Perhatian saya telah dibawa ke sebuah artikel tentang poligami, di mana penulisnya berkata,

"Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan.

Tiada motif lain kecuali untuk menikmati kelazatan haiwaniah dan kenikmatan berpindah-pindah daripada seorang isteri kepada isteri lain sebagaimana perpindahan dilakukan seorang lelaki dalam kalangan teman wanitanya."

 

Pautan artikel asal: Poligami Dalam Islam

 

Kenyataan ini dapat saya ulas sebagai berikut: 

[1] 
Ilmu seseorang tidak diukur dengan jumlah sijil yang dimilikinya atau gelaran "ustazah", akan tetapi pada akhlak ketika berbicara.

 

[2] 
Akhlak ini menjadi lebih penting apabila membicarakan perkara-perkara yang menjadi perbezaan pendapat antara para ilmuan (khilaf).

 

[3] 
Pernikahan memang dianjurkan dalam Islam.

Namun para ilmuan berbeza pendapat, apakah monogami atau poligami yang menjadi hukum asal pernikahan?

Ada yang berpendapat, hukum asal pernikahan adalah poligami kerana Allah membicarakan poligami terlebih dahulu dalam ayat ketiga sura al-Nisa'. Kemudian jika seseorang itu bimbang tidak dapat berlaku adil, barulah dia monogami.

Firman Allah,

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja. [al-Nisa 4:03]

 

[4] 
Para ilmuan juga berbeza pendapat, apakah yang dianjurkan itu adalah monogami atau poligami?

Mereka yang berpendapat poligami dianjurkan berhujah dengan ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis yang menganjurkan pernikahan. Ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut bersifat umum, bererti bernikahlah dan bernikahlah (sehingga maksimum 4) asalkan kalian bersikap adil.

Buktinya adalah pertanyaan Ibnu 'Abbas kepada Sa'id bin Jubair,

 

هَلْ تَزَوَّجْتَ؟ قُلْتُ: لَا. قَالَ: فَتَزَوَّجْ فَإِنَّ خَيْرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ أَكْثَرُهَا نِسَاءً.

“Apakah engkau sudah menikah?”

Sa'id menjawab, “Belum.”

Ibnu 'Abbas mengatakan, “Menikahlah, kerana sebaik-baik umat ini adalah yang paling banyak isterinya.” [Shahih al-Bukhari, no.: 4681/5069]

 

Ibnu 'Abbas memahami perkataan "menikahlah" bukan sebagai pernikahan pertama sahaja, tetapi pernikahan demi pernikahan (poligami).

Ibnu 'Abbas adalah seorang sahabat Nabi yang berilmu lagi paling pintar dalam tafsir al-Qur'an, hasil doa khusus Nabi s.a.w. kepada beliau.

 

[5] 
Para ilmuan juga berbeza pendapat, apakah untuk berpoligami seseorang itu mesti memiliki sebab khusus, atau dia tidak perlu memiliki sebab khusus?

Maksud sebab khusus adalah seperti isteri sedia ada yang sakit atau disahkan oleh pakar perubatan sebagai mandul (pengesahan ini penting kerana adakalanya yang mandul adalah suami, bukannya isteri). Mereka yang berpendapat poligami tidak perlu memiliki sebab khusus berhujah, sebab poligami adalah sama dengan sebab monogami, iaitu mencapai kehidupan yang sakinah, mawaddah dan rahmah.

Sebab poligami adalah sama dengan sebab monogami, di mana kedua-duanya merujuk kepada ayat al-Qur'an yang sama,

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu ISTERI-ISTERI dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. [al-Rum 30:21]

 

Doa orang yang poligami adalah sama dengan doa orang yang monogami,

 

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami daripada ISTERI-ISTERI kami, dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa”. [Al-Furqaan 25:74]

 

[6]
Para ilmuan juga berbeza pendapat, apakah roh dan matlamat Islam itu monogami atau poligami?

Mereka yang berpendapat roh dan matlamat Islam adalah poligami merujuk kepada sunnah Rasulullah ketika agama Islam ini Allah sempurnakan, cukupkan sebagai satu nikmat dan redai. Mereka tidak merujuk kepada sunnah Rasulullah pada zaman awal Islam tetapi pada saat Allah menurunkan ayat,

 

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا.

Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. [al-Maidah 5:03]

 

Pada hari ini - sebagaimana permulaan ayat di atas - sunnah Rasulullah adalah poligami dan bukannya monogami. Bahkan ini bukan sahaja sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi juga sunnah Rasul-Rasul sebelum baginda. Firman Allah,

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka ISTERI-ISTERI dan keturunan. [Ar-Ra’d 13:38]

 

[7]
Tidak ada beza pendapat di kalangan para ilmuan bahawa lelaki dan wanita yang telah diikat dengan akad nikah yang sah, maka mereka adalah halal bagi satu sama lain.

Mereka bukanlah lagi umpama haiwan yang "berpindah-pindah" melepaskan nafsu seksnya kepada haiwan yang lain atau lelaki yang "berpindah-pindah" melepaskan nafsu seksnya kepada kalangan teman wanitanya. Jika "berpindah-pindah" ini menjadi sindiran dan penghinaan penulis artikel kepada orang yang berpoligami, maka dia sebenarnya telah menghina Rasulullah s.a.w. Ini kerana Rasulullah telah - menggunakan perkataan penulis artikel - "berpindah-pindah" antara isteri-isteri baginda dalam satu masa.

Anas bin Malik menerangkan,

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدُورُ عَلَى نِسَائِهِ فِي السَّاعَةِ الْوَاحِدَةِ مِنْ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَهُنَّ إِحْدَى عَشْرَةَ.

قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسٍ: أَوَكَانَ يُطِيقُهُ؟

قَالَ: كُنَّا نَتَحَدَّثُ أَنَّهُ أُعْطِيَ قُوَّةَ ثَلَاثِينَ.

“Kebiasaannya Nabi s.a.w. mendatangi isteri-isterinya pada satu waktu yang sama, pada malam hari atau siang hari. Saat itu jumlah isteri-isteri baginda ialah sebelas orang.”

Perawi berkata, aku bertanya kepada Anas: “Apakah baginda mampu?”

Anas menjawab: “Kami (para sahabat) biasa berkata bahawa baginda diberikan kekuatan tiga puluh orang lelaki.” [Shahih al-Bukhari, no.: 260/268]

Kesimpulannya,

Dalam subjek poligami ini, ada beberapa persoalan yang para ilmuan telah berbeza pendapat dalamnya. Ini sebagaimana yang telah saya jelaskan secara ringkas di atas. Jika cenderung kepada satu pendapat, hormatilah mereka yang cenderung kepada pendapat yang lain. Janganlah menghamburkan perkataan yang buruk seperti "nafsu haiwaniah".

Ini kerana para ahli hikmah telah berpesan,

"Jika seseorang itu menghamburkan perkataan yang buruk dan perkataan itu tidak ada tempat untuk dituju, maka ia akan kembali kepada orang yang menghamburkannya."