai sesuatu yang mampu menjana jati dirinya dan umat Islam seluruhnya ke arah sesuatu yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta'ala.

  


 

[1]  Sahih Sunan At-Tarmizi, no:1894.

[2]  Sahih Muslim, no:1909 .

[3]  Lihat: Hafiz Firdaus Abdullah, Apakah Jihad Di Jalan Allah? (Buku 1), Jahabersa, Johor Bharu, 2003.

[4]  Ali Imran, 3:169-170.

[5] Sahih Sunan At-Tarmizi, no:1663

[6]  Sahih Al-Bukhari, no:2644 & 2799.

[7]  Sahih Al-Bukhari, no:2662.

[8]  Sahih Muslim, no:1910.

 

 

Ü  KANDUNGAN  Ž