Sebelum ini saya jelaskan keutamaan berbuat baik kepada ibu dan bapa, baik ketika mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Apakah cara terbaik untuk berbuat baik kepada ibu dan bapa selepas mereka meninggal dunia?

Hayatilah hadis berikut bagi mengetahui jawapannya.

Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya.

Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya: “Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”

Maka Ibn ‘Umar menjawab,

 

إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ.

“Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung kan silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”

[Shahih Muslim, no.: 4629/2552]