Tazkirah hari ini, Nabi s.a.w. bersabda,

 

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثٍ يَلْتَقِيَانِ فَيَصُدُّ هَذَا وَيَصُدُّ هَذَا وَخَيْرُهُمَا الَّذِي يَبْدَأُ بِالسَّلَامِ.

Tidak dihalalkan bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya (yang muslim) melebihi tiga hari.

(Apabila mereka berdua) bertemu, masing-masing memasamkan muka.

Dan yang terbaik di antara mereka berdua adalah yang pertama mengucapkan salam. (Shahih al-Bukhari, no.: 5768/6237)

-------

Sekali baca, kelihatan seperti sukar mempraktikkan hadis ini. Sukar hendak berhubung dengan setiap orang dalam setiap 3 hari.

Sebenarnya hadis ini ditujukan kepada sesiapa yang sedang berkonflik atau bergaduh.

Konflik boleh berlaku antara suami dan isteri, anak dan ibu, saudara-mara, sesama jiran dan rakan kerja.

Apabila berkonflik, masing-masing akan bersikap diam diri, enggan menegur sapa.

Maka dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. memberi tempoh maksimum 3 hari untuk saling mendiamkan.

Tempoh ini diberikan untuk masing-masing menyejukkan hati dan merawat emosi.

Sebelum genap 3 hari, hendaklah kembali berbaik-baik dan siapa yang pertama memulakan usaha berbaik-baik, dialah yang terpuji.

-----

Tempoh 3 hari adalah tempoh maksimum.

Jika dapat berbaik-baik lebih awal - misalnya sejam - tentulah ia lebih terpuji.

Dalam zaman canggih masa kini, berbaik-baik boleh dilakukan dengan pelbagai cara, seperti menghantar video, audio atau teks berbunga-bunga melalui smart phone.