Pernah merancang melakukan sesuatu yang baik untuk agama dan umat, lalu datang pelbagai lintasan bahawa ia tidak perlu dilakukan?

Atau hilang keyakinan bahawa anda layak melakukannya?

Atau "...biarlah orang lain yang buat..." ?

Ketahuilah bahawa semua lintasan itu adalah daripada syaitan.

Perhatikan firman Allah s.w.t.,

وَمَآ اَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَّسُوْلٍ وَّلَا نَبِيٍّ اِلَّآ اِذَا تَمَنّٰٓى اَلْقَى الشَّيْطٰنُ فِيْٓ اُمْنِيَّتِهٖۚ

فَيَنْسَخُ اللّٰهُ مَا يُلْقِى الشَّيْطٰنُ ثُمَّ يُحْكِمُ اللّٰهُ اٰيٰتِهٖۗ وَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌۙ

Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul dan tidak (pula) seorang Nabi sebelum engkau (Muhammad), melainkan apabila dia mempunyai suatu keinginan, syaitan melemparkan (pelbagai hasutan) ke dalam keinginannya itu.

Tetapi Allah menghapuskan apa yang dilemparkan oleh syaitan itu dan Allah akan menguatkan (para Rasul dan Nabi itu dengan) ayat-ayat-Nya.

Dan Allah Maha Mengetahui, Mahabijaksana.

(al-Hajj 22:52)

-------

Dalam ayat di atas Allah menceritakan bagaimana syaitan mengganggu keinginan para Rasul dan Nabi-Nya dengan melemparkan pelbagai hasutan atau lintasan negatif agar keinginan itu tidak dilakukan.

Maksud keinginan ialah perancangan atau kehendak melakukan sesuatu yang baik untuk agama dan umat.

Lalu Allah menghapuskan hasutan atau lintasan syaitan itu.

Namun ini hanyalah untuk para Rasul dan Nabi Allah.

Adapun untuk kita, hasutan dan lintasan negatif daripada syaitan tetap berlaku.

Maka apabila merancangan melakukan sesuatu yang baik untuk agama dan umat, kemudian terasa berat pula perancangan itu, hilang keyakinan, malas atau apa-apa lain yang negatif, maka ketahuilah bahawa semua itu daripada syaitan.

Lawanlah ia dengan mengucapkan ta'awuz (A'uzubillahi minash syaitan nirrajim), meminta kekuatan daripada Allah dan teruskan perancangan tersebut.