Telah tersebar tulisan ini oleh sahabat saya yang dikasihi kerana Allah, Dr. Jefri Irwan Harris (JIH).

Meskipun beliau telah edit dan padam lewat malam semalam, salinan atau screen shot sebelum ia dipadam telahpun tersebar luas. Tulisan JIH itu telah menarik perhatian saya dan suka saya beri beberapa ulasan.

JIH asalnya menulis:

"Mengapa saya menulis kisah ini?

Kerana saya pernah terlibat dengan kefahaman ini iaitu Wahhabi. Juga dipanggil Salafi oleh sesetengah pihak. Dan juga diberi gelaran kumpulan Sunnah.

Cara ajarannya mudah tetapi bahaya. Mudah kerana slogannya mengikut Al-Quran dan Hadis. Apa yang tiada dalam keduanya, tertolak. Ulama ikutan kumpulan ini juga sangat terhad. Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Ibn Baz, Ibn Uthaimin, Al-Albani dll. Kumpulan ini mudah memberi label kepada orang lain. Pandangan dalam Mazhab dipandang enteng sekiranya tidak selari dengan pegangan mereka.

Kumpulan ini bahaya kerana ajarannya menghasilkan satu kumpulan manusia yang beranggapan majoriti muslim sebagai kufur, bid’ah atau sesat. Kefahaman seperti inilah yang menghasilkan pengikut-pengikut yang melampau.

Disediakan oleh Dr Jefri Irwan Harris"

----------

(1) Jika JIH mahu mengkritik fahaman Wahhabi silakan. Saya pun tidak tahu apakah aliran Wahhabi itu dan siapakah ahlinya. Namun apabila Wahhabi itu disamakan dengan Salafi dan Kumpulan Sunnah, maka ia telah menarik perhatian saya. 

Salafi adalah orang-orang masa kini yang mahu mengikuti manhaj generasi awal umat Islam (Salaf) dalam beragama. Sementara Kumpulan Sunnah adalah orang-orang masa kini yang mengutamakan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam beragama.

"Orang-orang masa kini" adalah manusia biasa yang tentu saja tidak terlepas drpd kesilapan dan kekurangan. Justeru jika JIH hendak kritik Wahhabi, silakan. Namun janganlah dalam rangka mengkritik Salafi dan kumpulan Sunnah, JIH menjauhi Manhaj Salaf dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Bahkan yang lebih utama sebagai pendakwah, JIH mendidik Salafi dan Kumpulan Sunnah agar mereka dapat mengurangi kesilapan dan kekurangan mereka.

 

(2) JIH mendakwa Salafi dan Kumpulan Sunnah hanya mengikuti al-Qur'an dan hadis.

"Apa yang tiada dalam keduanya, tertolak".

---

Ini adalah dakwaan - atau lebih tepat - tuduhan yang tidak benar.

Salafi dan Kumpulan Sunnah menerima semua dalil-dalil agama, yakni al-Qur'an, Sunnah, Ijma', Qiyas, Qaul Sahabat, Syari'at Umat Terdahulu, Sad al-Zari'at, Uruf, Istishab, Amal Ahli Madinah dan Maslahah Mursalah.

Buktinya, tidak ada Salafi atau Kumpulan Sunnah yang ambil dadah heroin, kerana tahu hukumnya haram berdasarkan dalil qiyas.

Cuma dalam perincian dan perlaksanaan dalil-dalil di atas terdapat khilaf dan perbincangan, sebagaimana yang maklum dalam kitab-kitab usul fiqh. Maka hendaklah kita berlapang dada dalam hal ini.

Selain itu,

* Dalil-dalil ini juga terbahagi kepada primary dan secondary, di mana al-Qur'an dan al-Sunnah adalah primary.

Justeru Salafi dan Kumpulan Sunnah bukan mengikuti al-Qur'an dan al-Sunnah SAHAJA, tetapi mengUTAMAkan al-Qur'an dan al-Sunnah kerana ia adalah dalil PRIMARY.

