Tazkirah hari ini, Rasulullah s.a.w. bersabda,

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ.

Sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik. [Shahih Sunan Ibn Majah, no.: 3530]

Dalam sebuah hadis lain, Auf bin Malik al-Asyja‘iy r.a. berkata: Kami di zaman Jahiliyyah mempraktikkan jampi-jampian. Maka kami bertanya: “Ya Rasulullah, apakah pendapat anda tentang hal ini?” Rasulullah menjawab:

اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ.

“Tunjukkan kepada aku jampi-jampian kamu. Tidak mengapa dengan jampi-jampian yang di dalamnya tidak mengandungi syirik.” [Shahih Muslim, no.: 2200]

-----

Berdasarkan hadis pertama, Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa jampi-jampian adalah syirik. Ini baginda tetapkan secara umum, bererti hukum asal jampi-jampian adalah syirik.

Berdasarkan hadis kedua, pengecualian diberikan apabila dibacakan jampi-jampian itu secara jelas sehingga dapat dikenal pasti apakah kandungannya. Jika ternyata ia tidak mengandungi unsur syirik, barulah ia dibolehkan.

Kedua-dua hadis ini amat penting untuk diperhatikan kerana sebahagian masyarakat menyakini orang-orang yang menjampi - seperti mereka yang terlibat dengan rawatan Islam - sehingga tidak mempedulikan apakah yang dibaca sebagai jampi.

Asalkan yang menjampi itu berpenampilan sebagai ustaz, maka dibaik sangka bahawa jampi-jampian yang dibaca adalah bersih daripada syirik.

Padahal jika hendak berbaik sangka, Rasulullah adalah orang yang paling berbaik sangka kepada para sahabatnya. Namun baginda tetap menghukum jampi-jampian sebagai syirik sehingga ia diperdengarkan kepada baginda.

Penting juga untuk diketahui bahawa jampi-jampian daripada ayat-ayat al-Qur'an tidak menjamin ia bersih daripada syirik.

Contoh yang masyhur, sebahagian perawat membaca ayat-ayat al-Qur'an berkenaan Nabi Sulaiman untuk menakutkan jin dan menghalau sihir. Diyakini jin-jin takut kepada Nabi Sulaiman. Di sini berlaku syirik kerana mengharapkan perlindungan daripada Nabi Sulaiman dan bukannya daripada Allah s.w.t..

------

Di luar sana ada perawat Islam yang faham akan hadis-hadis ini dan mereka menerangkan kepada pesakit apakah ayat-ayat al-Qur'an dan doa-doa perlindungan daripada Nabi s.a.w. yang mereka baca sebagai jampi-jampian. Mereka membaca jampi-jampian tersebut secara jelas dan tartil (satu persatu)

Bahkan mereka mengajar pesakit ayat-ayat dan doa-doa tersebut agar dapat diamalkan sendiri di rumah. Tidak timbul persoalan copy right!

Jika ada perawat Islam yang hanya komat-kamit, boleh minta agar mereka bacakan secara kuat, jelas dan tartil (sebut satu persatu). Katakan, "Saya suka dengar apa yang ustaz baca kerana ia lebih memberi kesan kepada hati saya".

Jika ada perawat Islam yang tetap degil dengan komat-kamitnya, maka tinggalkan dia.