Tazkirah hari ini, Rasulullah s.a.w. bersabda,

أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللَّهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ لَا يَضُرُّكَ بِأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ.

Empat perkataan yang amat dicintai oleh Allah:

"Subhanallah"
"Alhamdulillah"
"La ilaha illalLah"
"Allahu Akbar"

Kamu tidak bersalah jika hendak memulakan dengan yang mana-mana.

(Shahih Muslim 3985/2137)

------

(1) Sempena 10 hari pertama bulan Zulhijjah, dianjurkan untuk memperbanyakan zikir kepada Allah.

(2) Sebenarnya, hendaklah selalu dan lazim berzikir sepanjang tahun. Hanya pada 10 hari pertama ini, ia dipertingkatkan.

(3) Berzikir juga tidak terhad ketika duduk di atas sejadah selepas solat, tetapi meluas kepada bila-bila masa dan apa jua aktiviti harian. Baik ketika berdiri, duduk atau baring. (Rujuk Ali Imran 3:191)

(4) Berzikir kepada Allah bukanlah dengan apa jua kalimah, tetapi dengan apa yang Allah dan Rasul-Nya ajar. Contohnya, seperti hadis di atas.

(5) Berzikir kepada Allah adalah dengan suara yang perlahan dan perasaan merendah diri serta takut. (Rujuk al-A'raaf 7:205)

Sebab yang kita sebut-sebut tu bukanlah member lepak di kedai kopi, tetapi Allah 'Azza wa Jalla.

Jika sunnah Rasulullah adalah berzikir secara kuat sempena sesuatu masa atau peristiwa, maka barulah kita berzikir secara kuat. Contoh: Zikir takbir hari Raya.

(6) Tidak diketahui riwayat yang sahih bahawa Rasulullah atau para sahabat berzikir sambil menggerak-gerakkan badan, menghayun-hayunkan kepala atau menari.

Padahal mereka adalah insan yang paling banyak dan paling khusyuk berzikir kepada Allah.

Maka berzikirlah tanpa pergerakan fizikal, kecuali apa yang berlaku tanpa disedari / tanpa disengajakan.