Tazkirah hari ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

 

Sesiapa berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengikutinya dengan enam hari dari bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. [Shahih Muslim, no: 1984/1164]

 

-------------

Saya yakin semua orang tahu tentang puasa sunat 6 hari di bulan Syawal dan berusaha untuk melaksanakannya.

Akan tetapi mungkin ada yang tidak tahu, puasa sunat 6 hari itu hanya dilaksanakan selepas sempurna puasa di bulan Ramadhan.

Perhatikan sabda Rasulullah di atas "...kemudian mengikutinya dengan...", bererti puasa Ramadhan dulu, kemudian baru puasa sunat 6 hari di bulan Syawal.

Jika ada yang tertinggal dari puasa Ramadhan, maka hendaklah qadha terlebih dahulu.

Saya sendiri ada puasa Ramadhan untuk diganti kerana tugas-tugas penerbangan, maka saya menggantinya terlebih dahulu sebelum berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal.

Namun di bulan Syawal juga saya sibuk dengan tugas penerbangan, maka saya tetap menghabiskan puasa ganti terlebih dahulu sehingga adakalanya tidak sempat berpuasa 6 atau hanya sempat berpuasa 1-2 hari daripada 6 hari tersebut.

 

--------------

Puasa adalah ibadah kita kepada Allah, maka hendaklah kita beribadah dengan cara yang Allah syari'atkan.

Puasa sempena bulan Ramadhan dan puasa sempena bulan Syawal adalah dua ibadah berbeza, maka janganlah disatukan dengan konsep "2 in 1".

 

-------------

Apabila kita sudah berupaya melaksanakan ibadah berdasarkan garis panduan al-Qur'an dan al-Sunnah sepenuhnya, barulah kita boleh berkata: "Moga-mooga Allah menerima ibadah saya ini".

 

27 July, 2016