Tazkirah hari ini,

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ شَرِيكٍ قَالَ

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابَهُ كَأَنَّمَا عَلَى رُءُوسِهِمْ الطَّيْرُ فَسَلَّمْتُ ثُمَّ قَعَدْتُ.

فَجَاءَ الْأَعْرَابُ مِنْ هَا هُنَا وَهَا هُنَا فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَتَدَاوَى؟

فَقَالَ تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ.

 

Daripada Usamah bin Syarik, dia berkata,

Aku mendatangi Rasulullah dan para sahabatnya. Seolah-olah di atas kepala mereka ada burung (yang bertenggek).

Maka aku mengucapkan salam dan duduk (bersama mereka).

Lalu datang Arab Badwi dari sekian-sekian tempat, mereka bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah boleh kami berubat?"

Rasulullah menjawab,

"Berubatlah kerana sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla tidak menurunkan satu penyakit melainkan diturunkan baginya ubatnya. Kecuali satu penyakit, iaitu penyakit tua."

(Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 3357/3855)

-------

Permulaan hadis ini menerangkan bagaimana Rasulullah dan para sahabat duduk diam tanpa menggerak-gerakkan badan.

Sangat diam sehingga seolah-olah boleh dihinggapi burung di atas kepala mereka.

Hadis tidak menceritakan apa yang mereka lakukan saat itu, dalam suasana diam tersebut.

Yang pasti mereka bukanlah sedang khusyuk dengan telefon masing-masing melayari FB dan IG 🤣

Adalah selamat untuk dikatakan bahawa kemungkinan besar mereka sedang berzikir. Ini kerana berzikir memang secara senyap meskipun ketika beramai-ramai.

Hadis ini dijadikan dalil bahawa berzikir bukanlah dengan menggerak-gerakkan badan. Badan tetap diam sehingga boleh dihinggapi oleh burung.

Hadis ini juga dijadikan dalil bahawa meskipun berzikir secara berkumpulan, ia tetap secara perlahan-lahan dengan masing-masing membaca zikir yang disukainya.

Seterusnya hadis ini menerangkan tentang kebolehan berubat daripada sesuatu penyakit.