Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.,

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Dan sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Thalaq 65:2-3)

 

Dalam ayat di atas Allah menerangkan manfaat bagi orang yang bertaqwa dan bertawakkal kepada-Nya.

Antara manfaat itu,

- Allah berikan kepadanya jalan keluar atau penyelesaian terbaik ke atas masalah yang sedang dihadapinya.

- Allah berikan kepadanya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

- Allah menjadi penolong dan penyelamat dia.

Bagi mendapatkan semua manfaat ini, caranya bukan dengan menggantung ayat ini di dinding (Ayat 1000 Dinar??)

Tetapi dengan bertaqwa kepada Allah sepenuhnya, yakni mendinding diri daripada semua yang dilarang dan dimurkai oleh Allah. Baik yang jelas mahupun yang samar-samar.

Dan bertawakkal kepada Allah sesudah mengusahakan yang terbaik.

Hanya dengan itu, Allah akan memberikan apa yang dijanjikan-Nya dalam ayat-ayat di atas. Allah tidak pernah mungkir janji.

 

Meskipun ayat ini umum meliputi semua keadaan, menarik untuk diperhatikan bagaimana Allah menyelit ayat ini di antara ayat-ayat yang menerangkan tentang hukum perceraian dan iddah.

Sila baca ayat-ayat sebelum dan selepasnya (terlalu panjang untuk saya salin ke sini).

Ini menunjukkan bertaqwa kepada Allah dan bertawakkal kepada-Nya memainkan peranan penting dalam keharmonian rumahtangga.

Semua yang sudah berumahtangga pasti akan tahu cabaran dan kesukaran yang dialami. Ada juga yang beberapa kali menghampiri sempadan perceraian. Ada juga yang sudah memasukinya.

Renungilah ayat ini dan cuba nilai kadar ketaqwaan masing-masing, wahai suami dan isteri. Juga kadar tawakkal masing-masing.

Tentu ada banyak ruang yang boleh diperbaiki. Usahakanlah pembaikan dalam aspek taqwa dan tawakkal, pasti Allah akan bantu sebagaimana janji-Nya dalam ayat 2-3 di atas.