Apa nak buat bila nampak rakan-rakan muat naik gambar sekeluarga sempena Hari Raya?

Zoom maksimum untuk tengok pasangannya ke?

Tentu tidak. Yang benar adalah berdoa agar Allah memberkati mereka. Doa ini adalah penting supaya mereka tidak kena penyakit Ain yang boleh berlaku meskipun terhadap gambar di media sosial.

Penyakit Ain adalah penyakit yang berasal dari pandangan mata seorang yang dengki. Boleh juga berlaku kerana pujian atau kekaguman, lalu jin syaitan yang berhampiran menjadi dengki.

Kedengkian ini menyebabkan jin itu mengenakan sesuatu penyakit kepada orang yang dipuji, dikagumi atau didengkikan itu.

Ayuh kita ambil iktibar daripada hadis berikut.

 

Abu Umamah menerangkan, ayahku – Sahal bin Hunaif mandi di sungai, dia melepaskan jubah yang dipakai lalu dilihat oleh ‘Amir bin Rabi’ah.

Sahal adalah seorang pemuda yang putih dan cantik kulitnya (sehingga) ‘Amir bin Rabi’ah berkata kepada Sahal: “Aku tidak pernah melihat kulit yang secantik ini, bahkan kulit seorang gadis sekalipun.” 

Kemudian Sahal diserang penyakit dan penyakit tersebut bertambah parah. Seseorang pergi menemui Rasulullah dan mengkhabarkan kepada baginda: “Sesungguhnya Sahal sakit, dia tidak dapat datang bersama anda, wahai Rasulullah!”

Rasulullah lalu menziarahinya, lalu Sahal mengkhabarkan tentang apa yang telah dilakukan oleh ‘Amir terhadapnya. Rasulullah bertanya:

عَلَامَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ أَلَّا بَرَّكْتَ إِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ تَوَضَّأْ لَهُ.

“Kenapa salah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Tidakkah (sebaiknya) engkau mendoakannya agar diberkati? Sesungguhnya penyakit al-‘Ain itu benar. Berwudhulah kamu untuknya!”

‘Amir lantas berwudhu bagi (menyembuhkan) Sahal. Setelah itu Sahal dan Rasulullah berangkat dengan keadaan sihat.

[Muwattha’ Imam Malik, no: 1471]

 

Dalam hadis di atas, 'Amir bin Rabi'ah bukan dengki kepada Sahal, tetapi sekadar memuji kecantikan kulitnya. Namun pujian ini menyebabkan Sahal diserang penyakit Ain.

Berdasarkan hadis ini:

 

[1] Tidak digalakkan memuat naik gambar sendiri atau keluarga ke media sosial. Jika ada, maka gambar itu hanyalah untuk tatapan ahli keluarga sendiri sahaja, bukan umum untuk semua.

Oleh kerana itu jika diperhatikan media sosial para ahli ilmu, mereka tidak memuat naik gambar keluarga mereka. Bukan kerana mereka keluarga yang tidak bahagia, tetapi waspada terhadap penyakit Ain.

 

[2] Apabila nampak sesuatu yang indah, baik secara terus atau di media sosial, maka berdoalah agar Allah memberkati mereka.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah, "...Tidakkah (sebaiknya) engkau mendoakannya agar diberkati?"