Sempena musim haji ini, ada jemaah yang berkongsi gambar sendiri (swafoto / selfie) di media sosial.

Pada waktu yang sama, ada yang segera menuduh tindakan itu adalah riya'.

Sebenarnya berkongsi swafoto di media sosial tidak semestinya riya'. Ada dua kemungkinan lain:

Pertama:

Dia bersyukur atas nikmat mengerjakan haji yang Allah berikan, lalu dia menceritakannya dalam bentuk gambar swafoto.

Menceritakan nikmat Allah adalah sesuatu yang dianjurkan, sebagaimana firman Allah s.w.t.,

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau ceritakan. [ad-Dhuha 93:11]

Kedua:

Dia berkongsi swafoto atas tujuan memberi motivasi kepada orang lain agar turut mengerjakan haji.

Menzahirkan amal soleh atas tujuan memotivasi orang lain adalah dibolehkan, sebagaimana Allah membolehkan kita menzahirkan sedekah atas tujuan memotivasi orang lain agar turut bersedekah. Firman Allah s.w.t.,

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Jika kamu menampakkan sedekah, maka itu adalah baik (kerana memberi motivasi kepada orang lain).

Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu (kerana dapat menjaga hati daripada riya' dan sum'ah).

Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. [al-Baqarah 2:271]

Justeru orang yang berkongsi swafoto ibadah haji atau apa-apa amal soleh lain, tidak semestinya dia riya'. Mungkin saja dia melakukannya kerana dua sebab di atas.