Soalan:

Saya akan menceburi alam pernikahan tidak lama lagi tetapi masih keliru dengan beberapa perkara. Salah satu daripadanya ialah apabila isteri sedang haid. Apakah saya boleh melakukan hubungan seks ketika isteri sedang haid?

 

Jawapan:

Hubungan seks ertinya luas. Jika yang dimaksudkan ialah seks dengan memasukkan zakar ke dalam vagina, maka hukumnya haram. Rasulullah menjelaskan: Lakukanlah apa sahaja (bersama isterimu yang haid) kecuali nikah (iaitu memasukkan zakar ke dalam vagina). [Shahih Muslim, no: 455]

Namun jika yang dimaksudkan ialah bercumbuan dan bermain-main berahi dengan isteri, maka hukumnya boleh. Ini termasuklah jika menggeserkan zakar dengan vagina isteri. Semua ini dengan syarat isteri memakai kain atau sarung di antara pusat dan pehanya. A’isyah, salah seorang isteri Rasulullah menjelaskan: “Dahulu apabila salah seorang dari kami haid, maka Rasulullah memerintahkan kepadanya untuk memakai sarung, kemudian beliau mencumbunya.” [Shahih Muslim, no: 441]

Meskipun bukan dalam keadaan melakukan hubungan seks, suami isteri tidak boleh berada dalam keadaan telanjang penuh jika isteri sedang haid. Ini kerana dibimbangi secara sengaja atau tidak, zakar akan memasuki vagina. Oleh itu hendaklah ada kain pemisah sebagaimana yang dijelaskan oleh Umm Salamah, juga salah seorang isteri Rasulullah:

Ketika aku berbaring bersama Rasulullah dalam satu selimut, tiba-tiba aku haid. Lantas aku keluar secara perlahan-lahan untuk mengambil pakaian khas untuk masa haid. Maka Rasulullah bertanya kepadaku: “Apakah kamu sedang haid?” Aku menjawab: “Ya”. Lalu baginda memanggilku, lalu aku berbaring lagi bersama baginda dalam satu selimut.” [Shahih Muslim, no: 444]