[1] 
Peperangan dalam Islam ada dua jenis.

Pertama adalah Peperangan Defensif, iaitu peperangan sebagai pembelaan apabila agama, harta, jiwa dan maruah diperangi atau dizalimi.

Hukum Peperangan Defensif disepakati oleh para sarjana Islam, dulu dan kini.

Kedua adalah Peperangan Ofensif namun hukumnya diperselisihkan.

 

[2] 
Kewajipan Peperangan Defensif tidak ditentukan oleh mana-mana negara, tetapi ditentukan oleh Allah dan Rasulullah.

Berikut dikemukakan beberapa ayat al-Qur'an yang mewajibkan perang sebagai pembelaan (dengan huruf besar sebagai penekanan):

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Dan perangilah pada jalan Allah orang-orang yang MEMERANGI KAMU, dan janganlah kamu menceroboh kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. [al-Baqarah 2:190]

 

وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُمْ مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang MEREKA TELAH MENGUSIR KAMU; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. [al-Baqarah 2:191]

 

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang DIPERANGI, kerana sesungguhnya mereka telah DIANIAYA; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). [al-Hajj 22:39]

Justeru hukum Peperangan Defensif tetap wajib meskipun "seluruh dunia telah mengharamkan peperangan".

 

[3]
Meskipun Islam mewajibkan Peperangan Defensif, ia tetap berdasarkan hukum-hukum dan syarat-syaratnya.

Oleh kerana itu dalam kitab-kitab fiqh yang besar, akan ada bab "Fiqh al-Jihad" atau "Fiqh al-Qital". Dalam bab ini pula akan ada puluhan bab kecil yang lain, memperincikan hukum-hukum dan syarat-syarat sebelum, semasa dan selepas peperangan.

Ada juga ulama' yang menyusun buku khas dalam topik ini, seperti Syaikh Yusuf al-Qaradhawi yang menulis kitab "Fiqh al-Jihad" yang sangat tebal.

Oleh itu peperangan dalam Islam bukanlah semudah "rakyatnya yang pergi bunuh membunuh".

 

[4] 
Saya tertanya-tanya, bagaimanakah AAJ mencapai kesimpulan bahawa,

"Malah jatuh hukum wajib bagi orang Islam untuk memerangi orang kafir".

Ini kerana sudah jelas di dalam al-Qur'an,

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang TIDAK MEMERANGI kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

 

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [al-Mumtahanah 60:8-9]

Oleh itu orang kafir tidak diperangi kerana kekafiran mereka, tetapi diperangi jika mereka terlebih dahulu memerangi umat Islam atau menzalimi umat Islam.

 

[5]
Terdapat perbezaan antara Peperangan Defensif yang dibolehkan dan diwajibkan dalam Islam dengan aksi terrorisme yang dilakukan oleh beberapa individu atas nama Islam.

Justeru tindakan pihak keselamatan negara kita yang proaktif ke atas beberapa individu yang diyakini merancang melakukan aksi terrorisme adalah disokong.

 

[6]
Lama dahulu, antara rancangan TV kegemaran saya ialah siri undang-undang "L.A. Law".

Akan tetapi jika saya tiba-tiba mahu cuba jadi peguam dan berbicara undang-undang semata-mata kerana telah menonton puluhan episod L.A. Law, pasti Pn. AAJ akan nasihatkan saya, "Ehh! Nanti dulu. Banyak lagi yang awak kena belajar."

Demikianlah juga nasihat saya kepada Pn. AAJ. Jika jahil dalam Fiqh al-Jihad atau Fiqh al-Qital, maka tidak perlu berbicara tentangnya.

Atau lebih baik, sila kaji buku Fiqh al-Jihad karangan Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Sudah ada edisi terjemahan jika perlu.

Moga Allah memberi hidayah-Nya kepada kita semua.

 

Pautan bagi posting asal AAJ pada 20 Jun 2019:

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2419081148154009&set=a.429335757128568&type=3&theater