*Salafi dan Kumpulan Sunnah lazimnya berbicara tentang aqidah dan hak Allah dalam beribadah. Bagi dua subjek ini, tentulah dalilnya adalah al-Qur'an dan al-Sunnah.

Jika Salafi dan Kumpulan Sunnah membicarakan subjek muamalat misalnya, akan digunakan juga dalil-dalil secondary. Namun ada kalanya Salafi dan Kumpulan Sunnah menggunakan dalil secondary dalam urusan ibadah kepada Allah. Contohnya, Majlis Fatwa Saudi telah meluaskan waktu melontar di tiga jamrah demi kemaslahatan jemaah haji. (Betulkan saya jika tersilap)

 

(3) JIH menulis,

Ulama ikutan kumpulan ini juga sangat terhad. Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Ibn Baz, Ibn Uthaimin, Al-Albani dll.

---

Di penghujung ayat di atas, JIH sebut "dll" yang bermaksud "dan lain-lain".

Ini bermaksud ramai lagi sehingga tidak ada hadnya.

Jadi yang mana satu yang benar, sangat terhad atau tidak ada had?

 

(4) Saya akui bahawa Salafi dan Kumpulan Sunnah menjadikan para ulama' yang JIH sebutkan di atas sebagai rujukan utama. Namun para ulama itu sendiri bagaikan satu ensiklopedia, di mana mereka menukil pelbagai pandangan ulama lain sebelum mentarjihkannya.

Ambil saja satu contoh, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah. Hampir semua perbincangan beliau akan disertakan pandangan atau amalan tokoh salaf, generasi salaf dan imam-imam mazhab. Justeru dengan membaca kitab beliau, kita akan dapat mengetahui pelbagai pandangan dalam sesuatu isu.

Apakah JIH boleh syorkan sebuah kitab rujukan yang lebih luas ilmunya berbanding Majmu' al-Fatawa Ibn Taimiyah?

 

(5) JIH menulis,

.....ajarannya menghasilkan satu kumpulan manusia yang beranggapan majoriti muslim sebagai kufur, bid’ah atau sesat.

----

Nampaknya JIH gagal membezakan antara PERbuatan dan PEMbuat. 

Salafi dan Kumpulan Sunnah menghukum perbuatan, tidak pada pembuatan. Contohnya, sebelum ini saya mengulas beberapa video tentang amalan zikir, selawat dan doa di antara Solat Tarawih yang diamalkan di M'sia. Terang-terangan saya katakan bahawa semua itu adalah bid'ah.

Akan tetapi saya tidak katakan bahawa ustaz yang mengajar dan orang yang mengamalkannya adalah ahli bid'ah, sesat dan bakal masuki neraka. Lebih lanjut tentang perbezaan antara perbuatan dan pembuat, sila rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Adapun tuduhan kafir, maka Salafi dan Kumpulan Sunnah amat berhati-hati dalam menuduh. Saya yakin JIH telah tersasar kumpulan dalam perkara ini.

 

(6) JIH menulis,

Kefahaman seperti inilah yang menghasilkan pengikut-pengikut yang melampau.

---

Saya katakan, semua fahaman atau aliran akan ada sekumpulan ahli-ahlinya yang ghuluw (melampau). Namun kumpulan ini adalah kecil dan tidak sepatutnya dijadikan rujukan dan acuan untuk menghukum semuanya. Ringkasnya, tidak adil untuk pukul sama rata.

Saya akhiri ulasan ini dengan dua ayat berikut sebagai nasihat kepada diri saya dan JIH yang dikasihi kerana Allah,

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا

اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil.

Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.

Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

(al-Maidah 5:08)

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ

وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ

وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ

الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka.

Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.

Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri (atau antata satu sama lain) dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan.

Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

(al-Hujurat 49:11)