Mulai esok ketika solat Jumaat, apabila khatib duduk di antara dua khutbah, manfaatkan masa singkat itu untuk berdoa kepada Allah. Itulah antara masa dimakbulkan doa pada hari Jumaat.

 

أَبِي بُرْدَةَ بْنِ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: قَالَ لِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ:

أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ؟

Abu Burdah bin Abu Musa al-‘Asy’ari berkata, ‘Abdullah bin ‘Umar bertanya padaku,

“Apakah kamu mendengar ayahmu menceritakan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang waktu (dimakbulkan doa) pada Hari Jumaat?”

 

قُلْتُ: نَعَمْ، سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:

هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ.

(Abu Burdah) menjawab, “Ya, aku mendengar ayahku berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

“Waktu itu ialah antara duduknya imam (di antara dua khutbah) sehinggalah selepas solat”.” (Shahih Muslim, 1409/853)

[1]
Pada Hari Jumaat ada satu masa yang singkat di mana Allah memakbulkan doa hamba-Nya [Shahih al-Bukhari, 883/935]

Dalam hadis di atas diterangkan masa itu ialah antara duduknya khatib ketika khutbah sehingga selesai solat.

Dalam hadis lain diterangkan masa itu ialah pada akhir waktu Asar [Sunan Abu Daud 884/1048]

Jadi dalam perkara ini ada keluasan di mana Allah memberikan dua tempoh waktu kepada para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya.

[2]
Di kebanyakan masjid dan surau Jumaat, bilal akan melaungkan selawat dan berdoa "Ya Allah, rahmatilah hari Jumaat...." atau sesuatu lain ketika khatib duduk di antara dua khutbah.

Tidak perlu mengikuti selawat dan doa tersebut kerana ia tiada tuntutannya daripada sunnah Rasulullah s.a.w.

Sebaliknya berdoalah sendiri-sendiri apa yang diinginkan.

[3]
Selain ketika khatib duduk di antara dua khutbah, cubalah mencari celahan lain untuk berdoa, sehinggalah selesai solat Jumaat.

Amalan saya, ada kesempatan berdoa apabila iqamat telah dilaungkan dan sebelum takbir pertama, yakni ketika imam sedang menunggu saf-saf dipenuhi dan diluruskan.

Jangan menyelisihi imam dengan memanjangkan sujud dan duduk tawaruk untuk berdoa kerana etika solat berjemaah adalah mengikuti semua pergerakan imam.

[4]
Bagi mereka yang tidak wajib menghadiri solat Jumaat berjemaah, seperti kaum wanita, orang musafir dan orang sakit, mereka dapat mengetahui masa khatib duduk di antara dua khutbah sehingga selesai solat dengan menonton siaran langsung di TV.

Bagi yang duduk berhampiran, mereka dapat mengetahui masa tersebut dengan mendengar aktiviti di dalam masjid dan surau.

[5]
Kepada pihak pengurusan dan/atau AJK masjid dan surau Jumaat, diminta menghentikan laungan selawat dan doa ketika khatib duduk di antara dua khutbah.

Laungan tersebut tiada tuntutannya daripada Rasulullah dan benar-benar mengganggu orang yang ingin berdoa.

Memang, Rasulullah menganjurkan diperbanyakkan selawat pada hari Jumaat. Namun anjuran itu merujuk kepada seluruh hari Jumaat dan bukan khusus ketika khatib duduk di antara dua khutbah.