Tazkirah pagi ini, firman Allah s.w.t.,

 

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ

وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka?),

Dan JANGANLAH mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang PANJANG atas mereka lalu hati mereka menjadi KERAS. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.

(Hadid 57:16)

-----

Dalam ayat di atas Allah bertanya dalam bentuk teguran dan kritikan, bilakah lagi orang-orang beriman akan berzikir kepada Allah dengan hati yang khusyuk?

Ini kerana di kalangan orang yang beriman ada yang jarang berzikir kepada Allah. Jika ada yang berzikir, maka ia sekadar sebutan di mulut tetapi dengan hati yang lalai.

Padahal zikir yang dituntut adalah sebutan di mulut seiring dengan hati yang khusyuk.

Contohnya apabila mulut berzikir "Astaghfirullah", hati merasa bersalah atas dosa yang dilakukan dan amat mengharapkan keampunan Allah.

Allah juga bertanya, bilakah lagi orang-orang beriman akan khusyuk - yakni taat mengikuti - kebenaran yang diturunkan yakni al-Qur'an dan al-Sunnah?

Ini kerana di kalangan orang yang beriman ada yang mengikuti sebahagian dan meninggalkan sebahagian daripada ajaran al-Qu'an dan al-Sunnah.

Kemudian Allah menceritakan apa yang terjadi kepada golongan ahli kitab yang sengaja melengah-lengahkan sikap khusyuk sehinggalah hati mereka menjadi keras.

Dengan hati yang keras, mereka tidak lagi khusyuk berzikir kepada Allah dan mentaati kitab serta ajaran Rasul mereka. Maka menjadilah mereka orang yang fasik.

Allah menceritakan sikap ahli kitab ini agar kita umat Islam tidak menjadi seperti mereka.

Oleh itu hendaklah kita segera khusyuk berzikir kepada Allah dan segera tunduk mempraktikkan apa yang dipelajari daripada al-Qur'an dan al-Sunnah.

Usah menangguhkannya dengan alasan umpama "I am not ready yet" atau "Saya ni belum lagi baik ke tahap itu" atau apa-apa lain kerana penangguhan hanya akan mengeraskan hati sehingga akhirnya menjadilah seperti kaum ahli kitab dalam ayat di atas.