Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika membicarakan biodata Abdullah bin Hisyam radhiallahu 'anh dalam al-Ishobah fi Tamyiz al-Shohabah, no. 5010, mengemukakan sebuah riwayat daripada beliau,

 

كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم يتعلمون الدعاء كما يتعلمون القرآن إذا دخل الشهر أو السنة:

اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، وَجَوَاز مِنَ الشَّيْطَانِ، وَرِضْوَانٍ مِنَ الرَّحْمَنِ.

 

Kebiasaan para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mereka saling mempelajari doa sebagaimana mereka saling mempelajari al-Qur’an. Apabila masuk bulan atau tahun (baru, mereka mempelajari doa),

“Ya Allah, masukkanlah ia ke atas kami dengan keamanan dan keimanan, keselamatan dan keislaman, bebas daripada syaitan, keredaan daripada al-Rahman.

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar setelah mengemukakan riwayat ini, “(Riwayat) ini mauquf, (sahih) di atas syarat al-Shahih (yakni al-Bukhari).”

 

Beberapa catatan:

- Apabila para sahabat mengamalkan sesuatu ibadah – seperti doa di atas – bererti ia memiliki sandaran daripada Rasulullah meskipun mereka tidak menyandarkannya secara terus ke atas baginda.

- Dalam beberapa hadis ada diterangkan Rasulullah membaca doa apabila nampak anak bulan menandakan masuknya bulan baru.

- Para sahabat tidak membuat bid’ah yang baru melalui pengamalan doa ini. Ini kerana tahun baru yang dimaksudkan dalam riwayat tersebut bersamaan dengan nampaknya anak bulan bagi 1 Muharram.

- Apabila dikatakan para sahabat mempelajari doa ini dan membacanya sempena tahun baru, kemungkinan ia merujuk pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab ketika beliau memulakan kiraan tahun baru.

- Kita turut dianjurkan membaca doa di atas secara BERSENDIRIAN ketika masuknya setiap bulan yang baru, tanpa terhadap kepada 1 Muharram.

- Belum ditemui riwayat bahawa para sahabat berhimpun secara khusus membuat majlis doa ini, sebelum masuknya waktu Maghrib menjelang 1 Muharram.